Di sebalik pengumuman kerajaan untuk memansuhkan syarat bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KWSP dilihat masih tidak mengemaskini portal mereka bagi tujuan tersebut.
Ini kerana rakyat masih terbeban dengan pelbagai dokumen yang diminta sebelum ini yang sepatutnya menjadi syarat yang pertama dimansuhkan.
KWSP juga dilihat gagal menyediakan tarikh tepat serta bagaimanakah ia akan dilaksanakan. Sepatutnya sebalik sahaja pengumuman mengenai pemansuhan diuar-uarkan, dua perkara ini perlu dimaklumkan terus agar tidak mengelirukan pemohon kategori kedua yang sudah lama menunggu dan terbeban sejak sekian lama.
Selain itu, pengeluaran ‘one off‘ RM10,000 juga masih diminta oleh rakyat serta merayu pengeluaran dipercepatkan dan dipermudahkan untuk dibuat secara online tanpa perlu bersesak-sesak di kaunter KWSP seluruh negara – bagi sesetengah pemohon yang tersilap dan ingin mengubah jumlah pengeluaran.
Kerajaan juga tidak boleh memberi alasan bahawa ia baru sahaja diumumkan dan rakyat perlu menunggu lagi sedangkan kerana rakyat sudahpun menunggu cukup lama sejak Oktober tahun lepas.
Rujuk 5 perkara yang dibangkitkan oleh rakyat yang mengadu di talian hotline Pemuda UMNO di pautan;
https://editormalaysia.com/21738/
Kerajaan dan KWSP perlu bertindak cepat, proaktif dan peka dengan kesulitan yang dialami rakyat apatah lagi KWSP dilihat berdolak-dalik sebelum ini dengan memberi pelbagai alasan dan contoh tidak masuk akal. Manakala Kementerian Kewangan pula boleh tersilap perbandingan dan kiraan yang tidak boleh diterima rakyat.
Malah tindakan kerajaan yang tiba-tiba ingin memansuhkan syarat sehingga terpaksa ‘mengorbankan’ Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias yang digantikan sehari sebelum pengumuman kerajaan, dilihat lebih kepada ingin menjaga ‘air muka’ Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dikecam di luar negara.
Ini kerana kerajaan begitu konsisten sebelum ini bagi mempertahankan keputusan mereka tidak membenarkan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat termasuk berhelah kononnya hanya mempunyai ‘kriteria’ – sehinggalah natijahnya terhadap Perdana Menteri yang dikecam teruk di laman sosial Presiden Indonesia.
Walaupun ia tidak sepatutnya berlaku kerana memberi aib kepada kerajaan tetapi kesabaran rakyat juga ada hadnya. Pihak PMO dan jabatan komunikasi berkaitan janganlah ‘tidur’ sehingga membiarkan Perdana Menteri diaibkan sebegitu rupa. Rakyat juga jangan dipermainkan dan diperlakukan sebegitu rupa sehingga seolah-olah mereka ingin menagih “geran percuma KWSP” – sedangkan hakikatnya ia adalah wang caruman mereka sendiri.
Justeru, Alizakri sudahpun ‘dikorbankan’ maka kini satu negara menunggu bilakah janji memansuhkan syarat pengeluaran i-Sinar akan ditunaikan. Semoga ia dipercepatkan kerana PKP sudahpun dilanjutkan sehingga 4 Mac depan dan rakyat pasti semakin terbeban.
Jika kerajaan masih berbasa-basi dengan pelbagai helah lain seperti sebelum ini, maka nantikan sahaja ‘kemarahan’ rakyat diterjemah pula di PRU-15 kelak.
Rakyat juga mula mempertikai jika dewan di Pagoh boleh dibina dengan nilai berpuluh juta dan projek RM1.2 bilion boleh dianugerahkan kepada syarikat berkaitan dengan menantu Perdana Menteri (yang sehingga kini PMO masih berdiam diri), tidak mungkin duit rakyat sendiri tidak boleh dibenarkan keluar ketika susah.
Seperti kata-kata menyindir sesetengah netizen, “Duit kami hak kami, maka beri semula kepada kami”.