1. Kami mengikuti Pembentangan Belanjawan 2021 dari awal sampai tamat. Kami dengar dengan teliti dan sempat berbincang secara umum bersama pimpinan ADT PUTRA.
Ini pendirian PUTRA di peringkat ulasan dasar.
2. Parti PUTRA mengambil pendirian dan bersikap memujipun tidak, mengkritikpun tidak. Parti PUTRA membuat keputusan tunggu dan lihat sahaja. Ini disebabkan melalui pengalaman terdahulu, semua perkara di awal pengumuman dilihat begitu hebat. Kenyataan Polisi atau ‘Policy Statement’ sentiasa hebat dan mendapat tepukan gemuruh serta pujian ramai pihak, apatah lagi golongan yang tidak mahu mengambil risiko dan sentiasa mencari faedah, “sambil menyelam minum air”.
3. Persoalan pokok bukan mengenai apa yang diumumkan TETAPI YANG UTAMA IALAH PELAKSANAANNYA.
Terbuki selama ini gagalnya sesuatu dasar, program dan apa jua yang diumumkan ialah apabila pelaksanaannya gagal. “A good policy must be with good implementation“.
4. Apabila tiba kepada pelaksanaannya, berlaku rasuah, ketirisan, salah guna kuasa, pilih kasih, nepotisme, pembaziran dan bersifat ‘political selective‘. Contoh yang terbaik sama ada zaman BR1M Barisan Nasional atau BSH Pakatan Harapan, terdapat rakyat yang berhak menerima bantuan tetapi dinafikan bantuan dengan berbagai alasan, seperti alasan syarat gagal dipenuhi. Berlaku juga perkara yang sama dalam agihan projek. Ia berpandukan kepada “survival of the fittest” dan pilih kasih atas nama parti politik.
Ini berlaku di zaman Barisan Nasional mentadbir negara lebih 60 tahun dan di zaman 22 bulan Pakatan Harapan. Kini zaman Perikatan Nasional pula. Orangnya sama tetapi berbeza baju, ibaratnya “dua kali lima”. Malaysia menjadi satu-satunya negara yang ‘hebat’ melakukan pembaziran dalam dunia. Secara umum hanya 60 peratus sahaja yang mengalir, tetapi selebihnya hilang dan membazir kerana ketirisan, rasuah, salah guna kuasa serta pemborosan.
5. PUTRA berharap Belanjawan 2021 yang dibentangkan ketika negara masih diselubungi oleh wabak Covid-19 tidak akan menjadi “indah khabar dari rupa”. Rakyat pula “apabila mendengar guruh di langit, biarlah hujan turun dahulu sebelum membawa baldi ke padang untuk menadah air hujan”. Jika kepentingan memilih parti didahulukan, maka berlakulah kezaliman di kalangan rakyat. Hebat macam mana belanjawan sekalipun, ia hanya retorik dan hanya segelintir mendapat faedah iaitu puak parti yang menguasai kerajaan, kaum kerabat dan ‘sahabat-sahabat’ proksi.
6. PUTRA amat terkejut dan bimbang mengenai pendedahan oleh Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abd Majid di mana 59.9 peratus atau RM82.723 bilion dari Terimaan Pinjaman Baharu Kerajaan Persekutuan bagi Tahun 2019 di gunakan untuk membayar hutang. Dahsyat, hanya 29 peratus sahaja disalurkan untuk pembangunan.
Rakyat pasti tidak tahu jika ia tidak didedahkan oleh Ketua Audit Negara. Kena berhutang untuk bayar hutang, ia pelik tetapi benar. Sepatutnya duit pinjaman digunakan untuk pembangunan bagi menjana ekonomi rakyat dan negara.
7. Bagaimana hutang negara yang sudah melebihi 1 trilion dan pinjaman-pinjaman dibuat untuk membayar bunga dan hutang negara? Bagaimana jangkaan pendapatan negara apabila harga minyak masih belum stabil, kesan Covid-19 dan perniagaan terjejas? Di manakah sumber pendapatan? Jangkaan-jangkaan adalah ramalan yang belum tentu dan di manakah sumber untuk membiayai Belanjawan 2021? Janganlah “bunyi guruh di langit tetapi hujan tidakpun turun”.
8. Dijangkakan Defisit Belanjawan 2021 merupa defisit terbesar dalam sejarah belanjawan negara yang dianggarkan 50 bilion atau lebih. Jika diambil kira pelbagai hutang yang sedia ada dan bayaran bunga, maka sudah tentu semua pihak merasa cemas, menakutkan dan kebimbangan yang amat sangat.
9. Negara kehilangan banyak sumber pendapatan akibat kelemahan agensi pelaksanaan. Ia berpunca dari RASUAH yang berpanjangan. Kehilangan pelbagai punca cukai dalam banyak sektor sudah berlaku begitu lama. Contohnya Jabatan Kastam yang bertanggungjawab terhadap duti import dan berpuluh lagi agensi penguatkuasaan lain yang menyebabkan kerajaan kehilangan sumber pendapatan. Penipuan pembayar cukai syarikat-syarikat juga bukan sedikit dan tiada penghujung. Ibarat Hikayat Seribu Satu Malam.
10. Parti PUTRA mencadangkan agar semua kelemahan dan peranan agensi dan institusi penguatkuasaan di seluruh negara, termasuk di pintu masuk sempadan, dibuat ‘pembedahan’ secara besar-besaran dan disusun semula supaya tidak berlaku ketirisan yang berlanjutan, tindakan berkesan dan tegas dalam menjalankan peranan dan fungsinya. Negara jiran seperti Singapura boleh dijadikan contoh dan teladan. Pegawai-pegawainya berintegriti, bersih dan sistemnya pula teratur. Tindakan mereka tegas tanpa bertolak ansur. Di negara kita “SEMUANYA BOLEH RUNDING”. Sebab itu kilang-kilang haram dan macam-macam aktiviti haram beroperasi seperti semuanya halal.
11. Parti Putra juga mengulangi agar gaji, elaun ahli politik dari jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Ahli Parlimen, Exco dan ADUN, Setiausaha Politik serta Pegawai-pegawai Khas dihadkan.
12. Gaji-gaji dan elaun Pengerusi Eksekutif, CEO syarikat GLC dan Badan-badan Berkanun juga wajib dikaji semula dan diselaraskan termasuk lain-lain faedah keraian yang melampau dan membazir. Ini semua dapat menjimatkan wang negara.
13. Jawatan-jawatan bertaraf Menteri juga hendaklah dihapuskan kerana ia jelas membazir dan merupakan lantikan untuk percaturan kepentingan politik pihak-pihak tertentu dengan membazir wang rakyat dan negara.
14. Jawatan-jawatan Pengerusi GLC dan Badan Berkanun juga patut disusun semula dengan melantik tokoh-tokoh profesional yang berintegriti dan berpengalaman. Ia tidak sepatut dijadikan perisai politik untuk kepentingan individu. Melantik Ahli Parlimen yang sepatutnya menumpukan tanggungjawab di kawasan masing-masing adalah bercanggah dengan amalan tadbir urus yang telus dan cekap. Boleh dilantik tokoh-tokoh politik yang ada kelulusan profesional dan dilihat bersih. Bukan melantik ikut suka atas kepentingan politik. Memalukan.
ULASAN INI SECARA DASAR SAHAJA BUKAN SECARA TERPERINCI MENGIKUT ITEM KE ITEM YANG BANYAK BOLEH DIPERSOALKAN.
Janjilah setakat boleh berjanji. Rakyat hanya tunggu untuk bertepuk sahaja. Tidak semua tahu hujung pangkal nya. Teguh atau roboh Allah sahaja yang tahu. Menang atau musnah bersama.
Doa yang terbaik untuk rakyat dan negara kita Malaysia yang indah khabar dari rupa.
PUTRA PERKASA NEGARA
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden Parti Putra
7 November 2020