AMNESTY JANGAN KACAU GANGGU SIASATAN POLIS!

635
SHARES
2.3k
VIEWS

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) ingin memberi amaran keras kepada Amnesty International Malaysia (AIM) agar tidak campur tangan atau kacau ganggu siasatan PDRM terhadap peguam Fadiah Nadwa Fitri yang terlibat di dalam himpunan haram di Dataran Merdeka pada 29 Februari 2020 dan juga 3 individu lain yang disiasat kerana penghinaan terhadap keputusan YDP Agong terhadap pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

MUAFAKAT ingin mengingatkan AIM bahawa Malaysia mempunyai pendekatan dan platform yang lebih bertamadun bagi menyuarakan pendapat, tidak semestinya semuanya melalui demostrasi jalanan. Jangan bawa budaya karut dari Barat ke negara sopan kita ini.

Hak asasi di Malaysia adalah merupakan hak asasi yang bersifat terpimpin dan bukan hak asasi bersifat anarki sehingga boleh menggugat kestabilan dan keamanan negara.

Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara iaitu; Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Ini prinsip paling asas yang wajib diketahui dan menjadi panduan setiap yang mengaku sebagai rakyat Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat perkenan YDP Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Mengikut Perlembagaan, YDP Agong mempunyai kuasa yang amat luas dalam melaksanakan budi bicara ini. Dalam Perkara 43(2) (a) disebut bahawa YDP Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang “pada hematnya mungkin” mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Oleh itu, semua pihak perlu menerima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada tidak mempersoal ketetapan baginda dalam perkara pelantikan tersebut.

Justeru, sebarang tunjuk perasaan atau ekspresi tidak puas hati yang tidak selaras dengan prinsip Rukun Negara ke-2 dan 3 boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menderhaka dan tidak menghormati Perlembagaan. Malah lontaran perasaan tidak puas hati dengan menjerit dan melolong di jalanan bukan mencerminkan prinsip Rukun Negara ke-5 iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Kesemua ini boleh menjerumus dan menyebabkan keadaan negara menjadi huru-hara dan ketidakstabilan. Malaysia mempunyai kedaulatan undang-undang yang perlu dipelihara. Oleh itu AIM diberi amaran keras supaya tidak kacau ganggu di dalam urusan siasatan polis.

MUAFAKAT tidak sesekali boleh menerima sesiapa sahaja yang menderhaka terhadap YDP Agong dan sentiasa membela institusi Raja-Raja Melayu.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts