JANGAN JADIKAN ISU PERKAHWINAN ILLI NAJWA POLEMIK POLITIK

247
SHARES
796
VIEWS

Murtad atau tidak? Persoalan yang bermain di minda orang ramai dan saat artikel ini disiarkan pasangan pengantin masih lagi berada di India. Isu perkahwinan yang mencetuskan kontroversi oleh pemain hoki negara, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique 27, yang telah melangsungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya Manpreet Singh Pawar 28, Ketua Pasukan Hoki India, di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab menjadi tajuk panas di media sosial sejak 20 Disember 2020 yang lalu kerana dikatakan mengikut adat agama Sikh yang bercanggah dengan akidah Islam.

2. Berita perkahwinan pasangan ahli sukan hoki yang mewakli negara ini melonjak naik apabila tular rakaman majlis perkahwinan mereka dengan penampilan yang menimbulkan persoalan apabila dalam beberapa keadaan semasa upacara majlis perkahwinan tersebut terdapat perlakuan yang mencurigakan yang boleh menyebabkan seseorang yang beragama Islam tergelincir atau gugur keimanannya jadi murtad dan perkara ini telah menyebabkan timbul kemarahan di kalangan warga maya khususnya yang beragama Islam.

3. Baik dari segi penampilan pengantin lelaki yang mengenakan sut perkahwinan Punjabi lengkap dengan serban dan juga penampilan pengantin perempuan Illi Najwa yang memakai pakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan hingga kepada perbuatan “tunduk sujud” yang dikatakan oleh warga maya seperti menyembah buku suci Sikh Guru Granth Sahib.

4. Bagi meredakan kekecohan, tampil seorang pegawai khas Menteri Persekutuan yang membuat kenyataan dengan merujuk kepada penjelasan pengantin wanita yang difahamkan adalah anak saudara Menteri Persekutuan tersebut berasal dari Johor. Dalam kenyataan wanita tersebut, beliau mengesahkan suaminya telah memeluk agama Islam sejak tahun 2019 dan mereka telahpun melangsungkan pernikahan mengikut cara Islam pada 16 Disember yang lalu dalam acara tertutup semasa berada di Malaysia. Namun kenyataan ini dikatakan gimik bagi menyelamatkan status kedudukan menteri berkenaan yang sedikit tercalar dengan tindakan anak buahnya ini.

5. Wanita tersebut juga menafikan segala tohmahan terhadapnya, iaitu beliau telah menukar nama dan agama sebagaimana dakwaan dari warga maya. “I have never changed my name nor my religion and my name will always be Illi Najwa Anuar Husin Siddique.” katanya. Manakala panggilan nama Sikh; Navpreet Kaur yang diberi oleh keluarga suaminya sejak tahun 2012 adalah kerana mereka sukar menyebut nama beliau; Illi Najwa Anuar Husin Siddique.

6. Walau apapun dalam soal murtad atau jatuh kufur, Islam ada menyediakan garis panduannya dan ada ketegasannya berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’: ayat 48) dan penegasan perbuatan syirik ini juga dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah: ayat 72).

7. Ulama membahagikan syirik itu kepada dua iaitu syirik kahfi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Untuk syirik jali ini, ia boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu menerusi iktikad, keduanya menerusi perbuatan serta amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala atau sesembahan agama lain. Dan yang ketiga, menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram atau mengaku keluar dari agama Islam.

8. Jika diperhalusi cetusan kemarahan warga maya yang mempersoalkan perkara ini tentu sekali akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Melayu Islam apabila pelbagai persoalan timbul merujuk kepada tayangan video majlis perkahwinan tersebut; iaitu, sama ada wanita Islam itu, Illi Najwa sudah murtad dan mengikut ajaran agama Sikh, atau sebagaimana dakwaannya suaminya telahpun menganut agama Islam, tetapi terpaksa meneruskan majlis atas permintaan keluarga dengan mengikut upacara perkahwinan budaya Sikh, bukannya ajaran agama.

9. Selain itu ada suara-suara dari media mengatakan pasangan tersebut kekal dengan agama masing-masing tanpa menukarnya dan polemik ini menimbulkan pula persoalan; apakah sah atau tidak status perkahwinan mereka jika keduanya dinikahkan dalam keadaan berlainan agama? Perkara ini seperti antara fahaman pluralisme agama yang kebelakangan ini dibawa masuk oleh beberapa individu termasuk tokoh politik.

10. Difahamkan bahawa pihak kerajaan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memanggil wanita tersebut sebaik kembalinya ke negara, manakala JAKIM telahpun mengeluarkan kenyataan mereka menanti siasatan dari Jabatan Agama Islam Johor mengenai status agama pasangan ini kerana pengantin wanita tersebut berasal dari negeri Johor.

11. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Jabatan Mufti Johor supaya menyiasat status terkini agama wanita itu. Dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam Johor, baginda merasakan dirinya bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

12. Sehingga kini beberapa fakta masih belum dapat disahkan sama ada melalui dokumen ataupun kenyataan iaitu:

a. Benarkah sebagaimana dakwaan wanita tersebut; pengantin lelaki tersebut sudah memeluk Islam?;

b. Benarkah upacara pernikahan menurut agama Islam telahpun dilaksanakan sewajarnya di negara ini sebelum berlangsung upacara perkahwinan di India?;

c. Benarkah pengantin wanita tersebut sudah mendapat kebenaran keluar negara untuk berkahwin daripada pihak berkuasa agama di Malaysia menurut undang-undang keluarga Islam negeri yang berkenaan; dan

d. Benarkah upacara perkahwinan yang ditularkan mirip seperti upacara agama Sikh bertentangan dengan hukum syarak atau mempunyai ciri-ciri syirik kepada Allah SWT tidak berlaku sebagaimana penafian wanita tersebut.

13. Walaupun persoalan-persoalan ini masih belum terjawab lagi, sebagai umat Islam, MUAFAKAT menyeru agar orang ramai tidak gopoh membuat sebarang tuduhan melulu dan yang paling penting ia perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan isu ini dijadikan polemik politik oleh Ahli Parlimen dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan. Kita seharusnya menyelesaikan permasalahan ini dengan cara yang baik bukannya dengan menyalahkan orang lain sama ada dari pihak kerajaan, parti politik tertentu ataupun keluarga pengantin. Ini adalah disebabkan hal ini berlaku atas kehendak peribadi seseorang yang tidak melibatkan pihak lain.

14. Oleh itu, bagi meredakan kemarahan orang ramai dan daripada diangkat oleh politikus tertentu menjadi agenda untuk meraih populariti, MUAFAKAT menyeru agar pasangan tersebut segera kembali ke Malaysia bagi membantu pihak berkuasa menyelesaikannya dengan seberapa segera dan memberi penjelasan atas segala tohmahan di media sosial.

15. Jika benar terbukti, berlaku perkara mensyirikkan Allah SWT iaitu perbuatan ‘sujud’ seperti yang terdapat pada video tersebut, maka kedua pasangan itu jika beragama Islam, wajib diajak bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi di samping diberi garis panduan yang sebaiknya kepada mereka untuk mengemudi rumah tangga agar mendapat keberkatan dari Allah SWT. Dan jika mereka ingkar, barulah tindakan perundangan diambil ke atas mereka.

16. Sebagai Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), MUAFAKAT memandang serius dengan apa yang telah berlaku, sama ada ia tohmahan atau benar-benar berlaku perbuatan syirik secara terang-terangan oleh seorang yang masih beragama Islam, ia adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan. MUAFAKAT mengajak rakan-rakan seagama baik seorang pemimpin negara atau negeri, lebih-lebih lagi kita sebagai Ibu bapa Muslim mesti muhasabah diri kita kenapa perkara sebegini boleh berlaku sedangkan negara telah menyediakan pendidikan agama yang secukupnya.

17. Malah umat Islam bebas memilih bentuk pendidikan bagi membentuk keluarga masing-masing. Atau apakah kebebasan ini yang menjadi punca kepada lemahnya pengetahuan agama di kalangan masyarakat Melayu Islam? Dan apakah kerajaan perlu mengkaji semula sistem pendidikan negara dengan meneliti kembali silibus pengajaran di sekolah dan masjid-masjid, dengan memupuk kembali kepada budaya leluhur kita yang mementingkan agama dan adab serta memperkemaskan jati diri dengan tauhid yang murni?

18. Hal sebegini tidak patut didiamkan dan pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan isu ini dengan mendapatkan kepastian kepada persoalan-persoalan yang berlegar.

19. Isu perkahwinan kontroversi Najwa ini tidak boleh dipandang remeh. Ia sesuatu yang sangat membimbangkan jika dipandang daripada perspektif perundangan kerana natijahnya boleh memberi kesan kepada perkahwinan orang Islam di masa akan datang. Sekiranya benar Illi Najwa telah murtad, dan sekembalinya dia ke Malaysia lalu tidak dikenakan sebarang hukuman, atau perbuatannya iaitu “tunduk sujud” yang boleh jatuh murtad itu tetapi dinafikan hanya sekadar berkata “Walaupun saya sujud tetapi hati saya masih atau tetap Islam” dan ucapan ini membuatkan beliau terlepas dari hukuman perundangan, maka kepincangan sistem kekeluargaan Islam akan lebih memburuk di masa akan datang, serta menjadi bertambah sukar untuk dibendung.

20. Sekiranya kes Najwa ini tidak diurus dengan bijak, lembut tetapi tegas, perkara sebegini bakal menjadi “sandaran kes” pada masa depan sebagai rujukan perundangan, apabila muncul lagi kes yang seperti ini. Adalah dipercayai kes seperti ini akan melonjak naik atas faktor sikap tidak ambil berat dan tidak peduli di kalangan generasi muda – bahkan generasi tua ibu bapa sekarang juga leka dan lalai terhadap perkara yang bersangkut-paut dengan akidah; negara hari ini.

21 Semoga kita dihindari daripada fahaman sesat pluralisme. MUAFAKAT mengambil kesempatan di sini mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun di Negeri Johor kerana cepat bertindak dan mengeluarkan kenyataan bagi menyelesaikan segera isu ini.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

22 Disember 2020

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts