Terfikir sekali, apabila DS Najib membuat sumpah laknat di Masjid, PH jatuh.
Apabila DS Najib membuat sumpah laknat di mahkamah, Warisan jatuh.
Kalau saya seorang Cina yang khurafat, tentu saya akan mengkaji hubungan antara dua ini. Namun, Saya bukan. Saya seorang graduan undang-undang.
Sekadar itu, saya hanya menyelidik dari segi aspek undang-undang mengenai isu ini.
Kes SRC DS Najib ini, beliau telah disabit hukuman di Mahkamah Tinggi dan tengah menunggu rayuan. Terdapat duit penyelewengan (dari SRC) yang digunapakai oleh DS Najib.
Antaranya digunakan untuk:
(i) Parti-parti politik seperti UMNO bahagian dan UPKO yang lompat ke Warisan dan kalah semua kerusi.
(ii) NGO-NGO seperti Rumah Penyayang Tun Abdul Razak
(iii) Barang-barang kemas untuk dihadiahkan kepada kerabat Diraja Negara Timur Tengah
(iv) Barang-barang untuk jemaah Haji
Yang betul-betul digunapakai oleh DS untuk diri sendiri, kalau tidak silap saya, hanyalah tangki air di rumah. Itupun untuk kegunaan puluhan pegawai pengiring bermandi sebelum solat.
Perbelanjaan sebegini walaupun dituduh dan disabitkan hukuman atas penyalahgunaan kuasa pengubahan wang haram, ia tidak semacam orang yang kuat rasuah, yang beli kereta mewah, rumah mewah dan sebagainya.
Dari segi perbicaraan mahkamah pula:
Permulaannya, Yang Arif Hakim yang mengendalikan kes SRC telah ditukarkan oleh pihak kehakiman. Yang Arif memang seorang yang berwibawa dan berkelayakan.
Beliau merupakan seorang Hakim yang mengendalikan kes komersial (sivil) sebelum kes SRC (jenayah) ini.
Undang-undang secara amnya dalam kes sivil, tahap bukti hanyalah “keseimbangan kemungkinan” (balance of probability). Maksudnya, kalau kamu melanggar perjanjian dan saya menyaman anda, saya hanya perlu membuktikan 51 peratus sahaja.
Dalam kes jenayah pula, standard adalah “melangkaui keraguan munasabah“ (beyond reasonable doubt). Maksudnya, Kalau pendakwaraya ingin membuktikan bahawa anda membunuh, maka bukti itu mestinya tiada keraguan yang munasabah, agak-agak 90 peratus.
Ini untuk pemahaman anda sahaja. Jangan salah faham, saya tidak sesekali menuduh atau cuba membayangkan bahawa Hakim berkecenderungan menggunakan tahap bukti sivil dalam kes jenayah.
Ketua Hakim masa itu adalah dilantik pada Zaman Pakatan Harapan, Yang Amat Arif Richard Malanjum.
Beliau setelah bersara telah dilantik ke Syarikat Berjaya Land. Memang boss Berjaya ini mempunyai hubungan yang baik dengan Perdana Menteri ke-7.
Lagipun setelah bersara, beliau berkempen secara terbuka untuk Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan dalam PRN Sabah bulan lalu.
Apa maksudnya? Richard Malanjum yang mengetuai badan yang meluluskan lantikan Hakim untuk mengendalikan kes profil tinggi DS Najib adalah penyokong parti politik tertentu.
Ini adalah keraguan peribadi saya tentang keadilan kes SRC.
Tambahan pula, Peguam Negara masa itu, adalah peguambela untuk seorang ahli politik DAP dalam kes rasuah beliau di mahkamah.
Kes ahli politik DAP itu telah digugurkan oleh Peguam Negara yang merupakan bekas peguambela kepada ahli politik DAP itu.
Pendakwaraya ad hoc (dilantik khas dan bukannya daripada Jabatan Peguam Negara) yang mendakwa Najib dalam kes SRC, telah dinamakan oleh bekas Peguam Negara TS Apandi dalam affidavit, (bermaksud kalau TS Apandi menipu, beliau boleh dipenjarakan) bahawa pendakwaraya ad hoc tersebut pernah menunjukkan sifat yang prejudis terhadap DS Najib.
Seseorang pendakwaraya tidak boleh bersifat atau dilihat prejudis. Beliau melakukan dakwaan sebagai Pegawai Mahkamah (officer of the court) yang harus mengutamakan semangat undang-undang dan bukannya pendapat peribadi.
Pihak DS Najib pernah meminta untuk menukarkan pendakwaraya ad hoc ini, dan membantah pertukaran Yang Arif Hakim, tetapi gagal.
Saya bukan hendak cakap apa, kepada para peguam yang terbaca post ini, mohon tekan dada dan tanya kepada naluri perundangan diri sendiri. Sebagai seorang pengamal undang-undang;
1. Adakah ini yang sepatutnya berlaku?
2. Adakah ini menyalahi semangat perundangan yang bakal mencetuskan ketidakadilan?
3. Adakah sistem kehakiman ini telah dicemari unsur-unsur politik khususnya dalam kes SRC ini?
Tanya naluri anda.
Kalau ada orang nak cakap saya jilat Bossku ke, suruh saya diam ke, anda tidak dialu-alukan di sini. Tidak perlu komen apa-apa.
Kalau ada orang petik satu dua perenggan sahaja, balas komen dan abaikan seluruh posting ini, anda juga tidak dialu-alukan, sila keluar daripada posting ini.
Posting ini adalah daripada pemerhatian peribadi saya sebagai graduan undang-undang, tanpa diarahkan, dibayar atau diminta oleh siapa-siapa.
Sekian.
Apek Cina
Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan; https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1228105617551481&id=674810622880986