PEMUDA PAS SELANGOR SOKONG AGENDA PERPADUAN DAN KEBAJIKAN RAKYAT MENJADI FOKUS UTAMA

375
SHARES
2.2k
VIEWS

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

2 Mac 2020  l  7 Rejab 1441

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyokong penuh seruan Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS menerusi Kenyataan Media PAS Pusat semalam mengenai agenda pemerkasaan perpaduan kalangan rakyat serta keutamaan kebajikan yang mesti diberikan tumpuan penuh oleh kerajaan Malaysia baharu di bawah tampuk pentadbiran Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin.

2. Kabinet Malaysia yang bakal dibentuk sewajarnya mengambil kira kegagalan kerajaan sebelum ini agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kerajaan mesti bertindak meletakkan agenda besar pemulihan negara sebagai kepentingan utama yang mengatasi kesempitan blok kepartian yang terus menerus memangsakan rakyat.

3. DPPNS berkeyakinan agenda perpaduan dan kebajikan rakyat adalah agenda yang dinantikan-nantikan oleh semua rakyat setelah mereka dikecewakan oleh kerajaan PH yang lalu dengan pengabaian terhadap pelaksanaan janji manifesto ekoran keghairahan dan kerakusan individu tertentu dalam isu peralihan kuasa yang tidak berkesudahan. Justeru, rakyat pastinya mahu melihat sesuatu yang lebih baik mampu dilakukan oleh kerajaan baharu pada hari ini bagi memastikan agenda pemuliharan negara berada di tahap yang lebih baik.

4. DPPNS mengormati penjelasan dari Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS yang menekankan fokus agenda berbanding agihan jawatan dalam kerajaan. Ini jelas membuktikan PAS tidak gila kuasa namun apa yang diperjuangkan oleh PAS ialah penekanan kebajikan rakyat yang menjadi agenda utama. Malahan, keseriusan PAS dalam agenda kebajikan ini terserlah apabila turut ditegaskan isu kesaksamaan dan keseimbangan berhubung isu pembangunan dan kemajuan ekonomi antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

5. Selain itu, penekanan ke atas prinsip Federalisme yang dihormati adalah dengan memastikan keadilan dirasai bersama merupakan satu indikator penting dalam pentadbiran kerajaan baharu yang mesti dibuktikan. Ini kerana, pentadbiran Pusat sebelum ini ‘menganaktirikan’ negeri yang diperintah oleh pihak pembangkang. Lantaran itu, perolehan kuasa sebagai kerajaan Pusat bukanlah untuk membalas dendam namun untuk memperbaiki kesilapan yang lalu.

6. DPPNS juga menyeru semua jentera anak muda untuk bangkit memaksimakan tenaga kerja bagi memperkasakan dan menyebar luaskan agenda di setiap peringkat. Jika dahulu posisi kita berada di pihak pembangkang, kini kita berada di posisi sebahagian dari kerajaan Pusat. Sudah pasti, ia memerlukan lebih pengorbanan dan komitmen yang tingkat untuk memastikan kejayaan PAS dalam suasana sebahagian dari kerajaan Pusat pada hari ini.

Demi Islam

Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah

Ustaz Hanafi bin Zulkapli

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3141890609195556&id=225685927482720

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts