JIKA UBAT PAHIT ITU SAHAJA YANG MENYEMBUHKAN

459
SHARES
1.2k
VIEWS

SURAT PEMBACA Ombak siasah negara menderu kuat bermula dengan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri oleh YAB Tun Mahathir pada 24 Februari 2020. Dentuman guruh berkenaan disambut dengan hujan lebat lalu membanjiri hampir semua kawasan Parlimen.

Maka jenuhlah Ahli Parlimen membuat perbincangan beralih ke kawasan selamat demi menyelamatkan diri. Walaupun demikian, angin kencang terus membadai dan mereka yang tinggal di tepian pantai dan sungai terasa begitu terancam.

Barangkali itulah antara senario yang sedang gawat dilanda seramai 222 Ahli Parlimen (MP) yang mewakili 33.7 juta penduduk Malaysia kini.

Sebagai Payung Rakyat dan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang diaturkan oleh pihak British untuk memerdekakan Tanah Melayu pada tahun 1957, maka KDYMM SPB YDP Agong pantas mengambil peranan tuntas meredakan keadaan.

Seramai 222 MP siap membuat pemilihan Ketuanya pada 25 dan 26 Februari 2020 di Istana Negara – yang lelakinya penuh sopan bersongkok walaupun ada daripadanya yang dahulunya keras membantah etika bersongkok malah ada yang kuat menentang Institusi Di-Raja.

Hari itu semua tunduk patuh datang beradap tertib, mengadap dan menandatangi SD di hadapan KDYMM Tuanku Agong. Tidak pasti datangnya mereka demi rakyat dan tanggungjawab atau ingin “pertahankan nafsu serakah memohon nyawa politik dilanjutkan” sebagaimana kata warga maya dalam blog-blog yang hebat tular di ruang siber.

Setelah menemui YAB Tun Mahathir dan Ketua-ketua parti politik berpengaruh sedia ada beberapa kali, maka Istana Negara memecah kesunyian pada pagi 28 Februari 2020 mengumumkan bahawa “SPB YDPA masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baru.”

Terdahulunya, pada 27 Februari 2020 YAB Perdana Menteri Interim menggumumkan bahawa Sidang Parlimen Khas akan diadakan pada 3 Mac 2020 untuk memilih Perdana Menteri yang baru.

Namun Y.Bhg Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mengeluarkan Kenyataan Media bertarikh 28 Februari 2020 menyatakan arahan surat bertandatangan YAB Perdana Menteri Interim berkenaan tidak menepati Standing Order 11(3) kerana kuasa memanggil Mesyuarat MP hanya ada pada Speaker malah dalam kes political impasse ini Speaker berpendapat lebih tepat jika mendapatkan perkenan YDP Agong.

Ini diikuti Kenyataan Media pihak Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Di-Raja pada 28 Februari 2020 mengesahkan perkenan Tuanku YDP Agong akan arahan YDP Dewan Rakyat berkenaan.

Di peringkat ini, amat jelas rakyat diberikan pendidikan percuma memahami susur galur pelbagai peruntukan Perlembagaan berkaitan fungsi dan kuasa YDP Agong selaku Raja Berperlembagaan.

Sebelum ini warga hanya menganggap tugas Tuanku YDP Agong hanyalah ceremonial belaka, tidak substantive dan tidak mempunyai impak langsung pada pemerintahan dan pentadbiran negara walaupun peruntukan perundangan itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhnya, Maha Bijaksana-Mu Ya Allah, yang telah mengaturkan segalanya, memakbulkan doa ummah yang terseksa dan menderita di bawah perebutan kuasa manusia – penuh daya muslihat, penuh angkara.

Yalah… ini pertama kali seorang Perdana Menteri meletakkan jawatan mengakibatkan seluruh Jemaah Menteri dan kerajaan terbubar dengan sendirinya walaupun ada laporan tular mengatakan ada MP Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa cuba pertahankan keabsahan jawatannya.

Sayang seribu kali sayang, masih ada YB yang tidak faham peruntukan Perlembagaan rupanya tetapi masih berjaya di peti undi warga dalam PRU-14 dan dilantik menjadi Menteri! Atau “rakyat sudah dikencingnya yang bau hancingnya mula berdesing” seperti yang kuat ‘berdengung’ tular di pelbagai aplikasi media sosial. Budak-budak muda memang laju dengan Instagram, Twitter, Facebook dan Whatsapp… 

Lewat petang menjelang Maghrib tanggal 28 Februari 2020, keadaan gawat ‘bagai nak rak’ kata orang, menjadi ‘tenang’ (bagi satu blok politik tetapi penuh debaran dan hampir kekecewaan bagi yang satu lagi) sebentar apabila terdengar perakuan Parti PPBM sebulat suara, dengan persetujuan Tun Mahathir yang kembali memegang jawatan Pengerusinya, telah mencadangkan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PPBM sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Usul ini mendapat sokongan padu sebulat suara kesemua MP Barisan Nasional dan PAS dalam kerangka blok PPBM dan Perikatan Nasional (PN).

Angka keramat sehingga lewat malam 28 Februari 2020 adalah: UMNO – 39, PPBM – 36, PAS – 18, GPS – 19, Warisan – 9, MCA – 2, MIC – 1, PBRS – 1 berjumlah 125 MP berbanding PH yang mempunyai 92 kerusi.

Baki 4 kerusi MP dijangka akan menyeberang menyokong gandingan PPBM dan PN untuk membentuk kerajaan baru dengan jangkaan TS Muhyiddin Yassin selalu Perdana Menteri yang baru, seawal-awalnya hari ini, Sabtu, 29 Februari 2020.
 
Demikianlah sinetron politik hebat Malaysia berlaku dalam tempoh 5 hari sahaja. Nasib baik kesemua 222 MP ditambah dengan lebih ramai ADUN negeri-negeri kuat jantungnya kerana setakat ini tiada laporan ada YB yang jatuh pengsan atau mengalami cardiac arrest.  
 
Terkini, pada pagi 29 Februari 2020, sekali lagi rakyat dikejutkan oleh Tun Mahathir yang membuat pusing U kali yang entah kali ke berapa, menawarkan diri mengetuai PH selaku Perdana Menteri!

Kita tidak ada apa yang dikatakan kecuali berdoa bermunajat agar Allah SWT memberi kekuatan kepada SPB YDP Agong membuat keputusan terbaik untuk Islam, ummah dan negara.

Amat diharapkan tirai wayang penuh suspense ini dilabuhkan dalam masa terdekat apabila KDYMM SPB YDP Agong membuat langkah menggerak bidak catur terakhirnya melakukan checkmate penutup Chess Game dengan perkenan KDYMM Majlis Raja-Raja Melayu yang barangkali sudah dirundingkan Baginda pada Jumaat, 28 Februari 2020.

Setelah 62 tahun selepas Merdeka, kali kedua tampuk pemerintahan beralih tangan kepada blok politik bernama Pakatan Harapan (PH) yang hanya memerintah paling pendek dalam sejarah pemerintahan negara, hanya 22 bulan sahaja memerintah, kini gugur tersungkur akibat ketuanya sendiri yang hilang kepercayaan terhadap ahli kabinetnya dan tidak mampu menakhodai PH seterusnya.

Bahtera Kerajaan runtuh tenggelam bukan sahaja akibat gelombang yang semakin deras dan ganas, tetapi lebih kepada perbalahan “ketua-ketua kartel berebut kuasa secara dalaman,” masing-masing menanti waktu menjatuhkan Nakhoda Utama. Nakhoda cuba bertahan namun kuda-kudanya semakin lemah akibat dimamah usia barangkali; “…sudah tidak tahan, tiang seri utama patah lalu bahtera tenggelam seluruhnya”.

Namun peliknya tetiba hari ini Nakhoda uzur kembali memohon nyawa setelah anak-anak bahtera melutut memohon ampun, akur kepada segala perintah Nakhoda dan berjanji tidak mengengkarinya lagi.  
 
Orang yang sedang sakit memerlukan rawatan segera.  Perubatan moden berasaskan ubat-ubatan, bukannya jampi serapah bomoh zaman klasik yang sudah lama ditinggalkan. Dan lazimnya ubat yang bagus biasanya pahit; malah ada yang mengatakan lebih pahit ubat itu, lebih mujarab kesannya.

Justeru, 222 Ahli Parlimen terpaksa menelan ubat – ada yang boleh menahan pahit namun ada yang termuntah menyemburkannya keluar. Jadi, lambatlah baik nanti kerana tak makan ubat!  Jika hanya ubat pahit itu sahaja yang menyembuhkan, telanlah ubat itu untuk semakin sihat dan pulih kembali untuk berkhidmat kepada rakyat.
 
Bukankah itu harga menjadi seorang Wakil Rakyat.
 
“Bukankah kau yang YB, bukannya aku!” Macam pernah dengar je…..

Rijaluddin Ahmad

Kuala Lumpur

29 Februari 2020

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts