MELAYU HARUS BERUBAH JIKA PEMIMPIN TIDAK BERDAYA MEMBELA NASIB ORANG MELAYU

555
SHARES
3.3k
VIEWS

Pada PRU-15 ini nanti orang Melayu tiada pilihan melainkan benar-benar berubah, baik pada cara berfikir bagi menentukan masa depan organisasi, begitu juga dalam menetapkan naratif baru masa depan orang Melayu tanpa mengira parti mana sekalipun, terutama sekali dalam memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa untuk memimpin orang Melayu itu sendiri.

2. Seharusnya 22 bulan itu sudah mencukupi dijadikan sebagai pengajaran paling berharga bagi menilai prestasi politik apabila melalui penipuan boleh berjaya mendapat tempat di hati rakyat dan akhirnya menguasai Putrajaya. Kesan serta akibatnya menyebabkan orang Melayu kehilangan berbagai aset penting yang telah diusahakan selama 63 tahun hilang dalam sekelip mata sahaja. Selepas runtuhnya “Kerajaan 22 Bulan”, kepimpinan negara digantikan dengan barisan pimpinan baru, namun didapati telah gagal memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh baginda YDPA.

3. Ini disedari apabila dilihat sedikit demi sedikit tuntutan dari golongan yang mahu meruntuhkan kerajaan Melayu Islam berjaya memperolehi apa yang dihajati, manakala kebajikan orang Melayu seolah-olah dipinggirkan. Tidakkah pelik, golongan yang menyokong diabaikan, manakala yang mahu menjatuhkan diangkat dan diberi kelebihan? Di mana keadilannya dan bagaimana pemimpin itu memahami erti sebuah perjuangan?

4. Dalam masa yang sama tidak dapat dinafikan ada beberapa pihak cuba menangguk di air keruh dengan mengaku mereka punca serta perancang utama kebangkitan semula semangat orang Melayu. Padahal muka-muka mereka ini tidak kelihatan semasa peringkat awal pemerintahan mesra Cina dalam kerajaan PH. Itulah asam garam sebuah perjuangan, yang bersungguh-sungguh nampaknya semakin terpinggir manakala yang tikam belakang dijunjung tinggi.

5. Sebenarnya kumpulan yang menjadi pencetus kebangkitan orang Melayu bukannya datang daripada golongan politikus, tetapi dari marhaen yang berlatar belakangkan pelbagai pertubuhan dan persatuan bergabung atas matlamat yang satu iaitu mahu mempertahankan agama, bangsa dan tanahair daripada terlepas ke tangan pengkhianat dan penjajah muka baru.

6. Justeru, kini masanya telah tiba, orang Melayu tidak boleh lagi berdiam diri. Kini perlu bangkit bersama dalam membuat perubahan drastik demi generasi akan datang. Jika tidak rakyat akan sekali lagi terpaksa berhadapan dengan keadaan yang sama, seperti di bawah pentadbiran yang secara keseluruhannya pernah gagal selama 22 tahun sehingga kesan dan akibatnya dirasai hingga ke hari ini, dan sekali lagi selepas PRU-14 yang jauh lebih teruk lagi dan hanya bertahan selama 22 bulan sahaja.

7. Kaedah paling adil dan terbaik pada PRU-15 nanti sudah tentulah kawasan yang majoritinya orang Melayu diturunkan calon-calon Melayu sahaja, tanpa peduli daripada parti mana. Biarlah orang Melayu sendiri yang menentukan pilihan pemimpin daripada kalangan Melayu yang bertanding di situ. Itu seadilnya. Namun, sejarahnya tidak begitu.

8. Seperti yang kita sedia maklum dalam lipatan sejarah belasan PRU, UMNO melalui kerjasamanya dalam Barisan Nasional (BN) dengan slogan ‘setiakawan’ telah beberapa kali dan sudah menjadi tradisi sering meletakkan calon-calon bukan Melayu di tempat yang majoriti Melayu. Tujuannya adalah bagi memastikan kemenangan ke atas calon bukan Melayu yang dikatakan punya aset penting dalam kerjasama BN itu.

9. Walhal telah jelas, bagaimana kaum yang diberi kepercayaan ini pernah dua kali menunjukkan sikap sebenar mereka di sebalik slogan ‘setiakawan’ itu. Semuanya bermula dengan jelas ketika PRU-13 dan kemuncaknya pada PRU-14 sehingga berakhir dengan tumbangnya kerajaan BN. Adalah difahamkan bilangan atau jumlah kaum bukan Melayu yang belot, sudah mencecah sehingga 90 peratus semasa PRU-14. Walaupun pelbagai ‘buah tangan’ diberi kononnya mahu melunakkan hati mereka, namun ternyata hasutan golongan kiasu-rasis berjaya mengatasi dan meruntuhkan semangat setiakawan.

10. Selepas PRU-14, parti UMNO kelihatan tercungap-cungap mencari nafas untuk hidup semula selepas kekalahan teruk dalam 63 tahun sejarah politik UMNO, akibat daripada sifat angkuh dan sombong kononnya UMNO tidak akan tumbang. Sungguhpun begitu setelah kalah PRU-14, masih juga ada segelintir berbelit lidah berkata-kata memberi berbagai alasan. Syukurnya kita, dalam keadaan ramai pemimpin Melayu yang masih terpinga-pinga dengan takdir Allah SWT itu, masih ada di kalangan orang Melayu dengan semangat juang yang kuat dan masih lagi kental di dalam jiwa mereka telah bangkit bergabung melalui beberapa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) membakar semula semangat berjuang orang Melayu. Ternyata gabungan PIBK ini berjaya menghidupkan semula api semangat kebangsaan orang Melayu supaya bangun semula. Dan hari ini, usaha dari gabungan PIBK itu membuahkan hasil sehingga terbenamnya kerajaan PH setelah 22 bulan membuat onar dalam negara.

11. Namun, dukacitanya selepas tumbang kerajaan PH dan digantikan dengan kerajaan PN, momentum yang sudah dan sedang marak menaikkan semangat orang Melayu mulai dilihat bertukar angin. Terutamanya di kalangan pemimpin Melayu Islam itu sendiri, yang pada awalnya seperti menunjukkan ada gelombang tsunami yang bakal mengubah landskap politik negara tetapi secara beransur-ansur kelihatannya seperti kembali kepada keadaan asal cara berfikir kolot berpolitik dan berasa lemah lutut di hadapan masyarat bukan Islam dan bukan Melayu.

12. Tsunami itu disedari terbantut apabila ketika PRK Tanjung Piai, BN sengaja meletakkan calon MCA yang keras menolak hudud dan RUU355, dengan alasan strategik mahu menukar minda orang bukan Melayu bahawa kerajaan Melayu-Islam ini bukanlah kerajaan rasis tetapi bersikap terbuka dan sentiasa berlapang dada dengan kaum bukan Melayu.

13. Terserlah ia suatu kesilapan besar memakan diri sendiri apabila yang dikatakan strategi bijak meletakkan calon MCA anti-hudud ini. Sebaik sahaja menang di PRK Tanjung Piai, kumpulan kiasu-rasis mendesak kerajaan menunaikan tuntutan-tuntutan daripada senarai panjang mereka. Bayangkan MCA hanya ada 2 kerusi dan yang terang-terangan telah ditolak majoriti kaum kiasu berjaya mendapat apa yang mereka mahukan. Inikah yang dikatakan strategi bijak?

14. Justeru, untuk PRU-15 orang Melayu harus lebih yakin dan berani membuat perubahan. Jika pemimpin tertinggi parti lemah dan pengecut, hanya mementingkan undi dan mengabai kebajikan ahli, maka ahli akar umbi mesti berani membuat perubahan dengan menolak para pemimpin ini. Dan jika masih berdegil, maka orang Melayu tiada jalan lain untuk menyedarkan pemimpin kolot ini, melainkan ahli akar umbi dan masyarakat Melayu terpaksa membuat perubahan drastik dengan bertukar angin memilih parti Melayu lain yang bersungguh-sungguh memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair.

15. Kita telahpun berpengalaman selama 22 bulan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana DAP melalui kerajaan Pakatan Harapan bagai mulut buaya yang ternganga menunggu saat kealpaan mangsanya melahap segala apa yang melintas tanpa peduli kesan ke atas bangsa lain, dan tentulah yang rugi dan merana adalah bangsa Melayu itu sendiri yang tersepit dalam mainan politik daripada kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang tamakkan pangkat dan harta. Seteruk mana sekalipun, langkah terbaik adalah kita sebagai umat Islam kembali kepada ajaran Al-Quran dan pesanan Rasulullah SAW – apapun tetap memilih pemimpin daripada kalangan umat Islam, ini kerana walaupun jauh tergelincir dengan kefasikannya namun tetap masih ada sekelumit iman di dalam diri mereka yang boleh diperbetulkan.

16. Hak-hak dan aset-aset berharga kita yang sudah terlepas, kita cuba dapatkan kembali, bukannya menambah burukkan lagi keadaan kerana kerajaan 22 bulan telah menjadi pengajaran kepada kita agar tidak bertindak memilih si kafir harbi lagi. Hari ini kita bina generasi pemimpin baru dan dalam masa yang sama hasil daripada kesilapan yang kita rasai selama 22 bulan itu, kita wajib terus bagi tekanan ke atas pemimpin kita agar mereka tidak begitu kecut perut menghadapi golongan rasis-cauvinis bangsa bukan Melayu itu.

17. Pemimpin memerlukan kita untuk membentuk negara, dan mereka pula perlukan sokongan daripada kalangan berkemampuan mengurus tadbir dengan lebih berintegriti, sebab mereka juga seperti kita yang mudah leka jika tidak ada siapa menegur, melainkan pemimpin yang sombong dan bongkak seperti di zaman BN yang merasakan kedudukan mereka kuat dan tidak tercabar, akibatnya tertipu dengan khayalan sendiri. Walau apapun takdir Allah SWT dengan apa yang telah terjadi, kita tetap wajib memilih pemimpin daripada kalangan umat Islam kerana tanahair ini mesti diterajui oleh umat Islam yang sebangsa dengan kita jika kita mahu melihat bangsa Melayu ini selamat di bumi sendiri.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts