ISU RAKYAT PERLU MORATORIUM SECARA AUTOMATIK DAN RM10,000 KWSP

3.7k
SHARES
12.1k
VIEWS

Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Perbahasan Bajet 2021 dalam Dewan Rakyat dihangatkan dengan penyertaan orang ramai di media sosial dan media akhbar.

Semenjak Pengerusi BNBBC menyatakan sokongan bersyarat terhadap Bajet 2021 berhubung soal pengeluaran wang pencarum di KWSP dan pelanjutan moratarium pinjaman bank, berbagai reaksi telah timbul.

Pimpinan KWSP dan Bank Negara turut memberi reaksi ‘profesional’ masing-masing.

Apa yang menarik juga, bantahan Ahli Parlimen PAS, bagi pihak pemerintah PN, yang cuba memperlekeh saranan BNBBC dengan hujahan bersandarkan kepada ‘kemaruk’ Sultan Melaka terhadap Puteri Gunung Ledang, dipertahankan dengan hujahan berbentuk ‘ilmiah’ dalam akhbar rasmi PAS iaitu Harakah!

Begitu penting bagi PAS menyokong kuat Ahli Parlimen mereka dan mempertahankan Bajet 2021 sehingga Harakah dilibatkan membawa naratif ilmiah. Sebagai rakan dalam PN, PAS tidak berbelah bagi dalam sokongan kepada kepimpinan PN.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen PN juga bersama mempertahankan Bajet 2021 dan menolak saranan BNBBC.

Agaknya pendirian DS Shahidan Kassim itulah juga pendirian PPBM kerana ‘kesepian’ wakil parti itu bukan sengaja tetapi kerana hampir semua Ahli-ahli Parlimen PPBM berjawatan rasmi. Jadi sukar untuk bersuara dan kena berharap kepada DS Shahidan mewakili parti itu.

Perbahasan terhadap boleh atau tidak boleh pencarum keluarkan sehingga RM10,000 dari akaun 1 mereka membabitkan wang simpanan masa tua pencarum.

Iaitu bagaimana mengimbangkan strategi jangka masa pendek dalam pencapaian matlamat jangka panjang. Lebih-lebih lagi semasa kecemasan ketika wabak COVID 19 mencabar kehidupan biasa rakyat dan negara. Iaitu dalam keadaan luar biasa yang mendesak.

Caruman pekerja telah bertambah baik kerana adanya gaji minima. Keputusan dasar itu secara tersendiri telah menambah jumlah simpanan pencarum.

Ada lagi penambahbaikan yang boleh dilakukan secara keputusan dasar untuk memantapkan “simpanan untuk hari tua” di KWSP. Umpamanya untuk menjamin setiap pencarum memiliki jumlah yang munasabah untuk hari tua mereka dengan cara pembayaran dividen dan bonus secara berperingkat.

Tetapi, apakan daya, hikayat Puteri Gunong Ledang pula diketengahkan dalam Dewan Rakyat! Dan ikut hikayat, Puteri Gunung Ledang tidak akan menjadi tua, iaitu tidak akan perlu berdepan dengan masa tua seperti hakikat yang dihadapi oleh manusia biasa.

Mana tidak Sultan Melaka berkehendak sangat sang puteri itu. Ada pula Ahli Parlimen yang setia memperjuangkan kehendak Sultan Melaka sehingga terlepas peluang menghujahkan cara-cara ‘out-of-the-box‘ supaya dimantapkan jumlah simpanan pencarum untuk masa tua mereka.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts