KEWAJARAN MURID SEKOLAH DIBENARKAN BERAMBUT PANJANG DIPERTIKAI

315
SHARES
1k
VIEWS

Tindakan kerajaan membenarkan murid-murid sekolah berambut panjang dengan alasan kedai gunting dan salon rambut masih ditutup kerana ancaman pandemik Covid-19, tidak sepatutnya dilakukan.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelonggaran tersebut turut dipersetujui oleh pihak kementerian tersebut hasil mesyuarat diadakan baru-baru ini.

Di bawah kelonggaran ini, hampir lima juta murid sekolah di seluruh negara dibenarkan berambut panjang apabila memasuki semula ke institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.

Walaupun ada murid yang berambut panjang, mereka dibolehkan masuk macam biasa tanpa dikenakan tindakan oleh guru disiplin.”

Menurut Ismail Sabri, langkah khas itu “susulan semua operasi kedai gunting rambut diarahkan ditutup ekoran pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula kelmarin”. 

Rujuk pautan;

https://www.utusan.com.my/berita/2021/01/murid-boleh-berambut-panjang-masuk-sekolah/

Isu pelajar dan murid berambut panjang ini bukanlah isu yang patut kerajaan putuskan untuk diberi kelonggaran khas kerana ia melibatkan tiga perkara yang penting iaitu disiplin, kebersihan dan kesihatan.

Tiga perkara ini amat penting dalam mendidik anak-anak sekolah rendah kerana jika ingin “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Tidak menjadi masalah untuk ibu bapa mencari jalan untuk memastikan anak-anaknya berambut pendek dan kemas untuk ke sekolah kerana ketika ini peralatan menggunting rambut boleh dibeli di mana sahaja sama ada di kedai menjual peralatan rumah dan serbaneka serta secara dalam talian.

Malah kerajaan sepatutnya mengambil peluang ini dengan memastikan guntingan rambut ini menjadi satu ‘style‘ sahaja iaitu seperti guntingan rambut ala kadet tentera yang memudahkan ibu bapa mencukurnya sahaja, malah kelihatan kemas dan yang lebih penting ia tidak berfesyen. 

Apatah lagi murid-murid sekolah tidak perlu bergaya untuk ke sekolah sebaliknya aspek disiplin itu lebih penting untuk ditekankan ketika mereka masih di sekolah rendah. 

Bukannya dengan memilih jalan mudah untuk berkompromi dan ‘beralah’ dengan peraturan sekolah yang diterapkan selama ini bagi mendisplinkan murid-murid sekolah.

Walaupun ia bukanlah isu besar namun jika ia dilonggarkan kepada pelajar universiti awam dan politeknik mungkin masuk akal sedikit walaupun tetap tidak perlu dilakukan.

Selain itu secara logiknya jika sekolah sudah dibuka kelak tentulah kedai gunting rambut juga sudah boleh beroperasi, jika tidakpun ibu bapa tentu boleh berikhtiar untuk memastikan anak-anaknya berambut pendek dan kemas sepanjang masa. 

Kesimpulannya lebih baik kerajaan ‘u-turn‘ cepat kali ini kerana berambut pendek dan kemas tentu lebih baik dan mampu mendisiplinkan anak-anak sekolah rendah dari awal. Malah pihak sekolah dan cikgu-cikgu juga tidak akan ‘pening kepala’ berdepan dengan masalah pelbagai fesyen yang ditonjolkan oleh murid sekolah kelak. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts