Kenyataan Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
30 November 2020
1. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengambil maklum kenyataan media keluarga Allahyarham Muhammad Adib Kassim bertarikh 26 November 2020 yang menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian Adib sempena genapnya tempoh dua tahun peristiwa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.
2. PEMBELA memandang serius terhadap kekesalan yang dizahirkan oleh keluarga Allahyarham Adib yang mendakwa bahawa pihak polis tidak berhubung dengan pihak keluarga untuk memberitahu perkembangan terkini walaupun pihak peguam telah meminta polis segerakan siasatan selanjutnya untuk menangkap pembunuh-pembunuh yang bertanggungjawab.
3. PEMBELA mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan penjelasan lanjut terhadap perkembangan terkini tentang kes ini dan bukan datang dengan membawa cerita baharu yang berlawanan dengan keputusan mahkamah koroner serta fakta-fakta keterangan peguam Syazlin Mansor.
4. Penjelasan Menteri KDN yang menyatakan untuk hanya mendakwa 12 suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah sama sekali kerana kes ini melibatkan kematian. PEMBELA juga mempersoal kewajaran untuk diadakan inkues semula yang telah dicadangkan; mengapakah tidak diambil tindakan tuntas setelah selesai dibuat inkues pertama?
5. PEMBELA memohon pihak Pejabat Peguam Negara agar tidak melengahkan lagi kes ini lebih-lebih lagi apabila mantan Peguam Negara Tommy Thomas telah melakukan beberapa kesalahan besar yang tidak berpatutan sebagai seorang Peguam Negara.
6. Sekali lagi PEMBELA ingin menuntut agar semua pihak yang terlibat agar telus dan jujur bagi menyelesaikan kes ini dengan seadil-adilnya untuk menjaga kewibaaan dan integriti pemerintah dan negara. PEMBELA akan terus bersama keluarga Allahyarham Adib agar mendapat pembelaan yang sewajarnya.
AMINUDDIN YAHAYA
Pengerusi Gabungan PEMBELA