DARURAT COVID-19: BERAPA LAMA LAGI?

185
SHARES
597
VIEWS

Sejak 11 Januari 2021, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP sekali lagi. Cuma Alhamdulillah, keadaan PKP kali ini tidak seketat yang pertama dahulu. Ya, kita kini dibelenggu di rumah. Kita sudah tidak boleh beriadah lagi kecuali jogging dan berbasikal di kawasan terhad sahaja. Kita juga tidak dibenarkan lagi ke surau dan masjid.

Pada masa yang sama, masih ramai lagi yang boleh bekerja sejak daripada PKP yang pertama dahulu. Kita masih boleh lihat di pasaraya misalnya, masih banyak lagi kedai yang dibuka meskipun suasananya agak sunyi sepi.

Ini selaras dengan kehendak WHO yang tidak menggalakkan โ€œfull lockdownโ€ atau penutupan penuh. Dalam keadaan ini kita harus mencari keseimbangan yang bersesuaian menurut keadaan semasa. Tetapi kes jangkitan dalam negara kita tetap terus juga meningkat tinggi dengan statistik bilangan mangsa pernah mencatatkan kenaikan sehingga lebih 4,000 kes positif harian.

Kadar jangkitannya menunjukkan peningkatan yang agak tinggi. Walaupun terlalu awal untuk merumuskan kesan PKP ini, besar kemungkinan angka kes harian untuk minggu yang akan datang tidak akan berkurangan.

Ada kemungkinan besar juga angka ini akan terus meningkat. Dan jika demikian, maka kita mungkin perlu kepada kawalan PKP yang lebih ketat lagi dan dengan itu akan lebih ramai lagilah yang akan terkurung di rumah – Nauzubillahu min zalik.

Dengan angka bilangan pesakit yang ada sekarang, Tan Sri Nor Hisham menyatakan bahawa kemudahan perubatan telah penuh sesak dan sudah sarat (overloaded). Justeru, berbagai cerita yang timbul yang tidak selesa didengari.

Khabarnya, ada pesakit terpaksa menunggu giliran terlalu lama untuk mendapatkan katil di hospital dan untuk ambulans mengangkut mereka dari rumah. Hospital Sungai Buloh yang khas untuk pesakit Covid-19 sudahpun penuh dan sarat dengan pesakit.

Ekonomi kita dikatakan semakin teruk terjejas. Hotel serta taman rekreasi dan tempat riadah menjadi lengang. Kebanyakan mall sepi, kedai tidak berpelanggan. Makin ramai tidak bekerja. Kita juga dapat melihat banyak gerai yang didirikan di tepi jalan untuk rakyat menyara diri muncul disebabkan terkesan dengan bencana Covid-19 ini.

Masjid-masjid masih kekal tidak dibuka dan umat Islam masih tidak dibenarkan memasukinya. Umat sudah tidak lagi solat Jumaat sekian lama.

Pada masa yang sama kita dapati anak-anak juga terkena kesan yang besar pada pendidikan mereka. Sekolah tidak dapat dibuka, dengan kelas tergendala, ujian peperiksaan dan penilaian tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Yang tiada kemudahan internet, terus terbantut.

Anak-anak kita kini terkurung di rumah; tidak lagi dapat beriadah. Sebenarnya sudah lama juga mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna sepertimana lazimnya.

Walaupun demikian, kita bersyukur dan Alhamdulillah rata-rata rakyat masih cekal. Meskipun politik kita bercelaru, saya dapat melihat keadaan ini, betapa kita masih tabah mengharungi musibah kesihatan dan ekonomi yang tidak menentu ini.

Namun wahai saudaraku, untuk berapa lama lagikah kita mampu bertahan mengharungi bencana ini? Bolehkah kita berterusan sebegini sehingga bulan Ogos atau hingga ke hujung tahun setelah vaksin diedarkan? Apa akan jadi jika PKP diperketatkan dan jika angka bilangan pesakit harian berterusan meningkat?

