1. Mempertahankan tanahair bukan sekadar mempertahankan negara tetapi juga mempertahankan Tanah Rizab Melayu kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, dalam erti kata mempertahankannya itu membawa maksud; mempertahankannya, memeliharanya, menjaganya supaya kekal tidak berubah daripada sebarangan ancaman… bukannya menjual dan menggadai kepada bukan Melayu.
2. Namun, kerana adanya sikap tamak yang mahu cepat kaya melalui jalan mudah mereka yang sepatutnya menjaga tanah-tanah tersebut sanggup melanggar amanah besar menjaga Perlembagaan dengan menjualnya yang sama seperti menggadai maruah apabila berkuasa.
3. Tanah Rizab Melayu adalah tanah pusaka yang diwariskan oleh generasi moyang bangsa Melayu yang mana sebahagiannya adalah bertujuan supaya tanah-tanah orang Melayu ini tidak terhapus seluruhnya dan agar orang Melayu tidak merempat di tanah air sendiri sekiranya semua tanah dijual kepada orang bukan Melayu.
4. Mereka yang berkuasa ke atas tanah-tanah ini terutamanya pegawai tadbir tanah sepatutnya menjaga dan memelihara tanah-tanah yang telah dikhaskan tersebut hanya untuk orang Melayu sahaja daripada terlepas ke tangan orang bukan Melayu.
5. Betapa jauh pandangan orang Melayu dahulu memikirkan akan nasib dan kesannya sekiranya tidak ada tanah yang diwartakan sebagai tanah rizab untuk orang Melayu. Tujuannya bukan setakat bimbang orang Melayu tidak punya tanah untuk tinggal tetapi bimbang tidak punya negara untuk didiami. Jangan sampai jadi umpama langit milik kita tanah milik orang.
6. Tidakkah pegawai-pegawai yang terlibat dengan tindakan pecah amanah tersebut berasa bersalah apabila menukar kawasan tanah yang sebegitu luas dengan keluasan 6.416 hektar tanah rizab Melayu (tanah hak orang Melayu) di Setiawan? Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan mereka yang menjual tanah rizab Melayu itu tidak ada bezanya seperti menjual tanahair sendiri?
Penyelesaiannya?
7. SPRM perlu siasat sehingga ke akar umbi untuk mencari dalangnya sekiranya ada unsur rasuah serta mereka yang berlaku khianat tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan sebagai pengajaran; dilucut kerakyatan kerana menjual tanah perlindungan hak orang Melayu, perbuatan yang jelas melanggar Perlembagaan.
8. Kesemua tanah-tanah Tanah Rizab Melayu dengan berpandukan kepada Enakmen Rizab Melayu dan Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan telah menyebut tanah rizab Melayu yang mahu dibatalkan dan dipindah hak milik perlulah digantikan dengan kawasan yang sama sifat dan luasnya dengan kawasan yang dibatalkan. Malah dalam Seksyen 19, ERM (NMB Bab 142) juga menyatakan bahawa kesemua urusniaga atau pelupusan atau percubaan untuk membuat urus niaga atau pelupusan yang bertentangan dengan sekatan kepentingan yang diperuntukkan oleh ERM (NMB Bab 142) adalah terbatal dan tidak sah, dan apa-apa sahaja perbelanjaan yang telah dikeluarkan tidak boleh dituntut di mana-mana mahkamah.
9. Enakmen Rizab Melayu yang diperkenalkan pada (NMB Bab 142) diperkenalkan 1 Januari 1914 adalah bertujuan untuk;
i. Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa jua cara kepada bukan Melayu.
ii. Menyekat tanah pegangan Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian diantara Melayu dan bukan Melayu.
10. Justeru, mana-mana tanah-tanah Tanah Rizab Melayu yang telah dijual wajib diganti sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang. Orang Melayu yang mempunyai semangat patriotik dan jati diri keMelayuannya yang sebenar tidak akan mengkhianati amanah dan bangsa sehingga sanggup menggadai maruah bangsa, maruah keturunan hatta maruah dirinya sendiri hanya kerana pangkat dan harta. “Orang Melayu tidak akan menjual bangsanya sendiri”.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA