KOS PEMBELIAN VAKSIN COVID-19, CUBAAN MENCURI DUIT RAKYAT?

241
SHARES
776
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

22 Dec 2020 | 7 Jamadilawal 1442H

1. Berikutan pendedahan dari Menteri negara Belgium berkenaan perincian kos pembelian vaksin seperti yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian, Wira PUTRA Malaysia memohon penjelasan kenapa kerajaan Malaysia membelanjakan RM3 bilion untuk hanya 10 juta vaksin sedangkan kerajaan Belgium boleh membelanjakan lebih kurang RM1.38 bilion untuk 33 juta vaksin.

2. Wira PUTRA Malaysia melihat terdapat kecurigaan di dalam proses pembelian vaksin ini kerana margin pembelian oleh kerajaan Malaysia berbanding kerajaan Belgium sangat ketara iaitu sebanyak lebih kurang RM2.62 bilion, di mana jumlah tersebut tidak logik jika melibatkan kos tambahan seperti kos penghantaran, kos penyimpanan dan kos lain-lain.

3. Wira PUTRA Malaysia menggesa agar siasatan yang terperinci perlu dilakukan terhadap proses pembelian vaksin ini dan diaudit sepenuhnya oleh PAC. Wira PUTRA Malaysia juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan ‘bipartisan committee’ yang turut melibatkan Ahli Parlimen pembangkang bagi menimbal balik keputusan kerajaan dalam proses pembelian vaksin ini agar proses pembelian dapat dijalankan secara telus tanpa sebarang ketirisan wang rakyat.

4. Secara dasar, pembelian vaksin ini amatlah penting untuk rakyat Malaysia dalam menangani masalah pandemik Covid-19 yang hampir setahun melanda negara dan pembelian vaksin ini dilihat sebagai jalan penyelesaian yang paling diharapkan oleh rakyat negara ini. Janganlah kerajaan Perikatan Nasional mengambil kesempatan di dalam keadaan rakyat berharap dan menantikan vaksin untuk membendung penularan pandemik tersebut. Wira PUTRA Malaysia mengecam sekeras-kerasnya jika ada penyalahgunaan dana pembelian vaksin Covid-19 ini dan akan terus memantau sehingga proses pembelian vaksin ini berjalan dengan sempurna.

5. Wira PUTRA Malaysia sekali lagi ingin memohon penjelasan daripada kerajaan tentang perincian pembelian vaksin tersebut yang dilihat sangat mencurigakan dengan perbezaan margin yang sangat ketara sebanyak lebih kurang RM2.62 bilion berbanding pembelian kerajaan Belgium. Perincian peruntukan dana pembelian vaksin juga perlu diselia dengan terperinci dan diaudit sepenuhnya oleh PAC.

WIRA PUTRA MALAYSIA akan terus bersuara agar rakyat Malaysia tidak tertipu dengan retorik kerajaan Perikatan Nasional hari ini!!!

Syed Mohd Shahriman Bin Syed Badrishah

Naib Ketua Wira Putra Malaysia

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts