BUKA PINTU MAHKAMAH SYARIAH KEPADA BUKAN ISLAM – ZAINUL RIJAL

433
SHARES
1.4k
VIEWS

Konflik pertindanan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sering mendapat perhatian media. Ia merupakan dilema  yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Dalam konteks Malaysia, ia diburukkan lagi dengan sentimen agama dan perkauman dan disulami dengan emosi serta sikap berprasangka antara satu sama lain.

Isu satu pihak beragama Islam dan sepihak lagi tidak beragama Islam perlu ditangani dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Malah sejarah juga perlu ditelusuri bagi mencari kaedah terbaik penyelesaian kemelut ini. Semua enakmen negeri-negeri melibatkan undang-undang Islam dalam negara meletakkan peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam. Penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya peruntukan ini diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan  dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud ini. Begitu juga mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan Islam dari diadili di Mahkamah Syariah perlu dimansuhkan.

Namun begitu meminda semua undang-undang di atas memerlukan kesatuan fikrah dan usaha umat Islam.

Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam itu sendiri. Sejarah perundangan Islam sendiri telah membuktikan penghakiman Mahkamah Syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam. Banyak kes telah dilaporkan mahkamah Islam memberi penghakiman kepada orang bukan Islam, malah pemimpin Islam juga pernah dikalahkan oleh rakyat biasa bukan beragama Islam di mahkamah Islam. Ini adalah manifestasi kebebasan mahkamah Islam dan keadilannya melampaui batasan agama.

Orang bukan Islam tidaklah perlu gusar, kerana hal ini tidaklah bertujuan untuk mengIslamkan orang bukan Islam. Hanya dalam perkara-perkara tertentu sahaja seperti yang melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan ini perlu ditadbir di Mahkamah Syariah.

Perlaksanaan  kedua-dua pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah tidak semestinya beragama Islam telah diamalkan di beberapa lain contohnya di negara Brunei Darussalam. Brunei adalah tamsil yang baik boleh kita ikuti kerana kerajaan negara itu menyuntik prinsip Islam dalam pentadbiran mereka dan pada masa sama tidak menolak kemajuan. Begitu juga kontroversi bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang sering melanda negara kita dapat diselesaikan dengan aman dan harmoni di negara Brunei. 

Hal yang sedemikian dijelaskan umpamanya dalam Hal Ehwal Undang-undang Keluarga Brunei, Bab 5 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam) 1999 menyatakan, peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam terpakai dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya satu pihak menganut agama Islam dan sekurang-kurangnya salah satu pihak, sama ada atau tidak dia menganut agama Islam, bermukim atau bermastautin di negara itu, tetapi bermukim di luar negara.

Rakyat bukan Islam di Brunei tidak membantah pelaksanaan undang-undang ini ke atas mereka kerana mereka tahu ia bukan bertujuan untuk menukar kepercayaan agama mereka kepada Islam. Malah, mereka juga sedar undang-undang Islam menawarkan ‘remedi’ lebih baik kepada pihak yang bertikai berbanding undang-undang sivil. Rahsia kejayaan Brunei ini wajar dikaji dan diikuti untuk diterima pakai supaya Malaysia dapat mempelajari dan menambah baik peruntukan yang ada sekarang ini.

Seringkali apabila isu berkaitan pemelukan Islam oleh seorang mualaf (khususnya apabila suami yang memeluk Islam) dikupas, pelbagai pihak membuat andaian dan memberi pelbagai pandangan negatif. Antaranya dikatakan orang  mualaf tersebut memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam, ingin lari dari tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga, ingin memutuskan hubungan kekeluargaan dan pelbagai kata-kata nista yang memandang sini sehingga boleh memalukan mualaf tersebut.

Malah jika kita meneliti Laporan Ong (Suruhanjaya yang dibentuk bagi menggubal Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976), adalah jelas tertulis bahawa orang bukan Islam yang memeluk Islam ini hendak lari dari tanggungjawab mereka dan oleh yang demikian mereka tidak perlu diberi hak membubarkan perkahwinan mereka.

Sikap prejudis seperti yang terdapat di dalam Laporan Ong inilah yang dicanang dan merendahkan martabat mualaf sedangkan menurut undang-undang Islam, mualaf menikmati jaminan dan keistimewaan sama seperti orang yang lahir Islam. Malah, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mualaf mengamalkan agamanya.

Dalam hal penjagaan anak pula sering rujukan dibuat  pada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memperuntukkan persamaan hak ibu bapa ke atas anak mereka. Namun mereka lupa  dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut menyebut secara jelas larangan penggunaan akta itu kepada orang yang memeluk agama Islam. Jadi apabila anak tersebut telah diiktiraf sebagai Islam, maka perkara yang menjadi subjek iaitu anak-anak yang telah memeluk  Islam juga dianggap terkeluar dari naungan  akta tersebut.

Oleh yang demikian, penulis berpandangan penyelesaian konflik ini ialah dengan membuka ruang kepada orang bukan Islam di Mahkamah Syariah. Mana-mana undang-undang yang menjadi halangan perlulah dipinda bagi merealisasikan maksud ini. Ia juga selaras dengan usaha Kerajaan memartabatkan kedudukan Islam sepertimana yang termaktub di dalam perkara 3(1) Pelembagaan Persekutuan.

Rencana ini ditulis oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts