ANNUAR MUSA BUAT HAL LAGI?

4.4k
SHARES
26k
VIEWS

SURAT PEMBACA Tingkah laku dan kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa kebelakangan ini mencetuskan persoalan besar. 

Apakah beliau menjaga kepentingan BN khususnya UMNO atau telah hanyut dengan agenda Perikatan Nasional (PN)?

Yang pasti ahli-ahli dan para penyokong UMNO kurang senang dengan sikap dan tindak-tanduk Annuar.

Terbaru, beliau mempertahankan Bersatu walaupun ramai pemimpin UMNO kecewa dan mempersoalkan keikhlasan parti tersebut terutama pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) baru-baru ini.

Annuar secara terbuka memberikan reaksi sinikal kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Dato Seri Mohamad Hasan yang mahu UMNO memastikan hala tujunya agar tidak dikhianati oleh Bersatu.

Walaupun akar umbi menyokong kenyataan Mohamad Hasan, ia sedikitpun tidak menghentikan rentak Annuar untuk membela Bersatu.

Beliau lantas mengeluarkan komen terbaru dengan mendakwa kononnya UMNO melakukan kesilapan besar di Sabah termasuk enggan menyahut tawaran Bersatu untuk jawatan Ketua Menteri sebelum penamaan calon.

Annuar ternyata mahu mencari apa sahaja kewajaran bagi menyokong pelantikan pemimpin Bersatu sebagai Ketua Menteri Sabah. Beliau juga cuba menutup isu sabotaj Bersatu dan PN ke atas calon-calon BN pada PRN Sabah antaranya dengan menempatkan calon bebas bertanding mencabar calon BN.

Mungkin Annuar mahu membendung kemarahan ahli-ahli dan penyokong UMNO terhadap Bersatu tetapi cara beliau itu tidak membantu.

Adakah benar tindak-tanduk Annuar dikaitkan dengan khabar angin yang beliau telah dijanjikan sesuatu oleh pemimpin Bersatu?

Sebelum ini beliau akan membidas dan mempersoalkan mana-mana pemimpin dan tokoh UMNO yang mengkritik Bersatu serta pemimpin utamanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut adalah petikan komentar surat pembaca yang tersiar di portal Editor Malaysia bulan lalu:

“ANNUAR MUSA BAWA AGENDA SIAPA?” 

Annuar sudah hilang deria memahami sentimen akar umbi UMNO yang menolak penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN).

Bukan itu sahaja, akar umbi UMNO juga menolak hasrat Bersatu mencalonkan Muhyiddin sebagai PM sekiranya MN menang PRU-15.

Asas kepada sentimen ini bersandarkan kepada Bersatu mahupun Muhyiddin tidak berhak tentukan siapa calon PM. Tunggulah keputusan PRU15 dan ia bergantung kepada parti mana yang memenangi jumlah kerusi terbesar.

Muhyiddin juga tidak pernah memohon maaf atas segala penghinaan dan tohmahan terhadap UMNO sebaliknya dilihat mahu ‘menunggang’ MN khususnya kekuatan UMNO bagi survival politik beliau dan Bersatu.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu juga tidak memperlihatkan kemahuan politik untuk menjadi sekutu dan rakan yang ikhlas kepada BN.

Banyak petunjuk yang boleh dikaitkan kepada hakikat itu antaranya masih membekukan aset UMNO (kecuali untuk kos pengurusan), gagal melantik TPM daripada kalangan pemimpin UMNO, mahu bertanding banyak kerusi milik UMNO dan mengekalkan ramai lantikan jawatan strategik era kerajaan PH.

Di sebalik semua ini, nampaknya Annuar yang selesa dengan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan terlalu menjaga hati Muhyiddin dan para pemimpin Bersatu. Beliau sanggup menyerang rakan-rakan dalam UMNO kerana mahu membela Muhyiddin dan Bersatu.

Sesiapa sahaja yang bersuara mengkritik kerjasama dengan Bersatu atau menegur Muhyiddin pasti beliau berang.

Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa semua pemimpin UMNO dalam Kabinet meletakkan jawatan daripada kerajaan PN, turut disanggah oleh Annuar.

Apatah lagi pemimpin UMNO lain yang mengkritik Bersatu dan Muhyiddin seperti Datuk Puad Zarkashi, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed dan Datuk Zahidi Zainul Abidin – dibidas sewenang-wenangnya oleh Annuar.

Sekiranya Annuar enggan akur nasihat Tengku Razaleigh agar menteri UMNO meletakkan jawatan, adalah lebih baik beliau berdiam.

Sudah sampai masanya Annuar mencermin diri dan tidak dibuai-buai dengan jawatan Menteri dalam kerajaan yang bukan mendapat mandat rakyat. Cukuplah, janganlah sampai ahli-ahli UMNO meluat.

Pelbagai alasan dan hujah Annuar berhubung isu tersebut tidak menyakin akar umbi. Sebaliknya Annuar telah memberikan isyarat yang salah dan hal itu sangat disedari oleh akar umbi.

Sebenarnya inilah masa bagi ahli-ahli dan penyokong UMNO mengenali siapa sebenarnya pemimpin UMNO yang hanyut dibuai jawatan (yang dihamparkan oleh Muhyiddin dan Bersatu).

Ingatlah, belum tentu Muhyiddin itu kawan atau mungkin lawan yang dalam diam boleh menghakis kekuatan UMNO.

Bukankah pada Muhyiddin, UMNO adalah parti yang sudah bertaraf masuk longkang, busuk, hanyir dan jijik. Yang wangi dan indah semuanya Bersatu. Sedangkan hakikatnya Bersatu pernah bersekongkol dengan DAP sehingga membawa banyak mudarat kepada agama dan bangsa.

Bukankah itu pengkhianatan besar dalam sejarah politik bangsa era moden ini? Dengan kata lain, dosa Bersatu begitu besar kepada agama dan bangsa (walaupun sejarahnya masih baharu dan partinya kecil serta kurang pengaruh dalam kalangan orang Melayu).

Dengan rekod pengkhianatan itu maka berwaspadalah percaturan licik Bersatu. Malah sudah ada cakap-cakap Muhyiddin dan Tun Mahathir Mohamad masih mempunyai hubungan strategik dengan muslihat untuk menguasai UMNO.

Sekarang ini bukan sahaja Muhyiddin, Hamzah Zainuddin dan barisan lompat parti yang perlu diwaspadai, beberapa pemimpin UMNO juga seakan sudah ‘dibeli’. Salah seorangnya Annuar, yang terikut rentak bagi menjayakan agenda Muhyiddin dan Hamzah.

Mesej kepada semua, utamakan kepentingan parti berbanding kepentingan diri sendiri.

Jika sesiapa sahaja termasuk Annuar mahu membawa aspirasi Bersatu dalam saat-saat kritikal menjelang PRU15, silakan sertai parti itu. Bukan kita tidak sayangkan Annuar tetapi kita lebih sayangkan UMNO yang menjadi wajah perjuangan bangsa, agama dan negara. Kini pilihan di tangan Annuar!

Rujuk artikel “Annuar Musa bawa agenda siapa?” di pautan; https://editormalaysia.com/16680/

Oleh Zamani Zaman

Bangi

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts