Anggota parlimen Umno dan PAS sepakat keluar dewan berhubung kontroversi pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Bantahan timbul kerana pelantikan Datuk Mohamad Ariff dipertikaikan sebagai tidak mengikut peraturan dewan mesyuarat yang seharusnya mengikut Peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.
Dalam sidang media yang diadakan di luar dewan, anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya kecewa berhubung perkara itu.
“Peraturan mesyuarat 41 tak dipatuhi berkenaan pelantikan speaker. Saya dah huraikan tadi bagaimana insiden-insiden yang berupa fakta yang menunjukkan tak mungkin notis tu diberikan sama ada atau sebelum 2 Julai, itu tarikh akhir (nama perlu diserahkan sebelum dewan bersidang).”
“Malangnya kita kecewa sangat kita tak diberikan peluang bangkitkan usul ini kerana kita tak boleh tunggu sehingga lantik speaker.”
“Sepatutnya kami dibenarkan bangkitkan peraturan mesyuarat.”
Walaupun sebelum itu Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelantikan Mohamad Ariff pada 2 Julai lalu yang juga dipertikaikan oleh anggota parlimen pembangkang sebagai menipu.
Hanya kelihatan YB Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Belia & Sukan (UMNO-Rembau) dan bekas Timbalan Menteri Pelancongan & Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bebas-Masjid Tanah) serta Datuk Seri Anifah Aman (Umno-Kimanis) turut tidak meninggalkan dewan.
Ini meningkatkan desas-desus bahawa Khairy Jamaluddin tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO baharu dan sering menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan juga Datuk Mas Ermieyati yang dikatakan ramai akan melompat parti.