BAJET DIBAHAS LEBIH SERIUS, MANFAAT LEBIH BAIK BUAT RAKYAT

415
SHARES
1.3k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Ada beberapa orang pemimpin yang mengatakan bahawa sesiapa yang mengundi untuk tidak meluluskan Bajet 2021 pada hari ini adalah mengkhianati rakyat.

Apa yang mereka katakan di atas tersebut sebenarnya adalah jauh dari kebenaran malah sebaliknya.

Buat pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia, bajet kerajaan dibahaskan dengan lebih serius untuk menyemak-imbang peruntukan dan perbelanjaan kerajaan sehingga ia berisiko untuk ditolak dan tidak diluluskan.

Sebelum ini semua bajet-bajet kerajaan yang dibentang, diluluskan dan diterima tanpa apa-apa pindaan.

Perkembangan terbaru ini sebenarnya adalah baik untuk rakyat dan demokrasi kerana ia memastikan perbelanjaan kerajaan dibuat dengan lebih telus untuk mengurangkan pembaziran, ketirisan mahupun rasuah.

Dan ia juga memastikan agar rakyat mendapat manfaat paling optimum dan terbaik (“the best deal“) daripada peruntukan-peruntukan dalam bajet tersebut berbanding sekiranya ia diluluskan begitu sahaja tanpa banyak cabaran atau pindaan.

Ada juga pihak mengatakan bahawa jika bajet ini tidak diluluskan hari ini, maka perbelanjaan untuk COVID-19 tidak boleh dibuat.

Ini juga tidak tepat. Kerana bajet yang dibentangkan minggu ini adalah untuk tahun depan, apa-apa peruntukan yang diluluskan akan dibelanjakan pada tahun depan.

Oleh itu masih ada masa dalam lebih sebulan untuk bajet ini diubah atau dibentang semula oleh kerajaan sedia ada, mahupun kerajaan yang baru atau sementara (interim) jika berlaku pertukaran kerajaan.

Pindaan atau penyediaan bajet yang baru juga tidak semestinya memakan masa yang lama kerana kebanyakan daripada peruntukan-peruntukan dalam bajet sedia ada boleh diguna semula terutama dalam perbelanjaan mengurus (Opex) seperti gaji penjawat awam dan sebagainya iaitu komitmen tetap kerajaan yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

Sebulan adalah masa yang lebih dari cukup untuk membentang semula Bajet baru yang lebih baik daripada yang sedia ada sebelum perbelanjaan dibuat pada tahun 2021.

Jika bajet ini boleh dipinda petang ini juga, maka ia adalah lebih baik.

……..

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah bertitah supaya Ahli-ahli Parlimen menyokong Bajet 2021.

Pada hemat saya ini tidak bermaksud pihak kerajaan mendapat lampu hijau untuk memasukkan apa sahaja dalam bajet tersebut dan menyorok di belakang titah Baginda seolah kerajaan mendapat ‘cek kosong’.

Titah Baginda tidak membawa maksud cadangan Bajet 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan tidak boleh dipinda langsung; kerajaan tidak boleh sewenangnya melangkau proses-proses perundangan untuk meluluskan bajet.

Saya pasti Baginda juga tidak mahu jika bajet yang dibentang mendapat tentangan banyak pihak walaupun ianya berjaya diluluskan di Parlimen waima dengan undian majoriti tipis.

Pada saya, suatu versi Bajet 2021 perlu disokong dan diluluskan; namun ia tidak semestinya versi yang pertama ini yang pihak kerajaan mahu ia disokong dan diluluskan serta merta.

Kerajaan boleh meminda bajet sedia ada ini atau membuat bajet yang baru dalam tempoh sebulan supaya kepentingan rakyat lebih dijaga dan oleh itu bajet yang dibentang dan diluluskan tidaklah mendapat banyak tentangan.

Ini juga membuka jalan untuk semua Ahli-ahli Parlimen untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tanpa mengira parti politik supaya Bajet 2021 boleh diluluskan dengan sokongan rata-rata Ahli Parlimen dan rakyat sebelum hujung tahun ini.

ISHAM JALIL

26 November 2020

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/866636750758517/?d=n

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts