PENINGGALAN UNGKU AZIZ MEMANFAATKAN UMMAH DAN NEGARA

103
SHARES
331
VIEWS

Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Almarhum Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz adalah tokoh pertama yang saya ingin bertemu sebaik sahaja saya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1984.

Saya masih ingat bagaimana Almarhum enggan menerima kunjungan saya di pejabatnya dan sebaliknya menegaskan pertemuan itu diadakan di pejabat saya di Kementerian Wilayah Persekutuan, Wisma PKNS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Sudah tentunya selaku seorang bekas mahasiswa Universiti Malaya, saya tetap mempunyai rasa hormat terhadap seorang Naib Canselor yang mendekati dan menghormati anak-anak buahnya sungguhpun kami sebagai mahasiswa bagaikan langit dengan bumi dari segi ilmu dan pencapaian.

Perasaan hormat itu tetap dalam hati saya walaupun sudah berbelas tahun saya meninggalkan Universiti Malaya dan telah berada di dalam Jemaah Menteri negara.

You are the minister. I will come to see you,” kata Almarhum kepada saya.

Saya ingin bertemu dengan Almarhum kerana saya ingin mendapat cadangan dan pandangannya tentang isu-isu pengurusan sebuah bandaraya yang juga ibu kota negara.

Ketika itu, penduduk Kuala Lumpur tidak kesemuanya menganggapkan diri mereka sebagai warga bandaraya itu kerana masih kuat ikatan mereka dengan kampung asal masing-masing. Sebagai contoh, kalau meninggal dunia di Kuala Lumpurpun, tetap jenazah dibawa balik ke kampung atau bandar asal-usul untuk dikebumikan. Itu contoh yang termudah.

Maka perbincangan kami berdua ialah bagaimana dapat dibangunkan perasaan kewargaan Kuala Lumpur supaya konsep Wilayah Persekutuan itu dijadikan sebagai asas penting pembangunan dan pemodenan masyarakat dan negara Malaysia.

Isu kemiskinan bandar dikupas dari segi pembangunan individu, keluarga dan masyarakat di setiap peringkat sosio-ekonomi. Impak penghijrahan luar bandar ke bandar membawa kesan dengan penubuhan kawasan-kawasan penempatan setinggan dengan masalah-masalah mereka tersendiri.

Sungguhpun kepimpinan negeri Selangor sebelum Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada 1974 bersikap positif terhadap masyarakat setinggan, namun masih perlu kepada penyelesaian secara muktamad.

Berbagai isu sosio-ekonomi telah kami bincangkan dan akhir sekali, Almarhum sebagai peserta tetap acara tahunan Malay Mail Big Walk telah sarankan penganjuran sebuah larian ‘marathon’ untuk Kuala Lumpur.

Hujahnya mudah, setiap bandaraya di dunia mempunyai acara larian ‘marathon’ tahunan masing-masing dan Kuala Lumpur sepatutnya juga menganjurkannya.

Dan larian KL Marathon yang pertama diadakan sebagai sambutan ulang tahun kesepuluh penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Namun, pandangan dan nasihat Almarhum sampaikan kepada saya pada pertemuan itu lagi menguatkan asas pendekatan saya sebagai seorang ahli politik, mahupun pembangunan semula kawasan-kawasan setinggan, perumahan yang sempurna, pembinaan harta di kalangan golongan sosio-ekonomi terendah, memperkasakan komuniti dan pelbagai lagi.

Kesimpulannya mudah sahaja; jawatan dan kuasa itu memberi peluang bagi yang empunya untuk melakukan sesuatu atau pelbagai perkara bagi manfaat ramai.

Kalau tidak banyak, satu duapun memadai.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-NYA ke atas roh Almarhum Profesor Ungku Abdul Aziz dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang solih. Al-Fatihah.

Almarhum telah kembali ke rahmatullah, namun peninggalan Almarhum tetap memanfaatkan ummah dan negara.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts