Pari Islam SeMalaysia (PAS) menggesa kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan bukti sekiranya tidak terlibat dengan badan pemikir Amerika Syarikat (AS) iaitu Institut Republikan Antarabangsa (IRI) dan menjelaskan mengenai tuduhan tersebut kepada masyarakat.
Ini kerana sekiranya benar dakwaan pegawai IRI iaitu Daniel Twining dalam satu forum anjuran Center for Strategic & International Studies, yang mendakwa Pakatan Harapan bekerjasama dengan mereka untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional sejak 2002 dan mendapat dana daripada National Endowment for Democracy (NED), maka Pakatan Harapan wajar membuktikan mereka tidak terlibat.
Gesaan itu dibuat oleh PAS yang menyifatkan kenyataan diberikan oleh pemimpin Pakatan Harapan termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menafikan tiada hubungan dengan IRI sebagai tidak mencukupi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya amat memandang serius berhubung isu tersebut yang mampu menggugat kedaulatan serta keamanan negara.
“Walaupun pimpinan Pakatan Harapan nafi ada hubungan dengan IRI, namun badan tersebut telah membuat pengakuan bahawa ada kaitan dengan memberi bantuan serta dana kepada parti politik pembangkang sebelum ini.”
“Kerajaan persekutuan hari ini perlu membuat penjelasan kepada rakyat sama ada ada dakwaan itu adalah betul atau tidak. Kalau kata tidak ada kaitan, buktikan . Kalau menerima dana dari IRI atau mana-mana organisasi, rakyat mahu tahu berapa jumlahnya.”
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak juga mengeluarkan kenyataan mengecam perbuatan tersebut seperti di bawah:
“Jika anda menuduh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abd. Hamid sebagai mengkhianati, dakwaan itu lagi teruk kerana ia adalah campur tangan langsung dalam proses pilihan raya umum.”
“Di AS juga, mereka melantik pendakwa raya khas untuk menyiasat sama ada terdapat campur tangan Rusia dalam pemilihan Presiden negara pada 2016.”