KENAKAN HUKUMAN BERAT KE ATAS PENGHINA YDP AGONG

1.5k
SHARES
4.9k
VIEWS

Menghina Raja-Raja Melayu adalah merupakan suatu penderhakaan dan sekaligus menolak prinsip kedua Rukun Negara, maka setiap pengkhianat tidak layak menetap di negara ini.”

Perbuatan menghina Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dengan sengaja oleh penderhaka-penderhaka baik di dalam atau di luar negara sudah berulang berkali berlaku bagaikan agenda tahunan yang telah dirancang rapi oleh pihak tertentu. Selain ada pengkhianat yang terlepas, ada juga yang berjaya ditangkap dan dibicara, selanjutnya timbul pula soal hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan penghinaan yang dilakukan. Ini terbukti apabila pesalah tidak rasa serik dengan hukuman dan kes ini sentiasa berulang-ulang.

2. Di mana maruah negara sedangkan seluruh rakyat yang mengaku sebagai warganegara Malaysia wajib mendukung Rukun Negara dan dalam kes ini ia berkenaan dengan prinsip kedua dalam Rukun Negara iaitu KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA. Rakyat yang cintakan negara wajib mentaati prinsip negara ini baik Bumiputera, peribumi atau pendatang yang mendapat kerakyatan. Mereka wajib mematuhi kelima-lima prinsip Rukun Negara tanpa terkecuali.

3. Justeru, insiden kebiadaban melampau oleh pihak pengkhianat ini, MUAFAKAT ingin mengajak mengimbau kembali beberapa siri penghinaan yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap YDP Agong. Insiden-insiden ini seolah-olah ada gerakan terancang dan amat rapi yang mahu menjatuhkan institusi Raja-Raja Melayu, bermula dengan menjatuhkan kredibiliti individu Raja Melayu dan sedikit demi sedikit menumbangkan atau melenyapkan terus sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia dengan menggantikannya kepada sistem republik – kerajaan tanpa kesultanan atau raja.

4. Sorotan penghinaan ini boleh diimbau kembali dengan merujuk kepada kenyataan-kenyataan keras Wan Ji dalam satu rakaman video sejak tahun 2010 yang terang-terangan menghasut rakyat membenci Raja dan Sultan sehingga turut membuat satu perancangan untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030. Dalam kertas pertuduhan, beliau didakwa telah mengeluarkan kata-kata berikut terhadap Sultan Selangor khasnya dan terhadap Sultan-sultan lain umumnya melalui laman Facebook beliau pada jam lebih kurang 10.00 pagi 8 November 2012:

(1) “Jenis syaitan tak baca hadis Nabi…”
(2) “Bahana bodoh agama tapi nak jadi Ketua Agama…”
(3) “Perasan bagus, tapi bodoh agama…”
(4) “Buang je Sultan-Sultan ni…”
(5) “Perabis duit rakyat…”
(6) “Si syaitan ni buat projek pembodohan…”
(7) “Bila orang bodoh, dia akan berkuasa…”
(8) “Firaun moden…”
(9) “Nak kaya dalam keadaan bodoh adalah (dengan) jadi Sultan…”
(10) “Kalau di Malaysia, yang buat kerja (pembodohan) ni adalah UMNO dan Sultan…”

Rujuk di sini:

https://youtu.be/qWwVVlAuZ9c

5. Mahkamah Tinggi telah mengenakan hukuman penjara 1 tahun ke atas beliau, dengan mempertimbangkan faktor mens rea (niat) Wan Ji ketika memuatnaik kenyataan-kenyataan berkenaan yang konsisten dengan perancangan beliau untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti. Namun hukuman penjara 1 tahun amatlah ringan dan tidak setimpal dengan perbuatan biadabnya itu yang sepatutnya dikenakan hukum maksimum penjara sehingga 3 tahun dan denda semaksimum yang ada dalam peruntukan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

6. MUAFAKAT memandang serius perbuatan menghina Raja-Raja Melayu oleh para pelampau-pengkhianat negara, dan menyambutnya dengan membidas mereka melalui media sosial, antaranya pada Julai 2019, apabila seorang tokoh politik yang juga bekas banduan mahu berjumpa dengan Tun Mahathir untuk mendapatkan pembelaan terhadap penderhaka Sultan. Bagi MUAFAKAT; “Sesiapa yang membela penderhaka Sultan adalah juga seorang penderhaka”.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/10770/

7. Kenyataan seterusnya pada 25 Januari 2020, isu pembelaan Pengarah Eksekutif AMNESTY International Malaysia (AIM) yang juga mempertahan hak pengkhianat yang menghina YDP Agong dan Permaisuri Agong, sebagai warganegara Malaysia dan sebagai seorang peguam beliau sepatutnya mempertahan hak YDP Agong dan Permaisuri Agong kerana itu merupakan sumpah janji rakyat Malaysia.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/12882/

8. Seterusnya MUAFAKAT bersama PEMBELA dan PERTAHAN pada 15 Februari 2020 dengan penuh takzim memohon ke bawah DYMM YDP Agong agar dapat bertitah kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti subversif yang mengancam keselamatan negara. Termasuk mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan provokatif yang menghina dan mempertikaikan kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu serta Raja-raja Melayu, yang seolah-olah mahu menghasut rakyat menentang perkara-perkara berkenaan. Langkah untuk melucutkan kerakyatan kepada pelampau tersebut harus juga dipertimbangkan.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/13155/

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/13182/

9. Pada 20 Jun 2020, MUAFAKAT membidas warga maya yang komen berbentuk sindiran dan penghinaan terhadap Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bersantap di sebuah kedai roti tempayan, ketika dalam perjalanan dari Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih ke Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi yang menempatkan 40 individu kurang bernasib baik. Komen kurang enak dalam kalangan pembacanya apabila disiarkan dalam laman Facebook akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/15512/

10. Gambar-gambar YDP Agong dengan contengan lucah dan menghina. MUAFAKAT menyarankan hukuman ke atas pengkhianat negara tanpa mengira bangsa dan agama hendaklah dihukum sekeras-kerasnya supaya penghinaan yang seperti ini tidak akan ada yang berani melakukannya dan mengulanginya lagi. Kita sudah lihat bagaimana Jalur Gemilang dihina, kemudian gambar-gambar YDP Agong, ada yang berani menghina Al-Quran, menghina Nabi SAW, menghina agama Islam sudah berkali-kali, dan menghina Jata Negara dan kenyataan ini tersiar di media pada 1 Julai 2020.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/15632/

11. Pada 2 Ogos 2020 MUAFAKAT bukan hanya membuat kenyataan media tetapi juga membuat laporan polis mengenai kebiadaban melampau dari laman palsu Sarawaknews yang membuat berbagai lakaran ‘superimpose‘ yang amat keji terhadap wajah Raja-Raja Melayu (RRM) dan juga YDP Agong dalam berbagai rupa: ada yang dirupakan seperti anjing, beruk, dan paling menyakitkan hati dirupakan seekor babi dan lukisan belakang YDP Agong.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/15960/

12. Pada 25 Oktober 2020, MUAFAKAT membuat kenyataan media membantah kandungan memorandum kumpulan yang mempersoalkan keputusan Seri Paduka Baginda YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan mengadakan rundingan melibatkan Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan dari Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya.

Rujuk di sini:

https://editormalaysia.com/18027/

13. Dan yang paling terbaru isu penghinaan oleh sebuah pemilik ‘fake account’ dengan gambar yang menjatuhkan maruah kedaulatan Seri Paduka Baginda YDP Agong dan Institusi DiRaja. Jika di negara lain hukuman lebih berat sudah pasti diambil dan kita perlu menghormati kedaulatan negara kita sendiri. Negara kita mempunyai peruntukan dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Isteri YDP Agong (bergelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas YDP Agong.

14. Perbuatan melampau dapat dilihat beberapa hari yang lalu di Instagram peribadi Tuanku Raja Permaisuri Agong meluahkan kemurkaan baginda terhadap beberapa keping gambar di media sosial yang menghina wajah YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Tuanku Permaisuri menitah agar pemilik akaun “bukan_bangjago” dikenakan tindakan.

Gara-gara orang tiada kerja, buat cari dosa sahaja. Kepada Allah berserah. Sila ambil tindakan,” kalam Tuanku Permaisuri di Instagram baginda.

15. Tiada pilihan lagi melainkan penderhaka-penderhaka negara ini dikenakan hukuman seberat-beratnya agar menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati agar tidak terlalu mengikut emosi dengan menyalahgunakan hak asasi itu sehingga berasa bebas untuk menghina sesiapa sahaja termasuk RRM serta mahu menghapuskan institusi Raja-raja Melayu.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts