KEMBALI KEPADA FORMULA ‘SELAMAT’ PENYATUAN 3 PARTI MELAYU

414
SHARES
1.3k
VIEWS

Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Sebenarnya sudah ada formula selamat untuk penyatuan 3 parti Melayu dahulu. Pertama, adalah bertujuan pengekalan ‘status quo’ bagi 54 kerusi UMNO, 18 kerusi PAS dan 12 kerusi PPBM.

Masalah yang berlaku adalah syarat pertama inipun ‘tidak lepas’. Sebab ada parti yang mahu mengekalkan kerusi-kerusi lompat sepertimana situasi PRN Sabah.

Sudahlah rampas kerusi, kemudian mahu pemilik asal bantu kekalkan serta berkempen untuk mereka di kerusi itu pula. Sudah hilang akal agaknya. Yahudipun rampas tanah Palestin sahaja tuan-tuan, namun Yahudi tidak menyuruh rakyat Palestin membina rumah untuk mereka di atas tanah haram tersebut. 

Jadi apabila formula asas ini gagal, maka berlakulah rantaian perkara yang memualkan. ‘Curi’ ahli parti sekutu, tawar wang untuk membuat cawangan, lemahkan jentera parti kawan serta membuat kenyataan yang merendah-rendahkan orang lain.

UMNO ini manusia juga tuan-tuan. Bukannya beruk yang tidak ada perasaan. Kalau sudah sampai ke tahap itu, tidak mungkin UMNO masih tidak melawan. 

Dan bukan UMNO sahaja yang terkena. PAS pun kena juga. Baca saja kenyataan Timbalan YDP PAS Raub dan YDP PAS Gombak tentang usaha-usaha melemahkan parti dan Muafakat Nasional.

Ada orang kata, tidak apalah ahli kena curi. Sebab itu bukti ahli kita tidak ada kualiti. Buat apa hendak simpan lagi?

Betul.

Tetapi kalau rakan sendiri mengorat isteri kita, tidak mungkin kita biar sahaja? Kalau isteri terpedaya, kita ini dayus sangat ke sampai masih sanggup berpeluk dengan orang yang merosakkan perkahwinan kita?

Hendak selesai masalah ini boleh lagi sebenarnya. Belum terlambat. Kembali semula kepada formula asal. Hentikan tuduh-menuduh. Hormat kedudukan kawan. Jangan buat perkara yang merosakkan persahabatan. Sedar diri dan kedudukan.

Jika PAS perlu jadi ‘mediator’, maka jadilah mediator yang seimbang. Segelintir kepimpinan perlu berhenti keluarkan kenyataan yang boleh ditafsir memihak. Kerana itu akan mengurangkan kemampuan sebagai orang tengah yang berkesan.

Jika tidak mampu, maka biarkan sahaja UMNO dan PPBM berbalah. Sesetengah orang kadang-kadang memang perlu “berdarah muka, putus tangan dan lebam mata” maka barulah akan mencari jalan untuk bersama.

Cuma tengok sahajalah siapa dahulu yang akan putus kepala.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts