KENYATAAN AKHBAR PPMM MENGENAI ISU HEINEKEN DIBENARKAN BEROPERASI

137
SHARES
363
VIEWS

KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA MENGENAI KEBENARAN BEROPERASI KEPADA HEINEKEN MALAYSIA BERHAD DALAM TEMPOH PKP

6 April 2020

1. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sangat berdukacita dengan pengesahan dan persetujuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membenarkan Heineken Malaysia Berhad dibuka/beroperasi dalam tempoh PKP ini. Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Hj Ahmad dalam suratnya bertarikh 31 Mac 2020 yang telah tular di media sosial dikatakan Kementerian tersebut berpuas hati permohonan kilang arak tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

2. Berita ini juga telah dilaporkan di beberapa media dan boleh diakses antaranya di Malaysia Dateline (https://malaysiadateline.com/kerajaan-melayu-islam-pn-benarkan-syarikat-arak-beroperasi-ketika-pkp/) dan Malaysiakini (https://www.malaysiakini.com/news/518950 ). Malaysiakini juga dalam laporan menyatakan sumber Heineken mengesahkan ketulenan surat tersebut.

3. PPMM juga mendapati terdapat bantahan yang dikemukakan terhadap keputusan Kementerian tersebut yang dikemukakan antaranya oleh Armada Bersatu (https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/04/06/pemuda-ppbm-persoal-kilang-arak-heineken-dibenar-beroperasi-semasa-pkp/) dan Pertubuhan-Pertubuhan PEMBELA Islam. 

4. Semasa PKP ini hanya sepuluh sektor keperluan yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) beroperasi iaitu makanan, air, tenaga, komunikasi dan internet, keselamatan dan pertahanan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembentungan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk produk diet, perbankan dan kewangan, e dagang dan logistik.

5. PPMM sangat musykil bagaimana Heineken Malaysia Berhad yang mengilangkan produk arak atau ‘brewery’ boleh dikategorikan oleh KPDNHEP sebagai produk makanan yang merupakan keperluan rakyat Malaysia. Adakah meminum minuman
memabukkan menjadi keperluan rakyat Malaysia? Walhal dalam tempoh bukan PKP pun sebahagian besar rakyat Malaysia tidak meminum arak. Di manakah keperluan ini?

6. PPMM juga mempersoalkan bagaimana KPDNHEP boleh mengatasi MKN di dalam membuat keputusan ini. Walaupun terdapat syarat-syarat yang dikenakan oleh KPDNHEP di dalam surat tersebut (yang tidak dapat diakses dan tidak ditularkan), kebenaran ini boleh membawa risiko mewujudkan suatu kluster baru Covid-19 apabila semua pekerja kilang tersebut kembali bekerja. 

7. Sebagaimana PPMM dahulu tidak bersetuju persidangan Dewan Rakyat untuk membahaskan Pakej Ransangan Ekonomi, premis yang sama diambil PPMM dalam isu ini kerana ia membawa risiko terhadap keselamatan kesihatan rakyat Malaysia.

8. PPMM mendesak MKN mengenepikan keputusan KPDNHEP ini kerana ia tidak selaras dengan apa yang dilakukan oleh MKN selama ini malah Kementerian Kesihatan Malaysia juga pasti mengambil pendirian meminum arak tidak baik untuk kesihatan. Adakah ini bermakna Kerajaan Malaysia mahu menggalakkan meminum arak dalam waktu PKP ini?

9. Dalam tempoh PKP ini perniagaan halal pun banyak yang ditutup, tiba-tiba perniagaan haram yang bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat majoriti rakyat Malaysia dibenarkan. Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nanta Linggi perlu menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap perkara ini dan seterusnya menarik balik kebenaran yang diberikan.

10. PPMM juga menasihati KPDNHEP agar tidak terpengaruh dengan keputusan di luar negara yang mengklasifikasikan ‘brewery’ sebagai sektor keperluan kerana di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Australia rata-rata rakyatnya memang meminum
arak. Di Malaysia pula Islam adalah agama bagi Persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutan dan arak diharamkan di dalam Islam. Norma lazim dan budaya hidup rakyat Malaysia khususnya orang Islam sangat berbeza dengan orang luar negara tersebut.

11. PPMM berpandangan kegagalan atau keengganan pihak kerajaan mengenepikan keputusan ini memberi isyarat kepada orang Islam arus perdana bahawa pihak kerajaan memberi ruang kepada sektor bukan keperluan yang mereka mempunyai kepentingan tertentu. Ia juga menzahirkan cara hidup sihat tidak dipromosikan oleh pihak kerajaan.

12. Jika dilihat dari sudut agama pula, sudah pasti masyarakat Islam arus perdana akan berpendirian pihak kerajaan tidak mempunyai sensitiviti beragama khususnya di dalam waktu PKP ini walaupun majoriti ahli Jemaah Menteri beragama Islam. Sudah tidak cukupkah bekalan arak yang ada di pasaran untuk dibeli oleh orang bukan Islam sehingga mahu membenarkan kilang arak beroperasi dalam tempoh PKP ini?

13. Oleh itu PPMM sekali lagi mendesak keputusan yang dibuat KPDNHEP ini diakas kerana ia bertentangan dengan usaha pihak kerajaan sendiri yang mahu memastikan keselamatan kesihatan rakyat Malaysia. PPMM juga mendesak sekiranya ada kilang arak lain yang diberikan kebenaran yang sama, ia juga hendaklah dibatalkan dengan serta merta.

14. Rakyat mahu melihat kerajaan ini berbeza dari kerajaan-kerajaan terdahulu dalam isu memartabatkan agama Islam dan kepentingan negara. PPMM mendesak pihak kerajaan mengambil langkah berperingkat ke arah menutup terus kilang arak dari beroperasi di Malaysia.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts