Semua pihak terkejut dengan berita peletakan jawatan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan secara mendadak.
Melihat raut wajah air muka dan kenyataannya masa sidang media, jelas beliau kelihatan kecewa dan menyebut memulangkan balik jawatan kepada PM di samping menghuraikan kejayaan-kejayaannya sebagai Menteri Pendidikan selama 20 bulan.
Dengan telahan dari sidang medianya, jelas bahawa beliau di’nasihat paksa’ meletakkan jawatan, mungkin atas isu ‘pengajaran tulisan Khat Jawi’ di SJKC yang menjadi kontroversi akibat tentangan Dong Zong, DAP, MCA dan kerabat kerabat PH.
Ini tidak dapat dipastikan, namun bila angin bertiup dan pokok pasti bergoyang. Pasti ada sebab-sebabnya.
Adakah kabinet telah membatalkan keputusan KPM mengenai pengajaran Khat Jawi, tidaklah dapat dipastikan.
Apapun Dr Maszlee telah menjadi korban dan kalau ia ada kena-mengena dengan isu pengajaran Khat Jawi, maka Dr Maszlee terpahat dalam hati setiap orang Melayu dan jawapannya pasti diterjemahkan pada PRU15 nanti.
Ini andaian kerana isu Khat Jawi sudah menjadi isu jihad orang Melayu kerana tulisan Jawi adalah sebahagian dari Bahasa Kebangsaan dan terikat dengan fasal 152.
Oleh kerana jawatan Menteri Pendidikan menjadi kosong, maka wajarlah ia dipegang sendiri oleh Tun Mahathir yang juga Perdana Menteri.
Pendidikan adalah kementerian strategik dan agenda pendidikan adalah agenda nasional terpenting yang akan membawa hala tuju generasi muda dalam arus dunia globalisasi tanpa sempadan dan dunia digital yang amat mencabar.
Dalam masa yang sama mengekalkan identiti bangsa berteraskan asas Perlembagaan negara dan Dasar Pendidikan Nasional.
Selepas PRU14, sememangnya Tun Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pendidikan tetapi menarik semula kerana janji PM tidak akan memegang mana-mana portfolio.
Namun ini tidak seharusnya menjadi kekangan demi kepentingan pendidikan, di mana sebelum Tun Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri tidak lama lagi, amat wajar beliau mantapkan hala tuju Pendidikan Negara dahulu.
ATAU formula terbaik, selain dapat meredakan kontroversi peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri, amat elok Datin Sri Wan Azizah selaku Timbalan Perdana Menteri dipindahkan ke Kementerian Pendidikan, sekaligus mengosongkan jawatannya dan jawatan tersebut diisi oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri apabila tiba masanya tidak lama lagi.
Ini bagi membolehkan Dato Seri Anwar Ibrahim membiasakan dan menghayati sebagai pengganti Perdana Menteri terutamanya mengenai dasar-dasar yang perlu kepada kesinambungan.
Cadangan ini merupakan pandangan berteraskan akademik semata-mata dan perkembangan politik semasa.
Bila tiba PRU15, lain cerita apabila rakyat membuat keputusan baru, parti mana yang mendapat mandat majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Suami isteri dalam satu kabinet bukan perkara baru kerana allahyarham Tan Sri Kadir Yusof dan allahyarhamah Tan Sri Fatimah Hashim, suami isteri pernah menjadi menteri dalam satu kabinet suatu ketika dahulu.
Apapun, politik negara memasuki awal tahun baru 2020, membuka tirai dengan bertambah celaru apabila melihat rintihan di sidang media Dr Maszlee.
Sekadar secebis pandangan atau reaksi apabila ada wartawan menghubungi meminta maklum balas mengenai peletakan jawatan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.
Terima kasih.
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA
3 Januari 2020