KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
21 Januari 2021
Semua pihak harus bersifat terbuka dengan menerima pandangan Tun Arshad Ayub apabila beliau secara terbuka membuat kenyataan bahawa lebih 2500 para profesor di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak berkualiti terutamanya dari kalangan profesor Melayu.
Sama ada ia benar ataupun tidak, PERKASA merasakan ada wajarnya kenyataan beliau apabila melihat bagaimana tidak banyak kejayaan yang dicapai oleh negara khususnya orang Melayu sejak Merdeka, mungkin berpunca daripada apa yang dinyatakan oleh Tun Arshad Ayub dalam temubual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun PERKASA sebelum ini pernah juga didatangi beberapa profesor yang juga merupakan ahli PERKASA, meluahkan kesukaran untuk mencadangkan projek-projek baru hasil daripada kajian mereka demi untuk pembangunan ekonomi negara dan orang Melayu, tetapi sering mendapat tindak balas negatif daripada pemimpin-pemimpin politik yang menerajui kementerian-kementerian berkaitan.
Amat mendukacitakan apabila para Menteri terbabit merasakan mereka lebih bijak dan berfikiran luar kotak, berasa lebih hebat daripada profesor-profesor universiti.
PERKASA percaya Tun Arshad tidak mahu menegur pemimpin-pemimpin negara atau Menteri-menteri kabinet tertentu yang sebenarnya juga tidak berkualiti tetapi menegur mereka secara tidak langsung. Tindakan Tun Arshad umpama “marah anak, sindir menantu”.
Sudah sampai masanya Menteri Pendidikan Tinggi sepatutnya disandang oleh mereka yang bukan daripada kalangan orang politik. Tokoh profesional yang dilihat berkelayakan dan hebat serta mampu berfikiran di luar kotak seperti Tun Arshad dan Allahyarham Prof. Ungku Abdul Aziz yang sepatutnya menerajui kementerian-kementerian penting ini.
Untungnya Tun Arshad dan Ungku Aziz kerana mereka membuat kajian-kajian dan mencadangkan kepada pemimpin-pemimpin negara yang juga berfikirkan seperti mereka berdua ketika itu. Sebab itu cadangan-cadangan mereka diterima dan rakyat dapat melihat hasil kejayaannya sehingga ke hari ini.
Mungkin kalau kajian-kajian dan juga cadangan-cadangan oleh Tun Arshad dan Ungku Aziz jika diberi atau dibentangkan kepada pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini, kemungkinan besar pastinya tidak dilayan. Kecuali cadangan ‘bertaraf rendah’ seperti mengadakan pertandingan TikTok terbaik pasti dengan segera diluluskan.
PERKASA merasakan atas sebab itulah profesor-profesor IPTA malas mahu menulis dan mengkaji lagi. Mereka yang bertungkus lumus bersengkang mata menyiapkan kajian tetapi kajian mereka tidak diambil serius oleh kerajaan.
Dengan itu, PERKASA ingin menggesa kepada Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin agar mengambil serius pandangan Tun Arshad ini. Harus diarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, KSU Kementerian serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi supaya mengadakan pertemuan dengan Tun Arshad bagi membincangkan langkah-langkah terbaik daripada apa yang telah beliau bangkitkan. Pihak kementerian harus mendapatkan pandangan dan juga nasihat apa yang perlu dibuat selepas ini.
PERKASA juga menyarankan supaya diarahkan juga Menteri dan pegawai-pegawai tinggi kementerian supaya segera mengadakan mesyuarat bersama semua Naib-Naib Canselor daripada semua IPTA, berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya berikutan teguran Tun Arshad tersebut.
PERKASA percaya profesor-profesor Melayu sedia ada ramai yang berkemampuan untuk mengeluarkan idea-idea baharu yang bernas demi pembangunan ekonomi negara dan survival orang Melayu.
Sekian.
Syed Hassan Syed Ali
Setiausaha Agung PERKASA