BENDERA TERBALIK LAGI, SUDAH MERDEKAKAH KITA?

466
SHARES
1.5k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

SABAN tahun kita menyambut 31 Ogos dengan laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Tahun ini kita bakal menyambutnya dengan sedikit kelainan apabila kerajaan memutuskan tiada perarakan besar-besaran bagi menyambutnya. Tiada juga percikan bunga api rasmi di Putrajaya mahupun kota-kota besar lain di dalam negara.

Banyak komen-komen sinis yang kita dengar apabila kerajaan melaksanakan SOP tertentu bagi mengawal penularan virus Covid-19. 

Sambutan tak meriahlah bila tiada perbarisan”, “Tiada perarakan? Sepilah sambutan tahun ini”, itu antara komen-komen yang boleh kita dengar dari sebilangan kecil rakyat Malaysia.

Adakah sambutan kemerdekaan saban tahun hanya diukur dengan besarnya sambutan perayaan? Adakah ‘prop’ pameran aset semasa perarakan menjadi ukuran berapa tingginya semangat nasionalisme kita menghayati erti kemerdekaan?Bagaimana pula dengan jati diri kita yang saban tahun merayakan Hari Kebangsaan?

Persoalan-persoalan seperti di atas hanya membuktikan betapa tipisnya semangat nasionalisme sebilangan rakyat Malaysia menjelang ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-63. Tidak sepatutnya bagi rakyat yang sudah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun berfikiran cetek sebegini. Ini sangat menghampakan.

Keutuhan jati diri sebilangan rakyat Malaysia masih longgar. Kelompok ini dipesongkan keutamaan mereka dari tunjang utama iaitu semangat cintakan negara. Oleh itu, nilai nasionalime mereka diukur dari kecil besarnya sambutan perayaan. Ada juga yang hanya menantikan konsert percuma semasa sambutan kemerdekaan.

Termasuk juga dalam acara sambutan bulan kemerdekaan adalah Kempen Kibarkan Bendera Malaysia. Amat malang apabila kempen kibarkan bendera Malaysia kurang mendapat sambutan kerana tiada ‘bendera percuma’ dari kerajaan. Itu belum lagi kita bicara bagaimana penghormatan sesetengah rakyat Malaysia terhadap bendera negara.

Bendera adalah panji-panji negara. Di dalam sejarah peperangan kuno dan moden, perkara utama yang akan dipertahankan adalah panji-panji. Pembawa bendera dalam peperangan akan memastikan bendera tetap berdiri megah walaupun perlu mengorbankan nyawanya. Suatu pasukan akan dikira kalah apabila benderanya dirampas dan dimusnahkan oleh pihak musuh.

Ini berlainan sekali dengan situasi di Malaysia mutakhir ini. Kempen pemasangan atau mengibar bendera kurang sambutan. Kebanyakan kita masih berkira mahu membeli bendera negara biarpun ianya bernilai RM5. Dalam masa terdekat kita akan melihat bendera-bendera Malaysia ‘rebah’ di tepi-tepi jalan akibat pemasangan yang kurang cermat di kereta.

Amat menyedihkan apabila kita melihat bendera-bendera Malaysia yang lusuh dan koyak tergantung di premis-premis kerajaan dan swasta. Lebih parah lagi, masih ada warganegara Malaysia yang memasang bendera negara secara terbalik. Tidak timbul isu ‘tidak sengaja’ atau keliru setiap kali memasang bendera secara terbalik. Rakyat Malaysia yang teguh jati dirinya patut tahu bendera Malaysia yang betul dan cara memasangnya dengan betul.

Rakyat Malaysia juga sering duji dengan semangat patriotisme apabila berhadapan dengan anasir luar. Terkini, apabila sebuah stesen penyiaran antarabangsa menyiarkan rancangan yang memburukkan negara, rakyat Malaysia dilihat berpecah menyatakan pendirian mereka. Isu sejagat dan ‘hak asasi’ digunakan bagi menyokong individu bukan warganegara memburukkan imej negara.

Negara kita adalah negara berdaulat dan punya undang-undang. Yang lebih penting, kita melaksanakan undang-undang mengikut acuan kita sendiri. Media luar tidak perlu campur tangan mahupun mengajar bagaimana kita mahu mengurus negara kita. Bukan warganegara pula perlu patuh kepada undang-undang setempat demi kebaikan semua.

Kita tidak menuntut keganasan dan kacau-bilau apabila mempertahankan pendirian kita. Di samping kita bersikap adil dan menyantuni ‘peri kemanusiaan’, maruah negara jangan diinjak. Rekod Malaysia membantu mereka yang memerlukan tidak perlu dipertikaikan lagi. Sewajarnya dalam isu ini, kita bersatu mempertahankan maruah negara kita.

Tanpa menafikan kebaikan dari kempen ini, sampai bilakah kita perlukan Kempen Bulan Kemerdekaan dan Kempen Mengibar Bendera Malaysia setiap kali tiba bulan Ogos? Kempen penghayatan Rukun Negara boleh menjadi penyelesaian, namun ia perlukan pengorbanan dari semua.

Selagi mana wujud kelompok yang hanya mengejar keuntungan politik, buatlah kempen apapun, ia akan gagal. Selagi mana berakar umbi mereka yang tiada semangat cintakan negara dan sanggup memburuk serta menghina negara sendiri di luar negara, selagi itulah masyarakat Malaysia akan terus berpuak-puak mengutamakan diri sendiri dari kepentingan negara.

Adakah nilai negatif dengan budaya mencaci, menghina dan prejudis terhadap negara sendiri, menjadikan kita lebih baik di mata masyarakat dunia? Adakah perjuangan mereka yang terdahulu yang memungkinkan kita hidup selesa pada hari ini sudah tidak diendahkan lagi? Pujangga berkata “mendapatkan kemerdekaan adalah sukar, namun mengekalkan kemerdekaan itu lebih sukar”.

Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Walaupun berhadapan kekangan dan hambatan tegar dari kelompok yang tidak mahu menghormati semangat cintakan negara, usaha perlu diteruskan demi Malaysia.

Selamat datang Ogos, Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan, Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-63, namun… Sudah merdekakah kita?

Dipetik dari portal berita MHI – Melaka Hari Ini di pautan; https://www.melakahariini.my/bendera-terbalik-lagi-sudah-merdekakah-kita/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts