ISTIMEWANYA KAUM MINORITI – NASIR OTHMAN

236
SHARES
761
VIEWS

Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

1. Rakyat Malaysia kaum minoriti di negara ini sangat istimewa. Dalam tempoh 63 tahun negara merdeka kejayaan mereka hampir semua bidang ‘menakjubkan’ meninggalkan penduduk asal di negara ini jauh ke belakang. Sejarah telah membuktikan dahulunya ketika British bawa mereka masuk ke Tanah Melayu, tiada seorangpun di kalangan mereka jutawan, hartawan atau membawa kekayaan, atau emas berpikul-pikul. Mereka hanya dijadikan buruh di lombong bijih dan di ladang getah untuk kepentingan ekonomi British. Kebetulan ketika itu tercetusnya revolusi industri maka permintaan bijih timah dan getah sangat tinggi di pasaran dunia.

2. Hari ini generasi mereka sangat istimewa. Mereka menguasai ekonomi negara. Majoriti mereka termasuk golongan T20. Mereka adalah golongan elit hartawan dan jutawan di negara ini yang tinggal di kawasan perumahan dan kondominium mewah. Kesenangan mereka kerana perniagaan dan keusahawanan secara sah atau sebaliknya. Tidak menghairankan jika mereka berjaya kerana itu ‘survival’ mereka. Setelah mereka berjaya menguasai ekonomi kini tumpuan mereka cuba mendominasi politik. Mereka lupa kesenangan yang mereka perolehi adalah hasil kestabilan politik sebelum ini, persediaan infrastruktur, dasar dan insentif, keamanan dan keselamatan serta bangsa Melayu/Pribumi majoriti (70 peratus) adalah pengguna yang menyokong perniagaan mereka. Kononnya kaum minoriti mendakwa mereka “warganegara kelas kedua” adalah tidak benar, sebaliknya mereka adalah kaum istimewa “kelas pertama” yang mereka tidak sedar. Mereka juga lupa sejarah asal mereka.

3. Mereka dilayan istimewa oleh parti-parti politik dominasi Melayu untuk mendapatkan pengaruh undi daripada mereka. Turut segala tuntutan mereka. Menghapuskan ISA, membina lebih banyak sekolah vernakular, memberi peruntukan kewangan kepada sekolah bantuan modal, mengiktiraf lulusan UEC kemasukan ke IPGM walaupun ada beberapa perkara bertentangan dengan Perlembagaan. Parti Melayu yang menggunakan lslam juga suatu ketika dulu pernah bergabung dengan parti paling berpengaruh di kalangan kaum minoriti yang boleh dianggap terlalu perkauman. Mungkin kerana ‘tertipu’ keluar daripada gabungan kini bersama parti ‘terkuat’ Melayu. Apa yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan ‘undi’ mereka.

4. Sedihnya pemimpin parti Melayu ‘terkuat’ bermain politik yang mendapat sokongan, para petani, penoreh getah, nelayan, peneroka felda, pengusaha kecil dan lain-lain lagi yang memberi sokongan padu kepada mereka hanya diberi subsidi dan BR1M. Golongan minoriti “ditatang bagai minyak yang penuh”. Segala tuntutan mereka dipenuhi. Terbaru kenyataan kerajaan PN akan tambah lagi pembinaan SJKC dan UEC akan diiktiraf sepenuhnya. Mengimbas kembali sudah tiga PRU kebelakangan ini, trend pengundian lebih bersifat perkauman. Kaum minoriti tidak memilih parti-parti yang menjadi kerajaan. Parti-parti Melayu semakin lemah kerana wujud serpihan yang bergabung memberi kekuatan kepada parti kaum minoriti.

5. Pengaruh kaum minoriti sangat besar bukan setakat penguasaan ekonomi, dominasi politik bahkan seolah ‘memaksa’ bangsa Melayu menerima budaya mereka menghiasi tanglung dan Ponggal di sekolah kebangsaan musim perayaan mereka. Kenapa pilih sekolah kebangsaan tidak di sekolah Cina atau India? Mereka menghina lslam, Raja-raja Melayu, pasukan keselamatan, penjawat awam, jata negara serta bendera Malaysia  tetapi hanya sekadar “mohon maaf” dianggap selesai, tiada tindakan walaupun menyalahi undang-undang.

6. Selain itu banyak sudah tanah-tanah Melayu dan Pribumi yang tergadai kepada kepada kaum minoriti. Tanah rizab Melayu juga hanya tinggal 12 peratus yang digunakan untuk pembangunan dan jatuh ke tangan orang lain. Kampung-kampung tradisional Melayu juga sudah lenyap ditelan pembangunan dan projek-projek mewah untuk perumahan, premis perniagaan dan perhotelan, kebanyakannya dimiliki oleh kaum minoriti.

7. PUTRA bukan anti, marah, benci atau prejudis terhadap mana-mana kaum minoriti tetapi cubalah rasional hakikat yang benar bahawa Malaysia adalah berbilang kaum, agama dan budaya supaya rakyat hidup, aman sejahtera menghormati antara sama lama lain. Menghindari sensitiviti serta menjunjung Perlembagaan, menghayati Rukun Negara serta memahami sejarah sebagai warganegara yang mempunyai jati diri dan memelihara keharmonian rakyat.

Putra hanya menuntut apa yang terkandung dalam Perlembagaan.

Kini apa yang terkandung dalam Fasal 151, 152, 153 seolah-olah sudah jadi kertas buruk yang dirosakkan oleh pemimpin Melayu sendiri.

PUTRA PERKASA NEGARA

Hj Nasir Othman

Ketua Penyelaras PUTRA Pulau Pinang

Ahli Dewan Tertinggi PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts