Amat memalukan apabila Kementerian Kewangan berkali-kali membuat kesilapan pengiraan dan tersalah fakta di mana sepatutnya sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir hal ehwal kewangan negara dan rakyat, mereka sepatutnya langsung tidak boleh membenarkan wujudnya ruang untuk sebarang kesilapan dan kesalahan.
Kesilapan perbandingan antara pengeluaran KWSP dan skim saranan ‘Super’ Australia ini turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendedahkan fakta dan kiraan silap Kementerian Kewangan tersebut di laman Facebook beliau.
Rujuk; https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157492563510952/
Kemudian setelah dimalukan oleh rakyat Malaysia sendiri yang bertalu-talu membuat komen menyindir, mengecam termasuk memohon Menteri Kewangan bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan, Kementerian Kewangan dengan segera memadamkan siaran (posting) tersebut.
Tetapi kemudiannya mereka membuat siaran yang lain tetapi malangnya masih terdapat kesilapan pengiraan dan kesalahan fakta. Bagaimana perkara memalukan dan mencemar imej Kementerian Kewangan seperti ini masih boleh berlaku?
Rujuk; https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158160164913547&id=369244243546
Lagi sekali Najib kemudiannya menegur mengatakan ia masih mempunyai kesilapan pengiraan dan kesalahan fakta serta menyindir adakah Kementerian Kewangan masih dijaga oleh Lim Guan Eng.
Rujuk; https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157493027555952/
Adakah ia satu tindakan sabotaj yang dilakukan sendiri oleh pasukan pentadbir laman Facebook Kementerian Kewangan yang juga ingin caruman mereka dikeluarkan atau perkara ini tidak disengajakan – walaupun tidak logik kerana berkali-kali dilakukan?
Alasan tidak sengaja ini juga tidak masuk akal kerana tidak melibatkan pengiraan yang kompleks serta fakta boleh dibandingkan hanya melalui carian di internet dengan mudah, malah hanya membuktikan cadangan pengeluaran caruman KWSP sebanyak RM10,000 ini boleh dikembalikan atau ditambah semula dalam waktu yang singkat.
Kementerian Kewangan memberikan contoh jika individu di Australia yang bergaji 6,000 dolar sebulan boleh dikembalikan dalam masa setengah tahun sahaja (mereka tersalah letak setengah bulan), maka jika menggunakan logik dan pengiraan yang sama oleh Kementerian Kewangan, tentulah rakyat Malaysia yang bergaji RM6000 sebulan juga boleh mengembalikan RM10,000 yang dikeluarkan dalam tempoh yang sama.
Melalui kiraan yang sama juga, secara logiknya mereka yang bergaji RM3000 boleh mengembalikan RM10,000 yang dikeluarkan dalam masa setahun manakala yang bergaji RM2000 pula memerlukan setahun setengah.
Nota: Walaupun NILAI RM6,000 tidak sama dengan nilai A$6,000 tetapi jumlah caruman mana-mana negara di dunia tetap dikira berdasarkan peratusan gaji bukan mengikut kadar penukaran wang. Sebagai contoh jika kerajaan Australia menetapkan 13 peratus untuk dicarum sebulan maka jumlah caruman tetap berjumlah A$130 sama seperti di Malaysia iaitu RM130 – Kementerian Kewangan tidak boleh mengira rakyat Australia telah menyimpan sebanyak A$360 mengikut kadar Dolar Australia (AUD) berbanding Ringgit Malaysia (RM) iaitu 1:3 kerana perbelanjaan serta harga barangan dan perkhidmatan di sana menggunakan mata wang Australia bukannya ringgit.
Selain itu, secara tidak langsung, kesalahan dan kesilapan yang dibuat berkali-kali oleh Kementerian Kewangan ini hanya membuktikan cadangan Najib adalah tepat pada masanya dan wajar dilaksanakan segera.
Termasuk justifikasi bahawa pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP ini tidak akan mempunyai masalah – kerana pengiraan untuk mendapatkan kembali jumlah tersebut dalam masa yang singkat telahpun dibuktikan oleh Kementerian Kewangan sendiri.
Justeru apa alasan kerajaan selepas ini untuk tidak membenarkan atau menghalang pengeluaran caruman tersebut yang juga dibuat oleh beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Peru dan Chile?
Melainkan kesilapan ‘setengah bulan’ itu bukan dimaksudkan dengan setengah tahun tetapi sebenarnya adalah setengah dekad, iaitu dalam tempoh 5 tahun atau sebenarnya pengiraan dibuat mengikut nisbah 1:3 yang tidak boleh digunakan.
Jika ini puncanya, maka ini hanya menunjukkan Kementerian Kewangan semakin tidak kompeten dan mungkin mempunyai masalah yang besar sehingga tidak lagi mampu membuat pengiraan dan perbandingan dengan betul.
Persoalan lebih menarik, siapa yang akan menjadi ‘kambing hitam’ atas kesilapan dan kesalahan memalukan ini atau Tengku Zafrul sendiri akan bertanggungjawab dan menerangkan isu ini dengan lebih jelas?