“MENGEJAR YANG SEDIKIT, RUGINYA YANG BANYAK”

402
SHARES
2.4k
VIEWS

Sempena Sambutan Merdeka 63 Tahun

Oleh Hj Nasir Othman

Ketua Penyelaras Parti PUTRA Pulau Pinang

Ahli Dewan Tertinggi PUTRA 

31 Ogos 2020

Anehnya politik bangsa Melayu. Parti ‘premier’ Melayu ‘menghadiahkan’ macam-macam untuk menagih undi kaum minoriti. Parti serpihan Melayu ‘menumpang’ kaum minoriti untuk menang pilihan raya. Ini menunjukkan parti politik Melayu semakin lemah. Bukan hanya ramai yang layak menerima subsidi dan BRIM, undipun Melayu harap ‘subsidi’ daripada kaum minoriti.

Pemimpin-pemimpin Melayu mutakhir ini bagaikan terkena ‘sumpahan’ sangat berlembut, toleransi, apolegetik dan tunduk bagaikan ‘dibuli’ oleh kaum minoriti. Mereka boleh tuntut apa sahaja walaupun bertentangan dengan syarak, Perlembagaan, undang-undang dan moral. Mereka tuntut sekolah vernakular ditambah dan menentang dihapuskan, beri peruntukan yang lebih untuk sekolah vernakular, sijil UEC diiktiraf dan mereka menolak guru Melayu mengajar Bahasa Melayu, mereka mahu guru daripada kaum Cina. Mereka menolak tulisan Jawi dan Bahasa Melayu. ISA dihapus untuk memenangi hati kaum Cina dan lndia.

lsu terkini pencerobohan tanah kerajaan beribu hektar untuk tanaman durian Musang King. Apa sudah terjadi kepada Melayu yang diamanahkan tetapi biarkan mereka bermaharajalela menceroboh tanah kerajaan? Bukankah itu tanah rizab Melayu? Sedih apabila pemimpin bangsa Melayu mempermainkan bangsa sendiri untuk kepentingan kaum minoriti semata-mata untuk menagih undi mereka. Kaum minoriti adalah rakyat istimewa walaupun asalnya pendatang kerana undi mereka menjadi rebutan. Apa sudah jadi dengan pemimpin-pemimpin yang diamanahkan berkuasa tetapi perkara yang termaktub dalam Perlembagaanpun tidak terjaga, seperti dikorbankan hanya untuk mendapatkan undi mereka. Mereka tetap memilih DAP dan sekutunya.

Untungkah BN? ‘Hadiahkan’ tuntutan mereka bermacam-macam, akhirnya DAP dan sekutunya yang menang undi. Siapa yang cerdik? Kini PN pula mengikut jejak sama untuk menagih undi kaum minoriti, sekolah vernakular diteruskan dan akan ditambah, menceroboh secara haram tanah kerajaan beribu hektar untuk perladangan durian Musang King. Banyak lagi kisah layanan istimewa terhadap kaum minoriti kerana menagih undi. Tiada bezanya MCA dan Gerakan dengan DAP mereka senada tuntutan untuk kepentingan kaum mereka yang bersifat perkauman. Pengorbanan orang Melayu dan Peribumi bertoleransi, berlembut, menjaga perpaduan, menghormati hak beragama dan budaya, pendidikan kebangsaan akhirnya ‘terkorban’ untuk kepentingan kaum minoriti.

Kuasa politik Melayu dan Peribumi di Malaysia semakin terhakis. Oleh kerana untuk menjaga segelintir pemimpin elit Melayu dan kroni-kroni terus berkuasa maka modus operandi politik ‘menghadiahkan’ segala tuntutan kaum minoriti walaupun bertentangan dengan Perlembagaan dan menghiris perasaan orang Melayu dan Peribumi sendiri. Kononnya pengundi Melayu mudah diumpan dengan kain batik dan pelikat, hamper berisi beras 5 kilogram, gula, tepung, minyak masak dan sedikit wang tunai serta sedikit retorik sudah boleh dapat undi Melayu. Tidak perlu kos yang banyak sudah boleh dapat.

Di antara sebab PUTRA tidak bergabung dengan mana-mana parti Melayu dalam blok kerajaan, PN atau PH kerana tidak mahu bersekongkol cara modus operandi politik yang akhirnya merugikan Melayu dan Peribumi. Presiden PUTRA Datuk Dr Ibrahim dalam satu kenyataan begitu tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana perkara dalam Perlembagaan yang berkaitan dengan kepentingan lslam, Melayu, Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu, Dasar Pendidikan Kebangsaan sekolah satu aliran, tanah rizab Melayu dijamin dan dijaga. Jika PUTRA berpeluang menganggotai Parlimen atau DUN akan lantang bersuara terus istiqamah dan tidak akan biarkan apa yang tertulis dalam Perlembagaan dirobek untuk memenuhi tuntutan yang tidak munasabah. Semua rakyat wajib mendukung perlembagaan negara jika benar2 mengaku warga negara Malaysia. Jangan sampai mengejar yang sedikit ruginya yang banyak.

PUTRA PERKASA NEGARA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts