Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan 25 Mac lalu untuk bank-bank tempatan memberikan moratorium (penangguhan pembayaran balik pinjaman atau ansuran bulanan) selama 6 bulan bermula 1 Mei 2020, rakyat khususnya pelanggan bank rata-rata menarik nafas lega kerana bertanggapan Bank Negara memahami tekanan hidup rakyat lantaran PKP yang membataskan mereka daripada bekerja dan memperoleh pendapatan bagi menampung kehidupan termasuk bebanan hutang bank.
Namun, kenyataan BNM kelmarin mencetuskan kekeliruan apabila moratorium tersebut rupa-rupanya bukan bersifat automatik secara mutlak kerana pelanggan perlu memaklumkan kepada bank jika tidak mahu moratorium, malah bagi yang memilih untuk menangguhkan pembayaran berkemungkinan akan berhadapan dengan bayaran balik yang lebih tinggi selepas tempoh moratorium berakhir pada October, lantaran nilai faedah atau keuntungan terakru (nilai keuntungan bank terkumpul yang sepatutnya diperolehi dalam tempoh tertentu) selama 6 bulan yang dikenakan kepada pelanggan.
Mengapa ini berlaku?
1. BANK HANYALAH PERANTARA KEWANGAN
Secara mudahnya, bank hanyalah perantara kewangan (financial intermediary) antara wang pendeposit dengan pelanggan pelbagai produk pembiayaan. Maknanya, bank menguruskan wang orang lain bukannya milik bank. Keuntungan yang bank perolehi adalah daripada faedah yang dikenakan ke atas pelbagai produk pinjaman/pembiayaan yang akhirnya disalurkan kembali kepada pendeposit dalam bentuk dividen (faedah atas deposit). Justeru, sebarang penangguhan pembayaran pinjaman akan memberi kesan kepada bank yang perlu membayar balik nilai pokok beserta keuntungan kepada para pendeposit yang menyimpan di bank tersebut.
2. APAKAH PENDEPOSIT BERSEDIA UNTUK TIDAK MENDAPAT PULANGAN?
Apabila bank menawarkan moratorium, ini bermakna bank secara asasnya bersedia untuk tidak menerima sebarang keuntungan bagi penangguhan bayaran balik yang ditawarkan kepada peminjam atau pelanggan produk pembiayaan bagi tempoh tertentu. Ini turut memberi kesan langsung kepada pendeposit kerana wang pendepositlah yang digunakan untuk bank memberi pinjaman kewangan tersebut. Persoalannya apakah pendeposit bersedia sekiranya bagi tempoh tertentu mereka tidak akan menikmati kadar faedah atas simpanan mereka sebagaimana yang dijanjikan?
3. APAKAH CARA BAYARAN BALIK SELEPAS TEMPOH MORATORIUM?
Rata-rata institusi perbankan perlu mengambil kira kesan kepada pendeposit dan operasi bank dalam tempoh 6 bulan moratorium yang ditawarkan. Bagi mengelakkan sebarang bentuk kerugian termasuk kerugian akibat daripada implikasi perundangan dan piawaian perakaunan, bank terpaksa mengambil kira keuntungan atau faedah terakru, termasuk kos daripada kerugian selama 6 bulan penangguhan bayaran balik diberikan. Inilah yang memerlukan setiap bank mencari formula terbaik bagi kedua-dua belah pihak, bank dan peminjam untuk menstrukturkan semula pembayaran.
4. APA PILIHAN RAKYAT?
Dalam kenyataan terbaru BNM kelmarin, secara mudahnya ada 3 pilihan bagi rakyat.
(i) Pertama, meneruskan bayaran balik seperti biasa (tidak memilih untuk mengambil moratorium atau menangguhkan bayaran balik pinjaman).
(ii) Kedua, memilih moratorium tanpa memberi kesan kepada tempoh pinjaman iaitu mula membayar balik ansuran pinjaman mulai Oktober sehingga tamat tempoh matang pinjaman. Namun, jumlah bayaran balik akan lebih tinggi kerana bank mengambil kira keuntungan atau faedah terakru selama tempoh 6 bulan moratorium diberikan. Maknanya bank akan caj lebih kepada pelanggan.
(iii) Ketiga, memilih moratorium dengan melanjutkan tempoh pinjaman iaitu membayar balik ansuran pinjaman mulai Oktober dan ditambah tempoh bayaran balik selepas tamat tarikh matang pinjaman. Pelanggan juga akan dikenakan jumlah bayaran lebih tinggi sebagaimana pilihan kedua, cuma nilai ansuran mungkin lebih rendah kerana tempoh bayaran balik yang dipanjangkan.
5. APA KESAN SYARIAH KEPADA KONTRAK PERBANKAN ISLAM?
Prinsip Syariah adalah jelas, sekiranya ada apa-apa perubahan kepada terma dan syarat yang dipersetujui pada awalnya antara bank dengan pelanggan, maka persetujuan baharu antara kedua-dua pihak perlu dilakukan. Sebagai contoh, perubahan kepada cara dan kadar bayaran perlu dimaklumkan dan mendapat persetujuan yang jelas daripada pelanggan.
Memandangkan perbankan Islam menggunakan pelbagai kontrak syariah seperti berasaskan jual beli (murabahah) ataupun sewaan (ijarah) ataupun gabungan pelbagai kontrak (ijarah thuma al-bai, tawarruq, musharakah mutanaqisah), maka implikasi kontrak dan pengurusan prosedur mendapatkan persetujuan perlu diperhalusi dengan mengambil kira sifat, prinsip dan kesan kontrak-kontrak tersebut.
Sebagai contoh, bagi kontrak murabahah yang bersifat tetap dan jelas dari segi harga pokok dan kadar keuntungan. Sebarang perubahan kepada kadar keuntungan atau kaedah bayaran balik bagi yang memilih moratorium, memerlukan persetujuan dan kontrak (akad) baharu.
Berasaskan butiran di atas, pandangan saya adalah seperti berikut:
1. Kerajaan punya niat yang baik untuk mengurangkan beban rakyat dengan mencadangkan bank-bank tempatan menawarkan moratorium kepada para peminjam tatkala kegawatan pandemik covid-19 dan PKP melanda. Tindakan afirmatif kerajaan ini wajar dihargai mengambil kira maslahah rakyat yang lebih besar. Namun mekanisme dan pendekatan perlu dirancang dengan lebih kemas, sistematik dan berkesan. Komunikasi juga mesti kemas, jelas dan pantas.
2. BNM sebagai antara pelaksana kepada dasar Kerajaan ini seharusnya mengambil kira semua faktor sejak daripada awal termasuk kesan jangka pendek dan panjang kepada industri perbankan dan kestabilan sistem kewangan negara secara keseluruhannya. Ini kerana kesan moratorium yang dilaksanakan berbeza antara satu bank dengan bank yang lain bergantung kepada portfolio perniagaan bank-bank terbabit yang berasaskan kepada kontrak-kontrak syariah yang pelbagai.
3. Penerangan BNM perlu lebih jelas dan konsisten daripada awal bagi mengelakkan kekeliruan kepada rakyat. Jika wujud kesilapan, BNM perlu berani tampil akui kekhilafan dan ambil peluang untuk memperbaikinya dengan menggunakan pelbagai saluran komunikasi secara sistematik dan efisien.
4. BNM juga perlu memberikan panduan dan penerangan yang jelas mengenai sifat dan keunikan produk-produk kewangan Islam agar tidak disalah-tanggapi sebagai suatu yang membebankan. Malah lebih parah apabila terbentuknya persepsi bahawa perbankan Islam hanyalah bertopengkan agama dan istilah syariah bagi menghalalkan faedah yang membebankan.
5. Inilah masanya perbankan Islam mesti ditampilkan berbeza daripada amalan konvensional dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi terutamanya ketika umat dilanda musibah.
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
1 Mei 2020
(Dipetik dari laman Facebook beliau)
https://www.facebook.com/116331768396879/posts/3412540158776007/