LAPORAN POLIS PUAD ZARKASHI TERHADAP RAJA PETRA KAMARUDDIN

173
SHARES
557
VIEWS

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi telah membuat satu laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin yang menurutnya telah membuat kenyataan salah dan membocorkan dokumen mahkamah termasuk surat dan emel peguam berkaitan saman RM10 juta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atasnya.

Berikut merupakan kenyataan media yang dibuat oleh Mohd. Puad pada 6 Mac 2021;

KENYATAAN MEDIA: LAPORAN POLIS TERHADAP RAJA PETRA KAMARUDDIN

1. Pada hari ini saya telah membuat satu laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin berkenaan dengan satu artikel yang bertajuk “AMC In Chaos, Puad Chickens Out And Backs Down” yang telah diterbitkan dalam Malaysia Today pada 4 Mac 2021. Saya telah membuat laporan polis terhadap beliau kerana beliau telah melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak benar terhadap saya bersandarkan kepada surat-surat peguam dan emel mahkamah yang tidak patut berada di dalam milikannya.

2. Dalam hal ini, tujuan laporan polis tersebut adalah berkenaan dengan surat daripada peguamcara saya dan peguamcara Tan Sri Muhyiddin Md Yassin serta emel daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah yang merupakan dokumen-dokumen yang dikongsi secara sulit dan peribadi. Adalah agak mustahil bagi dokumen-dokumen tersebut diperolehi oleh Raja Petra Kamarudin kerana ianya tidak boleh diakses di laman awam (public domain).

3. Selain itu, tindakan saman oleh Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap saya adalah suatu tindakan yang diambil secara peribadi oleh beliau dan tidak melibatkan kepentingan awam ataupun institusi kerajaan.

4. Seterusnya, kenyataan Raja Petra Kamarudin yang kononnya menyatakan bahawa Mahkamah telah memerintahkan saya untuk menurunkan pos tersebut atau akan dikenakan prosiding penghinaan Mahkamah adalah jauh sekali dengan fakta yang sebenarnya berlaku. Malah, apa yang sebenarnya berlaku adalah peguam saya telah menulis kepada Mahkamah untuk satu klarifikasi bagi mendapatkan kepastian berkenaan dengan kehendak perintah injunksi yang diberikan oleh Mahkamah. Ini kerana tuntutan peguam Plaintif untuk saya memadamkan pos tersebut tidak disebut secara jelas dalam perintah injunksi tersebut.

5. Permohonan oleh peguam saya sama sekali tidak dibuat untuk melengah-lengahkan pematuhan perintah tersebut malah sejurus selepas pihak saya dimaklumkan berkenaan dengan arahan Mahkamah untuk memadamkan pos tersebut, saya telah dengan serta-merta memadamkannya. Jadi tiada isu yang timbul bahawa saya telah menghina Mahkamah atau cuba untuk melengahkan pematuhannya. Apa yang lebih penting adalah kenyataan Raja Petra Kamarudin bahawa “The court then replied in no uncertain terms that Puad must comply with the court order immediately or else face contempt of court proceedings” adalah tidak pernah berlaku. Malah kenyataan itu menunjukkan bahawa perintah Mahkamah sewenang-wenangnya boleh diputar-belitkan dan diberikan maksud-maksud yang berbeza yang tidak sepatutnya berlaku.

6. Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah injunksi yang telah diperolehi terhadap saya. Sekiranya permohonan saya dibenarkan saya pasti akan menuntut ganti rugi daripada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin. Saya percaya sepenuhnya kepada kebolehan dan kepakaran peguam-peguam saya dalam membela saya dan menegakkan keadilan. Saya juga menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat disebalik perlakuan penghinaan terhadap saya.

7. Saya amat kesal dengan kenyataan dan penulisan Raja Petra Kamarudin yang seolah-olah bertujuan untuk merosakkan imej saya, mempengaruhi orang awam dan Mahkamah untuk menghukum saya sedangkan saman Tan Sri Muhyiddin Md Yassin baru sahaja dimulakan beberapa hari yang lalu. Yang lebih menggusarkan adalah kenyataan Raja Petra Kamarudin itu semestinya mencampuri kuasa Hakim Mahkamah Tinggi dan menghina Institusi Kehakiman negara.

Sekian terima kasih.

Datuk Mohd Puad Zarkashi

6 Mac 2021

Justeru, walaupun Raja Petra tidak mungkin mudah disiasat kerana beliau berada di luar negara tetapi pihak berkuasa dengan mudah boleh menyiasat siapa pembocornya yang telah menyalurkan pelbagai maklumat tersebut ke Raja Petra yang tentu berada di dalam negara. 

Semua dokumen dan komunikasi antara kedua-dua peguam Puad dan Muhyiddin serta pihak mahkamah tersebut hanya dimiliki oleh beberapa pihak iaitu penerima dan penghantar serta kepada siapa pihak mahkamah berikan untuk tujuan pemfailan dan penyimpanan. 

Perkara ini perlu segera disiasat kerana perkara kebocoran serius seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dan telahpun menjadi ‘trend‘ sejak Pakatan Harapan memerintah dan kini malangnya masih berterusan di zaman Perikatan Nasional. 

Selain itu, apa yang dipersoalkan oleh Puad itu juga amat penting kerana melibatkan persoalan kenapa wujud tempoh kuarantin “antara dua darjat” yang berbeza antara rakyat dan pemimpin – yang tidak sepatutnya dibenarkan berlaku dalam zaman yang serba maju ini.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts