USAH SIBUK BEREBUT KUASA, JAWATAN – JMM

160
SHARES
514
VIEWS

KENYATAAN MEDIA 5 MAC 2020

PERTAMA sekali, saya menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan Baginda dalam menyelesaikan krisis politik di negara kita baru-baru ini.

Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pihak terutamanya parti-parti gabungan Perikatan Nasional dan sekutunya untuk memberi kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan yang boleh dipercayai oleh rakyat dan mendengar kehendak rakyat.

Saya juga mengharapkan agar semua pemimpin dari semua parti agar tidak lari dari semangat awal tujuan penggabungan ini yang akhirnya membentuk kerajaan baharu selepas rakyat kecewa dengan kerakusan DAP merebut kuasa dalam Pakatan Harapan sehingga menyaksikan mereka tumbang dan hilang kepercayaan rakyat.

Kita juga mengharapkan barisan pemimpin Melayu dan Islam yang kini mendominasi kerajaaan untuk menunjukkan semangat kejujuran amanah serta tidak menjadikan kepentingan kuasa atau peribadi sebagai punca untuk penggabungan ini.

Malah pemimpin perlu menolak kepentingan peribadi dan tidak mewujudkan perbalahan sesama sendiri sehingga akhirnya menyebabkan rakyat menjadi kecewa sekali lagi. Rakyat pernah kecewa dengan UMNO dan menunjukkan kuasa mereka pada PRU-14 untuk menjatuhkan BN selepas lebih 60 tahun memerintah.

Seharusnya, pemimpin UMNO mengambil iktibar daripada keputusan PRU-14 dan menunjukkan semangat muafakat dalam kerajaan baharu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Majoriti rakyat hari ini gembira dengan tumbangnya Pakatan Harapan yang didominasi DAP dan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

Namun isu perebutan kuasa yang heboh diperkatakan dalam laporan media memberi gambaran kurang senang kepada rakyat tentang kerajaan gabungan baharu ini dan sedikit demi sedikit kepercayaan rakyat terhakis!

Oleh itu, semua pemimpin baik dari semua kalangan khususnya UMNO perlu bermuhasahbah dengan sejarah sebelum ini bahawa mereka sudah pernah ditolak rakyat dan tidak mustahil akan ditolak kembali jika tidak mengambil pengajaran yang lepas. Ingatlah bahawa kini sedang memerhatikan setiap keputusan dan tindak tanduk pemimpin.

Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan baharu untuk membawa satu perubahan besar dari setiap aspek terutamanya ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Jangan sia-siakan peluang dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat. Ketepikan soal perebutan kuasa dan kembali fokus untuk menjalankan mandat rakyat dengan lebih berintegriti, jujur dan amanah!

DATO’ AZWANDDIN HAMZAH

PRESIDEN JARINGAN MELAYU MALAYSIA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts