Pasukan Peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Thomas yang tidak memberi sebarang dokumen kepada pasukan pembelaan hari ini.
Ini akan menyukarkan pihak pembelaan kerana tidak dapat membuat persediaan awal apabila perbicaraan dimulakan pertengahan Februari tahun depan.
“Apa yang kita ada hanyalah helaian kertas pertuduhan. Saya bahkan tidak mempunyai notis peringatan atau nasihat lain untuk menyediakan kes ini.”
“Untuk memikirkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, mereka bersedia mendakwa Najib pada bulan Julai 2015, mereka pasti telah menyediakan dokumen itu dan sepatutnya memberikannya kepada kami sekarang,” katanya.
Ini kerana Tan Sri Gani Patail sendiri menganggotai Pasukan Petugas Khas 1MDB yang akan menyerahkan perincian siasatan mereka kepada Tommy Thomas untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Peguam Negara.
Pasukan Petugas Khas 1MDB yang ditubuhkan pada 21 Mei lalu dianggotai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Ketua Pengarah Operasi SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull serta Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.