Saya khuatir dan percaya jika keadaan ini berterusan, akan lebih banyak lagi perniagaan terpaksa ditutup. Lebih ramai akan kehilangan punca pendapatan akibat dibuang kerja. Dan jika berterusan, akan lahir satu generasi di mana anak-anak tahun ini adalah generasi yang tidak mendapat pendidikan yang baik. Saya juga percaya gejala sosial, seperti kes kecurian akan meningkat mendadak disebabkan kesempitan dan himpitan sara kehidupan.

Oleh itu, kita perlu jelas dalam meletakkan keutamaan masa hadapan kita. Kita mesti tahu dan jelas apa yang kita mahu dan apa yang kerajaan perlu lakukan. Yang sudah berlaku, biarkanlah berlalu, tetapi untuk melangkah ke hadapan, kita perlu optimistik dengan usaha bersungguh-sungguh berlipat kali ganda.

Jangan pula kita terikut-ikut prioriti politik kalut yang tidak langsung membantu dan menguntungkan kita. Kita kena jelas menetapkan jalan penyelesaiannya.

Sebolehnya, kita mahu negara dibuka dengan segera dengan wabak Covid-19 ini dapat dibendung; kita mahu bebas bergerak dan bekerja semula; bebas untuk keluar negara menguruskan perniagaan; bebas menerima pelancong asing untuk memajukan sektor pelancongan; ekonomi menunjukkan catatan semakin memulih; terbuka semula peluang pekerjaan; anak-anak kita dapat ke sekolah tanpa terbungkam dengan perasaan risau dijangkiti; dan kita mahu masjid dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid.

Jika kita mahu semua ini dapat dipulihkan dengan segera, maka kita harus ada sasaran, setidak-tidaknya pintu ekonomi negara dapat dibuka pada pertengahan tahun ini. Tidak boleh lewat daripada itu.

Untuk mencapai semua hasrat ini, kita tiada pilihan kecuali negara kita divaksin dan wabak Covid-19 ini dapat dibendung seberapa segera dalam tempoh masa enam bulan.

Tiada pilihan lain lagi saudaraku. Berhujahlah macam manapun, inilah sahaja jalan penyelesaian yang ada untuk mencapai segala apa yang kita hasratkan.

Jadi untuk itu, kita menuntut supaya kerajaan melipatgandakan usaha mendapatkan vaksin bagi sebahagian besar rakyat dalam tempoh enam bulan ini dan menjadi prioriti utama bagi kerajaan. Belanjalah berapa banyak sekalipun bagi menjamin bekalan vaksin mencukupi dan pelan vaksinisasi dapat dilaksanakan dengan baik.

Tidak dinafikan, tentu sekali akan berlaku peningkatan perbelanjaan untuk semua operasi dan penyelenggaraan yang mungkin bernilai berbilion ringgit tetapi jumlahnya masih kecil dan jauh lebih baik daripada negara mengalami kerugian beratus atau ribuan billion lagi jika kerajaan gagal membuka pintu ekonomi negara.

Kita juga mahu kerajaan pintaskan prosedur kelulusan vaksin tanpa kompromi risiko kesihatan sepertimana dilakukan oleh negara-negara Barat. Kerajaan harus telus dengan pelan vaksinisasi. Dan jika keadaan memaksa bagi membendung Covid-19 dengan SOP perlu diperketatkan lagi, kita akan menyokongnya kalau ia dapat membuka ekonomi negara pertengahan tahun ini.

Inilah yang kita tuntut daripada kerajaan. Rakyat mahu negara dan ekonomi dibuka selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini. Kita akan sokong usaha ini tanpa mengira pegangan politik. Ayuh! Wahai saudaraku. Kita bersatu hati. Kita tidak banyak masa lagi sebelum ramai tersungkur menyembah bumi.

Lukman Sheriff Alias

Peguam

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts