RUMUSAN PERIBADI PROLOG: ADA APA DENGAN PAS?

398
SHARES
2.3k
VIEWS

Selepas menonton keseluruhan rancangan prolog secara ‘live’ semalam, dengan tajuk “Ada Apa Dengan PAS” dengan dua tetamu jemputan Haji Aminuddin Yahaya yang merupakan Presiden ISMA suatu pertubuhan dakwah dan Ketua Pemuda PAS, YB Senator Ts Ir. Haji Khairil Nizam, pertamanya yang terlintas di benak minda ialah gandingan pasangan berbahas dengan tajuk jelas tidak seimbang.

Perbezaan ketaranya apabila Presiden NGO menghidangkan fakta-fakta penting beserta beberapa pandangan baru buat penonton memikirkan sejenak tentang hala tuju politik negara, manakala Ketua Pemuda PAS yang lebih banyak defensif mensia-siakan peluang yang ada sepatutnya memberi fakta-fakta bernas pendirian PAS dalam menghadapi kemelut politik, malangnya beliau tidak berupaya mengangkat kehebatan PAS yang sebenar.

Kenyataan Haji Aminuddin paling teruja apabila beliau mengatakan UMNO sudah “gone case”, jelas menunjukkan sikap berani beliau menegur sama ada perkara itu baik atau buruk terhadap sebuah parti yang didominasi oleh orang Melayu Islam, ternyata beliau sangat jujur dari prespektif sebagai Presiden ISMA badan dakwah dan Pengerusi kepada gabungan NGO-NGO Islam iaitu Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam yang pandangannya perlu diambil serius oleh UMNO.

Dengan jelas beliau menyebut orang ramai sudah tidak lagi boleh menerima UMNO secara terbuka jika berterusan dengan sikap yang lama, ini kerana terlalu banyak kerosakan yang telah dilakukan menyinggung perasaan dan mengguris hati orang Melayu, dan majoriti orang Melayu mengharapkan suatu perubahan besar harus berlaku di kalangan kepimpinan UMNO.

Sebenarnya PAS juga mempunyai kekuatan tersendiri akan tetapi majoriti Melayu agak susah sedikit mahu menerima PAS disebabkan dasar perjuangan Islam PAS sering kali berubah-ubah dan terlalu mudah terikut-ikut dengan sentimen politik semasa. PAS sepatutnya perlu sentiasa yakin dengan dasar perjuangan Islam sebenar dan tanpa sama sekali dilihat pada keadaan tertentu sanggup menggadai perjuangan dengan menghalalkan cara.

Orang Melayu mahu politik perjuangan Islam sebenar dibawa dan dimartabatkan bukan perjuangan mempolitikkan Islam. YB sendiri menyebutnya beberapa PAS adalah badan dakwah tetapi yang jelas PAS terikut-ikut dengan mainan politik golongan liberal dan kiasu cauvinis dan sering berubah membela perjuangan parti lain padahal sepatutnya kukuh berdiri dengan prinsip sendiri.

PAS seeloknya elak daripada membuat janji sebagaimana parti lain yang amat ringan mulut mereka menabur janji tetapi amat berat sekali mahu menunaikannya. Cukup dengan menonjol sebagai pemimpin Islamik yang jujur, ikhlas dan berintegriti, rakyat sudah boleh menerima mereka. Jangan terlalu rajin sangat mahu ke hadapan sehingga memberi kenyataan-kenyataan mengarut yang semuanya akan menyusahkan diri sendiri kelak.

Sebenarnya PAS mampu mandiri tanpa perlu bersama dengan parti lain yang banyak menimbulkan masalah dan akhirnya akan terpalit ke muka PAS sekali. PAS ada kekuatan tersendiri. Sebagai contoh PAS berjaya menang majoriti besar di Kelantan dan Terengganu tanpa bantuan mana-mana parti lain. Di Kelantan mereka sudah berjaya menguasainya selama 30 tahun bersendirian.

Walau pernah berada dalam Pakatan Rakyat (PR) sekejap, namun parti lain dalam PR tidak banyak membantu dalam kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 2004, 2008 dan 2013. Pada tahun 2018 PAS bersendirian namun masih berupaya menang besar juga.

Di Terengganu PAS menang PRU 1999 juga secara bersendirian. Ketika menang PRU tahun 2008 bukan ada mana-mana parti dalam PR yang membantu memenanginya. Manakala tahun 2013 disebabkan masalah urusan tadbir yang tidak mantap rakyat bagi semula kepercayaan kepada Barisan Nasional.

Tahun 2018 kembali dengan menang bersendirian atas sebab isu-isu di pusat Barisan Nasional (BN) sangat teruk. Rakyat bagi peluang ketiga kepada PAS. Jikalau PAS tidak lakukan yang terbaik lagi, PAS akan susah bangkit semula di Terengganu selepas ini. Kalahnya PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan 2013 tidaklah sebesar mana.

Cuma jika PAS dapat perhebatkan lagi kemajuan pembangunan ekonomi di Terengganu dan Kelantan, maka pastinya majoriti Melayu akan terus bersama PAS bagi jangka masa yang panjang lagi di kedua negeri tersebut, malah tidak mustahil keadaan yang sama boleh berlaku di Kedah, Perlis dan Perak, PAS boleh tubuh kerajaan sendirian di masa akan datang.

Setakat ini tidak ada di kalangan pemimpin-pemimpin PAS yang didakwa kes rasuah atau salah guna kuasa jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin UMNO bilangan tidak terkira ramainya dalam sejarah politik tanahair. Pakatan Harapanpun baru memerintah sudah ada penglibatan pegawai-pegawai khas dan Setiausaha Politik terbabit dengan kes rasuah.

Kini PAS bersama PPBM pula dilihat agak janggal bila ada pemimpin mereka tercalar dengan skandal dan yang paling jelas seperti dalam video kes moral, apakah PAS masih mahu bersama dengan golongan yang tidak bermoral ini?

Kita mengharapkan agar pemimpin PAS lebih peka dan bijak dalam memainkan peranan bersama dengan pimpinan PPBM yang asal dan juga yang masih ada dalam PPBM sekarang ini agar Perikatan Nasional benar-benar menjadi harapan orang Melayu.

Elok juga kalau PAS berunding dengan BERJASA dan PUTRA kerana dua parti ini mempunyai penyokong tidak kurang ramai juga dengan latar belakang perjuangan yang tidak jauh berbeza dengan dasar perjuangan PAS. Sekarang semasa berada dalam kerajaan, PAS harus ambil kesempatan untuk menonjolkan tokoh yang benar-benar berkelayakan untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Sehingga ke hari ini, tidak ada yang layak, dan kalau adapun hanya Takiyuddin sahaja yang agak menonjol sedikit. Tetapi rasanya beliau terlalu baru dalam Kabinet dan masih memerlukan masa lagi bagi menyesuaikan diri berada di kalangan kumpulan elit politik dalam tampuk pemerintahan. Namun jika keadaan tiada pilihan lain, maka dialah yang paling sesuai setakat ini.

Artikel ini adalah pandangan peribadi saya tidak mewakili mana-mana parti atau organisasi.

Syed Hassan bin Syed Ali

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts