1. Dalam isu etnik Rohingya ini, CENTHRA berpendirian bahawa kedaulatan negara, “territorial integrity” dan kebajikan rakyat Malaysia perlu diutamakan, di samping tidak melupakan tanggungjawab insaniah terhadap golongan yang memerlukan termasuk kalangan pelarian dalam kapasiti kemampuan negara;
2. CENTHRA menegaskan bahawa etnik Rohingya dan semua golongan pelarian perlu menghormati undang-undang Malaysia, masyarakat, budaya, agama dan nilai-nilai serta peraturan di negara ini;
3. Malaysia seperti negara lain sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menuntut sumber yang ada difokus kepada rakyat sendiri. Sementara kita bersimpati dengan kaum Rohingya dan lain-lain golongan pelarian, pertimbangan pihak kerajaan dalam menyalurkan bantuan menurut keutamaan kepada rakyat Malaysia hendaklah dihormati. Fokus menyelamatkan nyawa setiap rakyat Malaysia, di samping mengelakkan jangkitan daripada merebak ke golongan bukan warganegara merupakan pendekatan bersepadu demi memastikan Covid-19 dapat dihapuskan sepenuhnya dan negara kita dapat berfungsi sepenuhnya dalam jangka waktu yang munasabah;
4. Etnik Rohingya yang berstatus Orang Tanpa Kewarganegaraan (OTK) tidak boleh diberikan kewarganegaraan Malaysia. Malah, mereka juga hendak pulang ke negara asal tetapi Akta Kewarganegaraan 1982 Myanmar telah membatalkan kerakyatan Rohingya. Selain itu, bukti serta penilaian ramai pakar hak asasi manusia antarabangsa telah menegaskan mereka juga berdepan dengan genosid – pembunuhan dan penghapusan etnik pada skala besar-besara di kampung halaman mereka;
5. Kita perlu merujuk kepada undang-undang antarabangsa – yang terkini ialah kegagalan Myanmar mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague mengenai “Provisional Measures” bertarikh 23 Januari 2020 yg menghendaki Myanmar menghentikan segala bentuk kekejaman dan kezaliman terhadap etnik Rohingya, termasuk memastikan mereka dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat. Ini tidak dilakukan. Kezaliman rejim Myanmar merupakan punca utama Rohingya terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kampung halaman;
6. Kita sedar bahawa di sebalik isu pelarian Rohingya, ada juga dalang mengambil kesempatan melakukan jenayah pemerdagangan manusia (human trafficking), serta kewujudan militan pemisah ARSA yang berpotensi mengancam keselamatan negara. Unsur-unsur ini tidak boleh dibiarkan dan pihak keselamatan negara perlu diberikan ruang menangani ancaman tersebut dengan wajar dan saksama.
7. Kita memperjuangkan hak asasi manusia etnik Rohingya menurut mekanisme perundangan hak asasi manusia antarabangsa – CENTHRA tegas bahawa bantuan kemanusiaan adalah penting tetapi bukan penyelesaian tuntas dan jangka panjang. Pada 2017 kumpulan peguam CENTHRA telah bersama-sama beberapa organisasi masyarakat sivil antarabangsa menjalankan Tribunal Awam Tetap (PPT) mengenai genosid terhadap Rohingya dan kaum lain, di Universiti Queen Mary, London dan Universiti Malaya, Kuala Lumpur untuk menekan kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan, pengusiran dan kekejaman terhadap Rohingya dan bagi memastikan mereka dapat hidup di negara sendiri dengan aman damai. PPT telah mencetuskan inisiatif antarabangsa bagi mengheret Myanmar ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telahpun memulakan penyiasatan terhadap kekejaman dan tindakan genosid Myanmar;
8. Sehingga ke hari ini, CENTHRA kekal konsisten mendesak supaya masyarakat antarabangsa menggunakan tekanan undang-undang bagi mencari penyelesaian terhadap masalah pelarian Rohingya; Kes yang dibawa negara The Gambia terhadap Myanmar di ICJ perlu diperkukuh dengan intervensi negara-negara yang menerima kebanjiran pelarian Rohingya seperti Bangladesh dan Malaysia. Tindakan melalui bantuan kemanusiaan bersifat jangka pendek dan tidak menyelesaikan masalah kebanjiran pelarian. Kita perlu menekan rejim Myanmar yang menjadi punca utama kebanjiran etnik Rohingya di rantau ini. TINDAKAN INI TIDAK POPULAR, MENGAMBIL MASA TETAPI LEBIH MAPAN DAN STRATEGIK;
9. Selain itu, wujud juga di kalangan segelintir NGO di Malaysia yang menangguk di air keruh, menggunakan alasan kemanusiaan untuk mengumpul dana demi Rohingya tanpa akauntabiliti jelas. Hal ini perlu diberi perhatian pihak berkuasa; pembaziran serta penyelewengan yang berlaku perlu dihentikan segera. Sebaliknya sumber yang ada boleh digunakan untuk tujuan tindakan perundangan antarabangsa yng lebih strategik dalam menekan kerajaan Myanmar agar menghormati hak Rohingya untuk hidup sebagai warganegara sah;
10. CENTHRA juga menyeru segelintir rakyat Malaysia yang menghina kaum Rohingya supaya menghentikan perbuatan tersebut. Kita tidak seharusnya menjadikan tindakan salah segelintir Rohingya dan lain-lain OTK sebagai asas untuk menyamaratakan penghinaan terhadap golongan malang yang berdepan kezaliman dan pembunuhan sekiranya mereka pulang. Khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini, kita perlu memelihara ibadah puasa kita dari kata-kata nista, perbuatan serta kebencian di dalam hati terhadap saudara seagama dan seinsan di kalangan kita.
Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia
Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)
26 April 2020