Oleh Isham Jalil
Lewat malam semalam bank HSBC telah membuat keputusan untuk tidak mengenakan faedah ke atas pinjaman konvensional dan juga keuntungan ke atas pinjaman Islamik bagi semua peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhananya.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne berkata langkah ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelanggan-pelanggan bank tersebut yang menghadapi cabaran akibat wabak Coronavirus COVID-19 ini.
Langkah ini adalah melebihi arahan Bank Negara Malaysia kelmarin yang mana faedah masih tetap berjalan dan dikenakan semasa tempoh 6 bulan moratorium walaupun pembayaran prinsipal ditangguhkan bagi pinjaman selain sewa beli (kenderaan).
……..
Sebelum ini saya telah menulis bahawa sepatutnya semua bank mengambil langkah ini (iaitu mengecualikan faedah dan keuntungan pinjaman semasa tempoh moratorium).
Bank tidak sepatutnya masih mengambil untung di kala semua orang lain rugi dan hilang pekerjaan serta menghadapi cabaran kewangan semasa wabak COVID-19 ini.
Apabila bank menangguhkan pembayaran namun masih mengenakan faedah dalam tempoh penangguhan, mereka tidak rugi apa-apa malah mungkin mengambil untung lebih dari yang sepatutnya.
Ini adalah kerana kos peluang atau ‘opportunity cost‘ mereka sekarang adalah lebih rendah berbanding kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam-peminjam di kala keadaan ekonomi yang merudum dan prestasi pasaran saham yang terendah dalam tempoh sedekad.
……..
Apabila peminjam mula sedar bahawa baki pinjaman mereka naik mendadak selepas enam bulan nanti, sekurang-kurangnya tiga perkara akan berlaku kepada peminjam-peminjam (dan rakyat):
PERTAMA, mereka akan marah kepada kerajaan.
KEDUA, kepada peminjam yang masih menghadapi kesukaran kewangan atau kehilangan pekerjaan dan pendapatan, mereka terpaksa menstruktur semula pinjaman mereka kepada tempoh yang lebih panjang (dan ini merugikan mereka dan menguntungkan bank lagi), atau
KETIGA, mereka terus tidak bayar bank kerana tidak mampu dan menganggap kadar faedah semasa tempoh moratorium tersebut adalah tidak adil dan mencekik darah.
Ini akan mengakibatkan kadar pinjaman tidak berbayar atau ‘Non-performing Loans (NPL)‘ negara meningkat.
……..
Semasa tahun-tahun saya di Harvard dan Wharton dahulu, saya telah mengkaji krisis ekonomi dan kewangan negara-negara di dunia termasuk Malaysia.
Antara sebab utama krisis ekonomi sub-prima di Amerika Syarikat pada tahun 2008 ialah apabila peminjam-peminjam yang ditangguhkan pembayaran untuk pinjaman mereka tiba-tiba perlu membayar prinsipal dan faedah terkumpul yang banyak apabila tamat tempoh moratorium.
Banyak dari mereka yang tidak ada kerja dan pendapatan tetap, seperti yang dijangka akan berlaku di Malaysia semasa dan selepas wabak COVID-19 ini.
Apabila ini berlaku, berjuta-juta pinjaman bank menjadi tidak berbayar.
Apabila ramai peminjam tidak lagi mampu membayar pinjaman ia akan memberi kesan buruk kepada bank-bank juga.
Pada ketika itu banyak bank-bank telah jatuh dan ‘bungkus’ serta ekonomi Amerika Syarikat dan dunia telah menjadi huru-hara.
Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Malaysia.
……..
Jika bank-bank tidak mahu mengecualikan terus faedah dan keuntungan semasa tempoh moratorium seperti yang dibuat oleh Bank HSBC semalam, bank-bank boleh mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar semasa tempoh ini terutama kepada pelanggan-pelanggan M40 ke bawah.
Bank-bank di Malaysia bukanlah bank-bank yang kecil namun mempunyai jumlah aset beratus-ratus billion dollar sepertimana HSBC, bank-bank ini boleh menanggung sedikit beban jauh lebih baik daripada pelanggan-pelanggan mereka yang menghadapi kesukaran kewangan.
Bank perlu juga menanggung beban ini seperti orang lain dan tidak hanya melihat haloba.
Kerana seperti kata Perdana Menteri, semasa krisis COVID-19 ini, “Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing”.
26 Mac 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/683301055758755/?d=n