Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempertikai kenapa kerajaan berterusan menggunakan dana dan pinjaman kerajaan dengan alasan membeli vaksin sedangkan peruntukan asal RM3 bilion sebelum ini telahpun ditambah sebanyak RM2 bilion sebaik sahaja selepas darurat dilaksana.
Berikut merupakan pandangan beliau yang wajar diperhalusi bersama;
Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) telah ditubuhkan pada 18 Februari 1988 di bawah Akta KWAN 1988.
Objektif penubuhan KWAN adalah untuk memastikan penggunaan optima hasil sumber-sumber asli Negara yang menyusut agar dapat memberi sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.
Mengikut peruntukan Akta KWAN 1988, pihak-pihak yang wajar membuat sumbangan termasuklah PETRONAS atau sumber-sumber menyusut yang lain dan pihak yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan sumber-sumber alam semulajadi.
Sejak ditubuhkan, hanya pernah ada satu pengeluaran dibuat kerajaan iaitu sebanyak RM42 juta untuk projek projek pemeliharaan tanah dan ekosistem Wetland Sanctuary di Putrajaya.
Masa saya Perdana Menteri, tiada pengeluaran dibuat daripada KWAN.
Malah saiz dana berkembang hampir 4 kali ganda dari RM4 bilion menjadi lebih RM16 bilion pada akhir tahun 2017 dalam tempoh saya Perdana Menteri hasil sumbangan lebih tinggi dari Petronas serta pulangan pelaburan yang tinggi.
Laporan Tahunan Kwan 2017:
https://www.parlimen.gov.my/ipms/eps/2018-12-05/ST.112.2018%20-%20ST%20112.pdf
Namun hari ini, kerajaan Perikatan Nasional telah menggunakan kuasa Darurat untuk wartakan satu pindaan ke atas akta KWAN untuk benarkan pengeluaran bagi pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin.
http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pua_20210421_PUA186.pdf
Ini berikutan satu lagi warta kerajaan PN pada masa darurat untuk gantung akta-akta kewangan negara supaya kerajaan boleh berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan atau pemantauan Parlimen.
Saya tiada masalah jika pindaan pada Akta KWAP hari ini adalah untuk tujuan vaksin Covid-19 namun saya ada keraguan apa yang terjadi kepada peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam belanjawan tahun 2021 yang diluluskan dalam Parlimen pada tahun lalu.
Namun kerajaan pernah beritahu kita bahawa peruntukan RM2 bilion sudah cukup untuk membeli vaksin bagi 83 peratus daripada penduduk Malaysia manakala RM1 bilion diperlukan untuk kos penyimpanan dan pengagihan.
“Saya telah memohon dari Menteri Kewangan (Tengku Zafrul) sebelum ini berilah anggaran harga kita (kerajaan), pada waktu itu kita perlukan RM3 billion untuk 70 peratus daripada populasi rakyat Malaysia, tetapi sukacita (kini) kita dapat 82.8 peratus dengan komitmen harga RM2.05 billion,” katanya.
Akan tetapi selepas darurat dilaksanakan PM8 secara tiba-tiba telah naikkan peruntukan RM3 bilion ini sebanyak 66 peratus kepada RM5 bilion dengan alasan mahu memendekkan tempoh pemberian vaksin sebanyak 2 bulan dari Februari 2022 ke akhir tahun 2021.
“Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022,” katanya.
Kenapa pula perlu dana tambahan sebanyak RM2 bilion untuk pendekkan tempoh vaksin selama dua bulan sahaja?
Dan apa telah terjadi dengan peruntukan asal RM3 bilion untuk vaksin dalam bajet 2021, dana dari hasil penjualan aset negara rizab-rizab tunai kerajaan lain seperti Khazanah Nasional dan BNM serta pinjaman baru kerajaan sebanyak RM75 bilion sejak tahun bermula sehingga dana KWAN yang dibina masa BN untuk generasi masa depan perlu dijarah?
Nota: Atas kerisauan yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri keenam ini maka sebenarnya banyak yang kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat. Oleh kerana itulah Parlimen perlu dibenarkan bersidang segera agar semua perbelanjaan negara dapat diketahui oleh semua secara telus dan jelas.
Bukan lagi dengan cara lulus dan pinda akta sesuka hati dengan alasan vaksin, yang sudahpun memperoleh peruntukan yang mencukupi dan telahpun ditambah sebelum ini. Tidak mungkin Kementerian Kewangan tidak tahu mengira sehingga terpaksa menambah peruntukan vaksin berkali-kali.