MUFTI PERLU TEGUR GOLONGAN AGAMA PROMOSI TATU

172
SHARES
555
VIEWS

Setahun dua kebelakangan ini dapat dilihat keghairahan para asatizah atau golongan agama seperti ustaz-ustaz mempromosikan kegiatan masing-masing di media sosial. Masing-masing dengan cara tersendiri ada yang menghimpunkan hadis harian, ada yang bercerita bagaimana mereka berdakwah sana sini dan ada juga yang memberi surat terbuka kepada selebriti dan ada juga yang suka memberi pendapat dalam isu semasa walaupun bukan bidang mereka.

Cuma apa yang menjengkelkan, terdapat segelintir daripada mereka yang secara terang-terangan mempromosi tatu yang terdapat pada badan rakan mereka yang telah bertaubat dan kembali kepada ajaran agama.

Sedangkan tatu ini adalah satu perbuatan yang dilaknat oleh Allah Taala dan wajib disorok selepas kita bertaubat dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Sepatutnya para agamawan ini menasihati mereka agar menyembunyikan tatu mereka sebaik mungkin dan bukannya mereka pula yang galak menyuruh agar menonjolkan tatu tersebut. Lainlah jika tatu tersebut dibuat di tempat yang tidak mungkin disorok, seperti di muka misalannya seperti segelintir orang Samoa, namun beliau tetap kena bertaubat dan jangan sesekali berbangga dengannya.

Gambar hiasan

Tidak ada alasan ataupun dalil yang membolehkan tatu tersebut dipertontonkan kembali kononnya untuk menjadi iktibar bagi yang lain, atau perkataan klise yang selalu kita dengar, “Semoga menjadi asbab hidayat,” kerana tujuan tatu itu sendiri dibuat adalah untuk ditayang atau untuk ditonjolkan kepada umum.

Jika para ustaz sendiri menganjurkan promosi tatu tersebut kononnya mereka yang bertatu juga bertaubat, ini akan menimbulkan implikasi di mana remaja kita akan berlumba-lumba membuat tatu kerana kelak boleh bertaubat seperti para ustaz promosikan.

Sedangkan tanggungjawab mereka untuk memberitahu mana yang boleh dan mana yang tidak boleh bukannya cuba mengambil hati mereka dengan membenarkan apa yang salah.

Walaupun niatnya murni namun tetap berdosa mempamerkan tatu. Niat tidak menghalalkan cara. Selain itu, mereka yang bertatu juga akan salah faham dengan tidak berasa salah malah apa yang lebih ditakuti mereka akan berbangga pula mempunyai tatu tetapi mengaku telah bertaubat.

Cukup-cukuplah publisiti diri atas nama agama di media sosial. Diharapkan Mufti menegur para agamawan ini agar cukup-cukuplah mempromosi tatu yang dilaknat oleh Allah Taala walau apapun alasan mereka.

Yang haram tetap haram.

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts