PENDIRIAN BN PERAK, PEMBUKA DIMENSI BARU STRATEGI PRU-15?

1.2k
SHARES
3.8k
VIEWS

Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Pendirian Barisan Nasional Perak membuka satu dimensi baru kepada strategi pilihan raya BN pada PRU-15, iaitu kuasa pusat diturunkan kepada kepimpinan BN bagi negeri masing-masing.

Ia politik norma baru bagi UMNO dan Barisan Nasional dan menggantikan amalan biasa BN ketika kuasa itu dipusatkan. Tidak semestinya pandangan dan pertimbangan kepimpinan pusat suatu kekuatan kerana selepas PRU-14 yang memerlukan pemulihan total UMNO (dan kemudiannya BN) dari peringkat akar umbi, kepimpinan negeri semakin terlibat dan bertanggungjawab mengurus keadaan politik negeri masing-masing.

Contohnya di Melaka dan terbaru sekali di Perak.

Kita ambil contoh negeri Perak kerana ia baru sahaja berlaku.

Pembentangan usul percaya terhadap Menteri Besar daripada PPBM seolah-olah di luar jangkaan kepimpinan Perikatan Nasional (PPBM dan PAS) dan BN pusat. Apatah lagi apabila usul percaya itu terbalik menjadi undi tidak percaya.

Sukar hendak diterima Menteri Dalam Negeri PN, yang datangnya dari negeri yang sama berserta maklumat ‘intelligence‘-nya, tidak tahu apa yang bakal berlaku di DUN Perak.

Saya dimaklumkan sudah empat bulan kedudukan Menteri Besar PN itu dibawa ke pengetahuan pusat, daripada pujuk rayu untuk ditukarkan seorang pemimpin yang bermasalah hingga terpaksa dimuktamadkan dengan satu usul dalam DUN Perak.

Pendek kata, pusat tidak berkemampuan untuk membuat keputusan. Terpaksalah UMNO dan BN Perak pula melangkah ke hadapan. Dan hari ini di Perak, seperti Melaka, kembalikan politik negeri kepada norma biasa, iaitu yang teramai bilangan menguasai pemerintahan.

Bagi politik negara kembali kepada amalan atau norma biasa, agaknya perlulah kepimpinan pusat UMNO dan BN memperkasakan kepimpinan negeri kali ini untuk PRU-15.

Ia mungkin politik norma baru tetapi itulah langkah sebaiknya sebelum boleh kembali kepada amalan biasa dulu-dulu.

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts