Saya ditanya oleh rakan mengenai usaha Felda mengambil balik FGV dan mengapa saya tidak lakukannya dalam tempoh saya Pengerusi FELDA.
Sebenarnya, PEMANDU telah mencadangkan perkara ini sebaik sahaja saya dilantik ke jawatan Pengerusi FELDA. Hanya pada ketika itu, harus saya kembalikan dahulu keyakinan institusi kewangan terhadap FELDA.
Apa tidaknya, tidak ada bank kecuali Bank Rakyat yang sanggup memberi pinjaman kepada FELDA itupun dengan syarat-syarat cagaran kolateral yang berat.
Pada bulan pertama saya berada di FELDA telah terbongkar juga kes tanah-tanah milik FELDA yang bertukar tangan berikutan perjanjian pembangunan antara FELDA Investment Corporation (FIC) dengan Synergy Promenade (SPSB).
Kedua-dua ini, kurang keyakinan bank terhadap FELDA dan kes tanah FELDA Jalan Semarak, menunjuk kepada kelemahan urus tadbir dalaman FELDA serta syarikat-syarikat sekutunya.
Maka keutamaan saya ialah membetulkan urus tadbir dalaman FELDA dulu. Sambil itu, saya juga perlu mententeramkan pemegang taruh FELDA yang terpenting, iaitu masyarakat peneroka FELDA.
Selepas beberapa perubahan dalaman untuk meningkatkan urus tadbir FELDA, kepercayaan bank kepada FELDA dapat dipulihkan. Sehingga Maybank bersedia mengaturkan sukuk bagi FELDA tanpa perlu kepada jaminan kerajaan. Penarafanpun AAA.
Itu tercapai selepas 6 bulan.
13 bulan kemudian, tanah FELDA di Jalan Semarak telah kembali juga menjadi milik FELDA.
Fitnah parti pembangkang terhadap kedudukan kewangan FELDA telahpun diredakan apabila mahkamah pada Disember 2017 mengenakan pembayaran ganti rugi sebanyak RM2 juta ke atas Dr Wan Azizah kerana fitnahnya bahawa FELDA telah bankrap. (1)
Keyakinan semua pemegang taruh FELDA terhadap badan kerajaan itu sudah juga semakin meningkat.
Sayapun berada di FELDA selama 17 bulan sehingga PRU-14. Pelaksanaan perkara-perkara besar oleh FELDA, sama ada hendak menamatkan perjanjian LLA dengan FGV atau mengambil balik FGV, hanya setelah perkara-perkara dalaman FELDA diselesaikan.
Apapun, dalam masa 17 bulan itu, imej dan nama baik FELDA sudah dapat dipulihkan kembali.
Sebagai orang politik, ukurannya pasti juga dari segi sikap pengundi FELDA pada PRU-14. Kesimpulannya, BN memperolehi 58 peratus jumlah undi di seluruh PDM FELDA. PAS memperolehi 31 peratus. Yang lain seperti PPBM, PAN, PKR dan DAP berkongsi baki 11 peratus tersebut.
Kini, 30 bulan selepas saya meninggalkan FELDA, FELDA bergerak untuk mengambil balik FGV.
Ia pilihan terbaik kerana dengan harga saham FGV berada di paras yang rendah (RM1.27 sesaham pada tarikh pengumuman FELDA berbanding RM1.83 pada Mei 2018), ia menjadi pilihan yang termurah.
Saya yakin ia akan berjaya, sepertimana bank utama negara juga sudah yakin terhadap FELDA.
(1) Pada ketika Dr Wan Azizah telah memegang jawatan TPM, FELDA tidak membantah apabila beliau merayu agar ganti rugi RM2 juta yang perlu dibayarnya itu diminta dikurangkan ke RM70,000 atas alasan ganti rugi yang asal akan menjadikannya seorang yang bankrap. Ya lah, FELDA pun agensi kerajaan.
Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad