BEBERAPA TARIKH PENTING TAHUN 2020 BAGI PAKATAN HARAPAN

408
SHARES
1.2k
VIEWS

21 Februari 

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bakal memuktamadkan tarikh sebenar peralihan kuasa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun telah dipersetujui sebelum ini iaitu pada 10 Mei, selepas 2 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, di mana beliau perlu menyerahkannya pada Anwar, tetapi tarikh tersebut telah berubah. 

Perkembangan terkini menunjukkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan bersetuju untuk Tun Mahathir melanjutkan jawatannya sehingga tamatnya Sidang Kemuncak APEC 2020. 

Dalam mesyuarat 21 Februari ini kenyataan secara rasmi melalui Majlis Presiden  mengenai perkara ini akan dikeluarkan. 

Permainan kuasa atau Game of Throne ini sudah terlalu lama berlaku dan tidak memberi perkembangan yang positif buat negara.

9 Mac

Tarikh ini merupakan tarikh Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Sidang Parlimen, selepas 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, yang dijadualkan bermula pada 9 sehingga 16 April. 

Apa yang menariknya bagi penggal ini ialah, akan ada Usul Undi Percaya Terhadap Perdana Menteri yang akan dibawa oleh parti PAS.

Usul yang amat jarang berlaku ini bakal menentukan jumlah bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Tun Mahathir menghabiskan penggalnya ketika ini.

Jika beliau tidak mendapat jumlah minima 112 sokongan, beliau perlu menyerahkannya kepada pemimpin lain yang boleh mendapat jumlah minima sokongan tersebut.

Walaupun Tun Mahathir akur mengikut perjanjian Majlis Presiden Pakatan Harapan dengan menyerahkannya kepada Anwar, Anwar juga perlu mengesahkan sokongan Ahli Parlimen terhadapnya di depan YDP Agong. 

Kebiasaannya usul terhadap Perdana Menteri yang akan dibawa oleh mana-mana Ahli Parlimen adalah berkaitan Usul Undi Tidak Percaya.

Jika ramai Ahli Parlimen yang memilih “percaya Perdana Menteri” berbanding berkecuali atau memilih “tidak percaya Perdana Menteri”, ini akan memberi kesan ‘anti-klimaks’ pada 10 Mei kelak.

10 Mei

Pada tarikh ini, beberapa kumpulan tertentu yang pastinya dalam kalangan pro Anwar akan mendesak Tun Mahathir menunaikan janji menyerahkan jawatan kepada Anwar mengikut perjanjian 2 tahun penyerahan atau peralihan kuasa.

Ini merupakan kejayaan mereka sejak Reformasi 1998 dan seolah-olah ganjaran bagi mereka setelah lebih 20 tahun berhempas-pulas berjuang menjatuhkan Tun Mahathir demi menaikkan Anwar.

Rakyat boleh melihat kelak adakah Anwar berupaya mengawal orang-orangnya dalam keadaan parti PKR  sendiri ketika ini telah berpecah dua. 

Semua pihak dalam Pakatan Harapan berdebar-debar menanti tarikh ini kerana dijangka pelbagai insiden menarik akan berlaku tidak lama lagi. 

Adakah negara akan menyaksikan sekali lagi rusuhan, demonstrasi jalanan dan pertembungan antara pihak pendesak Tun Mahathir menyerahkan jawatan dengan pihak yang menyokong Perdana Menteri menamatkan penggal atau sekurang-kurangnya sehingga Sidang APEC 2020?

Jun – November

Pihak pro Anwar yang mendesak Tun Mahathir menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri selepas 2 tahun akan cuba bersabar selepas ‘ditenangkan’ oleh Anwar, demi menghabiskan tempoh ‘cooling-off period‘ sehingga Sidang APEC 2020.

6 bulan tempoh bertenang ini akan menyaksikan pelbagai insiden sindir-menyindir, gaduh-bergaduh dan saman-menyaman sesama Pakatan Harapan atas pelbagai isu akan terus berlaku. 

Sama sahaja seperti sebelum ini namun keadaan akan menjadi semakin tegang kerana tarikh peralihan kuasa semakin mendekat.

Ketika ini pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen akan mula menunjukkan kesetiaan masing-masing kerana tidak mahu tersalah pilih dan takut kehilangan kuasa. 

3 November

Pilihan Raya Presiden US dan Trump akan cuba mempertahan jawatan Presiden bagi penggal kedua.

Apa pula kena mengena dengan Pakatan Harapan? 

Ada ura-ura jika terpilih sekali lagi maka Trump akan mewakili negaranya yang juga anggota APEC, hadir pada Persidangan APEC 2020 kelak.

Kedatangan beliau pasti ditunggu-tunggu oleh kerajaan Pakatan Harapan yang banyak dibantu oleh Amerika Syarikat sebelum ini melalui International Republican Institute atau IRI.

Bagaimanapun, kedatangan Trump tetap tidak akan memberi impak apa-apa terhadap peralihan kuasa antara Tun Mahathir dan Anwar, cuma sekadar menyedapkan hati beberapa pihak buat beberapa ketika sahaja. 

6 November 

Perancangan APEC 2020 bermula lebih awal melalui perhimpunan pegawai-pegawai kanan secara tidak rasmi pada awal bulan November di Langkawi.

Kemudiannya disertai dengan pertemuan para menteri sehingga mesyuarat Ketua – Ketua Negara dan pemimpin dunia bermula pada 6 sehingga 12 November, sebelum Sidang Kemuncak APEC 2020 dimulakan. 

Pertengahan November

Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia apabila menjadi tuan rumah buat kali kedua bagi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) yang bakal disertai lebih 21 negara dan 16,000 delegasi antarabangsa. 

Kali pertama Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak APEC ialah pada 1998, lebih 20 tahun lepas.  

Namun November ini menjadi tarikh keramat buat Pakatan Harapan bagi menyelesaikan peralihan kuasa antara Mahathir ke Anwar, jika tarikh-tarikh lain yang dinyatakan sebelum ini tidak kesampaian.

Penghujung November

Kemuncak sebenar pada bulan November ini bukanlah mengenai APEC 2020 telah selesai dengan jayanya ataupun apa yang telah dicapai melalui Matlamat Bogor yang mencapai tempoh matang pada tahun ini. 

Juga bukan mengenai cadangan dan hala tuju matlamat seterusnya yang akan diterajui oleh Malaysia  selaku tuan rumah APEC 2020.

Kemuncak sebenar yang di tunggu-tunggu oleh seluruh pendokong dan pemimpin Pakatan Harapan bagi bulan November adalah mengenai peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengumuman Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan. 

Disember

Malaysia menyaksikan pengganti bagi jawatan Perdana Menteri selepas Tun Mahathir menyerahkan jawatannya kepada Anwar Ibrahim. Proses penyerahan selepas APEC 2020 mungkin berlanjutan sehingga bulan Disember.

Jika peralihan kuasa berjalan lancar maka pihak pro Anwar dalam Pakatan Harapan akan bergembira pada bulan ini dan segelintir akan berduka kerana tidak memihak kepada Anwar Ibrahim sejak awal.

Witch hunt‘ dan tuduh-menuduh akan berlaku kembali namun kali ini melibatkan sesama Pakatan Harapan. 

Tarikh keramat Pakatan Harapan 

“Tarikh-tarikh keramat” di atas bagi Pakatan Harapan akan berubah sekiranya Tun Mahathir terlebih dahulu memulakan gerakan untuk bergabung mewujudkan kerajaan perpaduan dengan kerjasama Barisan Nasional dan PAS, tanpa tarikh tertentu yang mengikatnya.

Itupun jika benar ada pakatan sedemikian maka ia akan dilakukan secepat mungkin sebelum tarikh terakhir penyerahan kuasa iaitu selepas Sidang Kemuncak APEC 2020.

Dengan tujuan utama menghalang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.

Ini yang menggusarkan Pakatan Harapan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts