UNDI-18: USAH BERLENGAH, LAKSANA SEGERA

106
SHARES
342
VIEWS

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengambil maklum mengenai penangguhan pelaksanaan Undi-18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini. Pelaksanaan yang sepatutnya dilakukan pada Julai 2021 telah ditangguhkan sehingga September 2022.

MPPK berpandangan bahawa pelaksanaan Undi-18 dan pendaftaran pemilih secara automatik ini perlu dilakukan secepat mungkin dengan melihat kepada gerak kerja ke arah pelaksanaan perkara ini yang telah berlaku sejak tahun 2019. Pelaksanaan Undi-18 dan pendaftaran pemilih secara automatik ini akan memberikan hak kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memilih.

MPPK juga percaya mereka yang telah berusia 18 tahun telah mencapai kematangan. Sebahagian daripada mereka yang berusia 18 tahun juga telah menjadi mahasiswa, dan ada juga yang sudah bekerja. Bahkan mereka juga tertakluk di bawah peruntukan undang-undang yang sama dengan mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas. Ia menjadikan mereka sepatutnya layak untuk menjadi pemilih.

SPR juga tidak seharusnya menggunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai batu penghalang untuk pelaksanaan Undi-18 dikuatkuasakan secara segera kerana kami yakin dan percaya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Akhir sekali, usul ini juga telah mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sebelum ini di mana ia membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan bagi membolehkan pelaksanaan Undi-18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan. Oleh yang demikian, pelaksanaan ini perlu dipandang serius oleh pihak berwajib khususnya SPR dan sebarang usaha untuk melengah-lengahkan usaha ini perlu ditolak.

Sekian, terima kasih. 

Memartabat Mahasiswa Malaysia

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts