TIMBANG TARIK DIRI DARI PN, BUKTI UMNO TIDAK TAMAK KUASA

698
SHARES
4.1k
VIEWS

Tindakan UMNO mengumumkan untuk membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong PN haruslah dilihat dari sudut yang lebih rasional bukan semata-mata ‘politiking’.

Pertama, ini membuktikan kepimpinan UMNO tidak tamak kuasa dan sedia bergerak sendiri jika kerajaan PN yang didominasi BERSATU tidak mampu bekerjasama dengan UMNO dalam konteks kepentingan rakyat.

Kita tidak boleh menyalahkan UMNO secara melulu dan mengatakan keputusan ini adalah berdasarkan ketamakan kuasa atau kesombongan UMNO.

Umum mengetahui kerjasama UMNO dengan PN adalah rapuh dan tidak sekuat MN. Suara dan hasrat ahli UMNO yang setia juga perlu didengari kepimpinan di mana mereka tidak bersetuju dengan kerjasama UMNO dengan BERSATU.

Kedua, kerajaan PN bukan sahaja lemah dalam sokongan Ahli Parlimen, malah lemah dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan. Tidak dinafikan pandemik Covid-19 turut mempengaruhi prestasi kerajaan tetapi kita dapat melihat kerajaan PN pada hari ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas seperti kerajaan BN yang lepas di mana mempunyai pelbagai dasar strategik seperti Transformasi Nasional 50, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya yang jelas memberi manfaat hingga ke hari ini.

Jika kita hendak kekal sebagai sebuah gabungan, negara perlu ada hala tuju yang tepat supaya dapat meningkatkan keyakinan rakyat.

Ketiga, apakah nilai perjuangan UMNO yang selama ini lantang membela nasib Allahyarham Adib, menentang LTTE, melawan Dong Zong dan sebagainya? Kini, semua itu seakan-akan dilupakan apabila menjadi kerajaan.

Kita tidak boleh terlalu taksub dengan kerajaan ‘Abah’ ini. Banyak yang bercelaru serta tidak nampak hala tuju yang jelas.

UMNO mestilah bersifat tegas dalam kerjasama politik ini kerana kita tidak mahu rakyat rugi di kemudian hari.

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

Exco PPUM/TKUB Kuala Terengganu

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts