ISU PORTAL MANDARIN SPRM: FAHAMI MASALAH DAN PUNCA SEBENARNYA

150
SHARES
484
VIEWS

Menurut SPRM, portal bahasa Mandarin ini dilancarkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Cina di Malaysia. Saya tidak pasti, apakah ini bermaksud ramai dari masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris?

Jika benarlah perkara ini, cuba kita renung kembali. Di manakah silap kita dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia berteraskan identiti nasional selama ini? Sepatutnya, selepas lebih 60 tahun, sepatutnya semua orang fasih berbahasa kebangsaan, bukan setakat faham sahaja.

Tetapi apa yang berlaku ini jauh lebih teruk, fahampun tidak. Sudahlah tidak faham, kerajaan perlu keluarkan dana untuk membangunkan kemudahan untuk memahami sesuatu dalam bahasa ibunda. Mungkin kita tidak perasan atau lupa, bahawa banyak lagi tempat yang memerlukan ‘terjemahan’.

Contohnya di mahkamah, betapa ramainya rakyat Malaysia yang perlukan khidmat penterjemah dalam bahasa ibunda mereka untuk urusan-urusan mahkamah termasuk perbicaraan? Itu belum lagi papan-papan tanda di kawasan-kawasan tertentu yang dipenuhi dengan bahasa Mandarin.

Malah, sewaktu pilihan rayapun penuh dengan poster-poster kempen dalam bahasa Mandarin jika kita pergi ke kawasan-kawasan majoriti Cina. Lihat sahaja sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah ini, tidak perlu ke sanapun. Pergi sahaja ke laman-laman Facebook parti-parti Cina bertanding.

Bagi saya, antara masalah terbesar kita ialah sistem sekolah vernakular yang terlalu ‘mengakar’ dan besar di negara kita sehingga ada segmen masyarakat tertentu yang tercicir dan terperangkap dengan ‘bubble‘ mereka tersendiri. Kalau dari kecilpun tidak terdedah dengan bahasa Kebangsaan dengan baik, tidak mustahil apabila besar nanti akan hadapi masalah memahami bahasa Kebangsaan.

Bukan setakat bahasa Kebangsaan sahaja, mungkin ramai yang janggal dengan abjad tulisan rumi. Sebab itulah terjemahan bahasa Inggerispun ramai yang tidak faham sehingga perlukan terjemahan bahasa Mandarin.

Dan tidak terkejutlah jika ramai yang ‘fobia’ apabila melihat tulisan Jawi!

Ayuh perjuangkan sekolah satu aliran.

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

18 September 2020

Sumber:
https://malaysiagazette.com/2020/09/18/sprm-lancar-portal-bahasa-mandarin/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts