KONSPIRASI JATUHKAN ZAHID SEBELUM PRU-15?

235
SHARES
757
VIEWS

Menjelang Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini, semakin banyak kedengaran pelbagai spekulasi mengenai halatuju dan masa depan parti tertua Melayu Islam tersebut di bawah teraju Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menetapkan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu.

Pertembungan antara kehendak akar umbi yang tidak mahukan kerjasama dengan Bersatu tersebut dengan kumpulan beberapa Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong berlebihan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional dilihat akan menimbulkan ketegangan pada persidangan UMNO kali ini.

Namun di sebalik hiruk-pikuk politik yang semakin ‘menyesakkan’ rakyat dalam keadaan negara masih darurat, terdengar pula kemungkinan Presiden UMNO akan diminta berundur atau dalam bahasa kasarnya akan dijatuhkan tidak lama lagi bagi meneruskan agenda kerjasama dengan Bersatu. Jika benar wujudnya gerakan ini maka ia hanya menunjukkan bahawa fahaman Machiavellian mula bertapak dalam Perikatan Nasional walaupun di dalamnya ada parti bertunjangkan perjuangan Islam iaitu PAS.

Pengganti Zahid yang dilihat lebih ‘moderate‘ ini diharapkan akan membantu meneruskan kerjasama dan menyokong semula Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak yang dijangkakan pada bulan Ogos 2021 depan. Tarikh ini disebut-sebut dalam beberapa siri perbincangan melibatkan beberapa parti dalam Perikatan Nasional dan dijangka gerakan menjatuhkan Zahid akan dimulakan seawal persidangan PAU 2020 iaitu pada Sabtu dan Ahad ini.

Jika benar wujud gerakan yang telah menjadi buah mulut ini maka akar umbi perlu mempertahankan Presiden kerana Zahid hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk membawa suara akar umbi yang tidak mahukan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 kelak. Seluruh akar umbi walaupun berbeza pandangan dalam beberapa perkara namun demi survival UMNO maka “institusi Presiden” itu sendiri perlu dipertahankan terlebih dahulu kerana tidak perlu pihak luar mengatur dan merencana apa halatuju UMNO yang selama ini tidak pernahpun mengikut telunjuk mana-mana pihak. 

Tetapi jika gerakan bagi menukarkan Zahid melalui naratif “No Anwar No DAP” dan “No Kluster Mahkamah” ini gagal dilakukan kerana dipercayai tidak akan mendapat sambutan daripada akar umbi UMNO, maka tindakan seterusnya menggunakan beberapa NGO akan dimulakan. Pendekatan berbeza melalui NGO ini adalah dengan menggunakan naratif “demi memperkasa ummah”, “demi agama bangsa dan negara” serta pelbagai retorik lain akan digunakan semata-mata untuk menjatuhkan Zahid agar kerjasama dapat dijalin kembali demi memastikan kerajaan Perikatan Nasional dapat memerintah semula selepas PRU-15.

Beberapa NGO ini akan menjalankan satu gerakan secara besar-besaran dan serentak di media sosial di seluruh negara dan beberapa kumpulan-kumpulan kecil pula akan turun ke jalanan mengikut SOP bagi membuat bantahan dan demonstrasi aman demi menunjukkan sokongan kepada kerajaan. Perkara ini cukup mudah difahami kerana NGO yang suatu ketika dahulu sebegitu lantang memperjuang beberapa isu kini dilihat semakin lunak mengikut rentak kerajaan malah kini lebih banyak membuat kenyataan politik pro satu pihak berbanding memperjuang isu-isu rakyat yang sepatutnya mereka utamakan. 

Jika Zahid berjaya dijatuhkan atau berundur diri, maka terdapat tiga nama yang disebut-sebut bagi menggantikan beliau di mana dua daripadanya kini berada dalam Kabinet Perikatan Nasional. Satu daripadanya sememangnya dilihat pro kepada Bersatu dan seorang lagi sekadar menghormati kerjasama sehingga PRU-15. Manakala satu nama lain yang tidak berada dalam kerajaan tetapi turut menjadi pilihan bagi menggantikan Zahid kerana beliau dilihat lebih popular dalam kalangan akar umbi berbanding pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Walaupun pengganti ini sendiri belum tentu akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu jika beliau menghormati suara akar umbi yang jelas tidak mahukan kerjasama, tetapi setakat ini beliau menjadi calon terbaik berbanding yang lain kerana dilihat “lebih mudah dibawa berbincang” dalam keadaan Zahid dilihat lebih ‘keras’ mempertahan suara akar umbi – menjustifikasi tindakan untuk beliau digantikan segera. 

Persoalannya kenapa Zahid ini perlu digantikan segera dan kenapa kerjasama dengan UMNO ini sebegitu penting?

Ini kerana melalui kajian dan pelbagai tinjauan akhir-akhir ini menunjukkan kerjasama PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional masih tidak berupaya untuk memastikan mereka meraih kemenangan pada PRU-15 untuk terus memerintah jika tanpa sokongan UMNO. Isu-isu lebih besar dan berkait rapat dengan kehidupan lebih diutamakan rakyat berbanding urusan kerjasama politik, contohnya isu pengangguran dan sara hidup, isu  RCI Tabung Haji serta isu pembunuhan arwah Adib yang masih tidak mendapat pembelaan sehingga ke hari ini – semakin menimbulkan kecurigaan dan membangkitkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.

Ia menjadi semakin buruk apabila isu-isu ini tetap diperjuangkan oleh UMNO berbanding parti-parti lain dalam Perikatan Nasional yang masih sibuk mencari jalan mengekalkan kuasa berbanding mengutamakan rakyat dan negara. Maka selagi ada Zahid sebagai Presiden UMNO sebagai penghalang terbesar maka selagi itulah matlamat ini tetap tidak akan tercapai dan harapan untuk Perikatan Nasional terus memerintah akan hancur berkecai.

Justeru sama-sama kita nantikan sama ada gerakan ini akan dilaksanakan sesuai mengikut perancangan asal ataupun akan tergendala di tengah jalan jika sokongan akar umbi UMNO tetap utuh dan setia serta wala’ bersama Presidennya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts