Oleh Isham Jalil
Semalam Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir menyatakan bahawa Bersatu perlu meninggalkan kerjasama bersama UMNO dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Ujarnya, ini adalah kerana masalah pembahagian kerusi yang akan berlaku di antara Bersatu dengan UMNO dan PAS menjelang PRU-15 kelak.
Menurutnya, jika Bersatu kekal dalam PN mereka akan berebut kerusi dengan UMNO dan PAS dan Bersatu akan rugi.
Oleh sebab itu katanya Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja (jika mahu survive) iaitu kembali kepada PH.
Saya tidak kenal Mukhriz secara peribadi namun dari jauh dia nampak seperti seorang yang baik-baik sahaja dan lemah lembut.
Namun dari segi politik, bacaannya jauh tersasar dan keliru; Mukhriz mungkin tidak faham politik seperti bapanya faham politik.
Sebelum ini PH terutamanya DAP telah menggunakan Bersatu dan Mahathir untuk menarik sokongan orang-orang Melayu untuk menang PRU-14.
Kini setelah Mahathir hilang kepercayaan dari rakyat dan melakukan banyak kesilapan dan meletak jawatan, mereka (DAP/PH) ingin menggunakan anaknya Mukhriz pula.
Dan Mukhriz tentunya rela digunakan oleh DAP untuk mencapai cita-citanya untuk menjadi Presiden Bersatu dalam PH lantas menjadi Perdana Menteri.
Namun tanggapan Mukhriz ini meleset kerana sebenarnya Bersatu tidak akan survive dan akan mati begitu sahaja jika kekal bersama PH.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin tentunya sudah nampak hal ini sebelum membuat keputusan meninggalkan PH dua bulan lepas.
Tanpa sokongan orang-orang Melayu, tidak ada siapa boleh membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.
Semua kerusi-kerusi Bersatu yang asal adalah di kawasan-kawasan Melayu yang mereka menang sebelum ini sebab perpecahan undi UMNO dan PAS dan sokongan 25 peratus undi orang-orang Melayu kepada mereka (PH).
Namun kini tidak seperti PRU-14, orang-orang Melayu tidak lagi percayakan PH, dan UMNO dan PAS telah bermuafakat.
Keadaan telah banyak berubah dan kedudukan Bersatu dalam PH telah lama goyah sejak PRU-14.
Ini dibuktikan dengan prestasi buruk dan kekalahan PH di lima pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini dan kekalahan teruk Bersatu di Semenyih dan Tanjung Piai, kerusi-kerusi yang mereka telah menang dengan beribu-ribu majoriti dalam PRU-14 tetapi kalah beribu-ribu majoriti dalam pilihan raya kecil selepas itu.
Selepas PRU-14, Bersatu bersama PH tidak lagi mampu untuk menarik sokongan Melayu. Mereka perlu terima hakikat ini.
Ini kerana, pertama mereka tidak ada akar umbi seperti yang UMNO ada, dan kedua Bersatu dalam PH dilihat menyokong dan bekerjasama dengan DAP yang tidak diterima oleh rata-rata orang Melayu.
Jika Bersatu kekal bersama PH seperti yang Mukhriz cadangkan, besar kemungkinan Bersatu akan kalah di hampir semua jika tidak semua kerusi sedia ada mereka dalam pilihan raya akan datang.
Cadangan Mukhriz untuk Bersatu kembali kepada PH adalah “political suicide” untuk Bersatu.
Sebenarnya pilihan baik yang tinggal untuk Bersatu sekarang ialah bersama UMNO dengan PAS dalam Perikatan Nasional.
Kerana adalah lebih baik mereka berunding kerusi dengan UMNO dan PAS dalam PN dan menang sedikit, daripada berebut kerusi dengan Anwar dan PKR dan menjadi boneka DAP dalam PH dan kalah semua.
ISHAM JALIL
4 Mei 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/710759906346203/?d=n