APA SEBENARNYA MASALAH KERAJAAN DALAM MENANGANI ISU i-SINAR?

670
SHARES
2.2k
VIEWS

1. Masalah sama sendiri tidak tahu mengenai punca kuasa?

Dalam isu desakan rakyat menuntut pengeluaran wang caruman sendiri sebanyak RM10,000 secara ‘one off‘ daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan dilihat masih mahu meletakkan syarat tertentu yang menyulitkan rakyat, tidak adil serta tidak mampu menyelesaikan masalah pencarum. 

Dalam isu ini 3 pihak yang mempunyai kuasa terlibat dalam pengeluaran tersebut iaitu CEO KWSP, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Jika CEO KWSP yang mendapat arahan daripada Menteri Kewangan masih berdolak-dalik dengan meletakkan pelbagai syarat tidak seimbang, masih tidak mahu mengikut cadangan menteri, Perdana Menteri dengan mudah boleh memberi kata dua kepada CEO tersebut.

Justeru adakah sebenarnya Perdana Menteri sendiri yang tidak mahu ia dibenarkan maka pelbagai alasan dicari bagi menjustifikasikan tindakan tersebut?

Termasuk dengan menggunakan laman Facebook tertentu yang dikaitkan dengan Menteri Kanan terkanan, dengan penggunaan bahasa yang masih mengekalkan ‘nuansa’ Pakatan Harapan. 

2. Masalah tidak mampu mengenal pasti punca masalah atau tidak tahu mengira?

Bagi pencarum dalam kategori pertama mungkin tidak mempunyai masalah, hanya timbul persoalan kenapa tidak boleh mengeluarkan RM10,000 secara ‘lump sum‘ sebaliknya hanya boleh dikeluarkan secara berperingkat.

Namun masalah besar adalah pada kategori kedua iaitu mereka yang dikurangkan gaji 30 peratus daripada pendapatan keseluruhan, yang tidak dinyatakan had tertentu bagi ‘pendapatan keseluruhan’ tersebut.

Sebenarnya di sinilah punca masalah skim i-Sinar kerana mereka yang berpendapatan rendah contohnya RM1,000 sebulan (atau kurang) disamakan dengan mereka yang berpendapatan tinggi contohnya RM10,000 sebulan (atau lebih).

Tetapi yang berpendapatan rendah tersebut tidak layak jika pendapatan tidak terjejas sehingga 30 peratus sebaliknya yang berpendapatan tinggi akan menikmatinya jika pendapatan berkurangan mengikut peratusan yang sama. 

Penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan ini tidak mampu menyelesaikan masalah mereka yang bergaji rendah tetapi hakikatnya merekalah yang paling terjejas walaupun pendapatannya hanya berkurangan sebanyak 5 peratus sebulan, apatah lagi jika dipotong sehingga 25 peratus. 

Mungkinkah kerajaan membuat keputusan tergesa-gesa sehingga tersalah membuat pertimbangan dan tersalah kiraan seperti yang dilakukan oleh KWSP sebelum ini? Tetapi apapun, jangan sehingga rakyat akhirnya menjadi mangsa. 

3. Masalah tiada cadangan lebih baik?

Kerajaan mungkin malu mengakui bahawa mereka tidak mempunyai cadangan yang lebih baik bagi menggantikan cadangan pengeluaran ‘one off‘ sebanyak RM10,000 ini sebaliknya tidak mahu melaksanakannya mengikut apa yang dicadangkan sebaik mungkin. 

Sejak itu percaturan kerajaan pada mulanya untuk tidak membenarkan pengeluaran ini dengan memberikan pelbagai alasan dan perbandingan salah (termasuk tersilap kira) akhirnya menjerat diri.

Apabila sudah terjerat, kerajaan dilihat terpaksa akur dengan desakan rakyat namun meletakkan pelbagai syarat. Kemudiannya syarat tersebut juga diubah lagi dan yang terkini pelaksanaan mengikut dua kategori ini.

Namun ia dilihat masih tidak menyeluruh dan pasti akan ada yang tercicir menikmati skim ini walaupun mereka inilah yang mungkin sangat memerlukan sebenarnya.

Persoalannya kenapa kerajaan tidak mahu menjadi pemudah cara? 

4. Masalah kerana ia dicadangkan oleh Najib?

Persoalannya jika cadangan yang kini menjadi ‘gerakan massa’ rakyat melalui media sosial ini tidak mampu ditambah baik oleh kerajaan, kenapa tidak laksanakan cadangan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak?

Tetapi ia tidak ditunaikan seperti cadangan asal yang jauh lebih mudah untuk dilaksanakan, KWSP juga tidak akan menghadapi bebanan kerja melampau. 

Rujuk; https://editormalaysia.com/19172/

Demi rakyat, tidak mungkin kerajaan ketika ini masih ada masa berfikir untuk mempertahankan egonya. 

5. Kesimpulan – apa masalah sebenarnya? 

Justeru jika bukan masalah tidak tahu punca kuasa siapa dan kesukaran mencari punca masalah, bukan juga masalah tidak tahu mengira atau tidak mahu melaksanakan cadangan Najib, maka kerajaan tidak ada alasan untuk tidak melaksanakannya seperti yang diharapkan rakyat.

Melainkan dalam sehari dua ini kerajaan mampu datangkan cadangan yang lebih baik (walaupun sudah berbulan tidak mampu datangkan idea tersebut), maka adalah lebih baik tanpa berlengah, laksanakan sahaja janji yang telah diberikan dalam Parlimen iaitu semua 8 juta pencarum dibenarkan keluar tanpa syarat.

Selesaikanlah masalah rakyat, janganlah sampai kerajaan pula yang menjadi penghalang dan punca masalah kepada rakyat. 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts