ELAUN: KAJI KEPERLUAN, JANGAN LEMAHKAN MOTIVASI PENJAWAT AWAM

104
SHARES
336
VIEWS

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

1. Pekeliling baharu Kerajaan Persekutuan berkaitan pemberian elaun perkhidmatan awam hakikatnya tidak dilihat sebagai satu langkah pengukuhan, sebaliknya dicurigai menghala ke satu motif berkaitan politik. Secara khusus, sentimen banyak pihak melihat ia berada dalam kerangka untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini.

2. Walaupun dinyatakan untuk mencapai pelbagai kedinamikan, kefleksibelan dan kerelevanan bersama prinsip-prinsip digariskan, namun bayangan DAP yang pernah vokal dalam perkara ini tidak semudahnya dihilangkan. Ia sangat disangsikan sebagai antara langkah-langkah yang akhirnya mencapai tujuan DAP di sebalik tindakan kerajaan.

3. Ia juga adalah lanjutan dari tindakan terdahulu yang telah dibuat terutama menerusi Kementerian Kewangan, dengan mengurang atau memansuhkan peruntukan kepada kepentingan-kepentingan dalam negara. Di sebalik kononnya rasionalisasi cuba dilaksanakan, ia sebenarnya telah memangsa, melemah dan merumitkan banyak perkara.

4. Dalam realiti kemajuan dan kepesatan yang telah dan sedang dilaksanakan, serta disasarkan untuk dicapai oleh negara dan dengan pertambahan penduduk, jumlah 1.7 juta penjawat awam ini hakikatnya belum mencukupi. Kebanyakan mereka masih bekerja dengan bebanan berlebihan, sedang kadar imbuhan yang cuma seadanya berbanding kos sara hidup kini.

5. Perkhidmatan awam selaku jentera terpenting kerajaan menjadi penghubung dengan rakyat yang memerlukan keupayaan mereka sentiasa diperkasakan. Oleh itu tindakan berkaitan jumlah perjawatan dan elaun ini adalah langkah berundur ke belakang dibuat pihak Kerajaan PH. Ia pasti memberi kesan negatif di masa hadapan.

6. Kami melihat belum masanya negara membicarakan mengenai kawalan saiz perkhidmatan awam dan menyatakan kebersamaan dengan para penjawat awam. Kami menggesa kerajaan mengkaji perjawatan yang memerlukan elaun berkaitan, bukan pemansuhan atau ketidakselarasan yang bakal melemahkan motivasi perkhidmatan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia

#PenjawatAwam
#DemiIslam
#PemudaPAS
#IslamMemimpinPerpaduan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts