SEUMPAMA ‘ASAP PALSU’ YANG MENGELIRUKAN KITA DALAM ISU MUSLIM ROHINGYA

133
SHARES
430
VIEWS

Oleh Dr Riduan Mohamad Nor

Pengerusi LESTARI

Tanahair ini sentiasa membahang panas dengan pelbagai isu yang menunjal-nunjal nurani kita. Seolah hilang keberkatan dan kemuliaan Ramadan di laman jiwa sebahagian umat Islam di negara ini apabila isu pelarian Rohingya meledak sehingga membakar erti persaudaraan Islam. Segala bahan lama media sosial dikitar semula bagi ‘merencah’ api kebencian kepada pelarian Rohingya, bertimbun konotasi negatif dibalut pada kelompok pelarian ini. Pengotor, pemalas, kaduk naik junjung, pembelit, penipu dan seribu gelaran jelik sehingga kita terlupa sedang memasuki bulan rahmat dan bulan pengampunan.

Segalanya berakar daripada radius kurang daripada lima kilometer daripada pasar borong Selayang, pusat tumpuan masyarakat Myanmar meraih rezeki dan dikatakan bersikap ‘besar kepala’. Bersambung dengan apa yang diviralkan tuntutan rakyat Rohingya untuk mendapatkan hak di negara ‘Semenanjung Emas’ maka sebahagian kita seolah hilang kewarasan.

Bahkan tanpa pemerincian, siapa sahaja terkait dengan Myanmar dikira sebagai Rohingya, bergentayangan maklumat salah dan separuh benar yang ditelan oleh masyarakat kita. Seorang pegawai tinggi tentera kelmarin menafikan bahawa dia menulis naratif sejarah etnik Rohingya yang menyatakan bangsa ini berasal daripada Bangladesh dan terusir kerana kebobrokan nilai dan sikap.

Ironisnya, kerajaan Islam Arakan atau pemetaan geografi di zaman kontemporari ini dikenali sebagai Rakhine State adalah asalnya sebuah kerajaan Islam yang berdaulat di zaman dahulu. Arakan daripada perkataan arkan, arkanu atau rukun adalah merujuk kepada rukun Islam. Pada tahun 1913, kerajaan Islam Arakan pernah menghantar bantuan kewangan kepada khilafah Uthmaniah yang sedang berperang di Balkan. Kelicikan British memasukkan wilayah ini ke dalam Burma sehinggalah Burma yang dimerdekakan pada tahun 1948. Bermulalah pemencilan kepada Muslim Rohingya di Arakan dengan sejarah penindasan yang lebih daripada tujuh dekad.

Penghapusan etnik Rohingya berjalan dengan sistematik, bangsa ini dibodohkan dengan cara dinafikan hak untuk mendapat pendidikan. Mereka hanya meminta hak mereka sebagai manusia, bahkan mereka hilang hak sebagai warganegara Mynmar. Jutaan etnik Rohingya melarikan diri termasuk ke Malaysia yang dipercayai mereka saudara muslim mereka. Hampir dua juta berkampung di wilayah Cox Bazaar di Bangladesh. Mendiami kawasan padat dan kotor di Kem Khutuphalong, Thangkhali, Bhakupali, Teknaf dan sekitarnya.

Nasib mereka kurang baik kerana berjiran dengan negara miskin Bangladesh dengan populasi lebih 160 juta penduduk. Di negara miskin itulah nasib tuah badan mereka menumpang, ada yang mengambil risiko menaiki bot untuk melarikan diri ke negara lain akhirnya berbulan dilambung samudera Laut Andaman.

Kematian mengintai mereka sehingga ada kalangan kita dengan mudah melayangkan amarah “elok sangat Rohingya mati dibunuh tentera Myanmar, bagus mereka mati sahaja kelaparan di tengah lautan” dan pelbagai lagi bahasa kecaman bersalut api kebencian. Saya terlibat secara langsung di lapangan operasi membantu Muslim tertindas ini bersama NGO Muslim Care Malaysia, pernah ke Myanmar, Bangladesh, Acheh Utara menyantuni mereka dan sejujurnya inilah pelarian paling malang dalam sejarah dunia!.

Saya mengesyaki ada sesuatu yang cuba dipesongkan perhatian kita semua dalam isu Muslim Rohingya ini. Dalam tirai yang berlapis-lapis, rakyat seolah tidak menyedari apabila isu kerakyatan mula timbul apabila orang kuat Jabatan Pendaftaran Negara ditahan pihak keselamatan kerana sindiket menjual kad pengenalan.

Ironinya pula, semasa media sosial menggelegak dengan ribuan warga Tanah besar China tidak keluar daripada Malaysia, seolah rakyat dipalingkan agar terlupa pada pangkal isu yang sebenar. ‘Asap palsu’ mula direkayasa, rakyat tidak lagi bercakap isu lambakan pelancong asing yang tidak muncul setelah tamat tempoh visa. Puluhan ribu pelancong daripada Tanah Besar China ‘menghilang’ dengan visa sementara mereka.

Rakyat sepatutnya bertanya dan perlu tahu apa yang terjadi kepada warga asing ini, apatah lagi permohonan menjadi warga negara Malaysia meningkat dengan mendadak di zaman kerajaan PH dalam tempoh 22 bulan. Jangan kita lupa, di zaman kerajaan PH pula mengumumkan 22 billion ringgit nilai rumah mewah tidak terjual dan penjualan akan dibuka kepada warga asing. Ini semua menimbulkan kesangsian rakyat terutama warga Bumiputera yang sebahagian masih lagi berada dalam lingkaran ganas kemiskinan. Kluster kayangan warga asing ini masuk dengan berkepuk wang tidak sebagaimana etnik Rohingya yang papa dan tanpa pendidikan asas.

Rakyat wajar merasa bimbang dengan teori konspirasi bidak catur musuh Islam untuk membawa masuk bangsa-bangsa luar demi mengucar-kacirkan sosio-budaya negara ini yang dilihat mempunyai peranan dalam komuniti dunia Islam. Dunia Islam tidak lagi memandang negara Arab sebagai sumber rujukan politik dan kebaikan.

Negara bukan Arab seperti Turki dan Malaysia diintai sebagai kuasa semak dan imbang dalam komuniti Islam antarabangsa. Malangnya bacaan sosio-politik kita amat lemah dan mudah terpancing dengan emosi sehingga menghunjam semahunya saudara Islam kita. Saya tidak menafikan etnik ini juga mempunyai tampang negatif dan sisi gelapnya, namun berpada-padalah kita dalam menghukum. RBA memancing kita agar saling bermusuhan dan membenci sesama Muslim sehingga melupakan isu pokok yang sebenar.

Di wilayah Asia Tenggara ini, hanya negara Malaysia, Indonesia dan Brunei sahaja mempunyai majoriti umat Islam, kaum pribumi masih teguh memegang akidah Islam walau digoda untuk murtad. Tanah Jawi ini sepanjang sejarahnya diidamkan oleh bangsa-bangsa asing, kerajaan mestilah tegas dalam isu lambakan warga asing, mengadakan pemutihan kewarganegaraan serta menghukum pengkhianat negara yang terlibat dengan isu sindiket penjualan kad pengenalan sehingga nilainya ratusan ribu ringgit. Ubatlah sebelum negara ini berantakan!.

(Penulis ialah aktivis bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts