PKP GAGAL, KES BUNUH DIRI MENINGKAT – WIRANITA PUTRA

613
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRANITA PUTRA MALAYSIA 

27 Jun 2021

1. Kes bunuh diri yang semakin meningkat telah mencetuskan kebimbangan kepada rakyat ketika ini.

2. Kes bunuh diri yang direkodkan setakat ini adalah 226 kes. Itu yang diketahui atau mungkin lebih lagi. Keadaan ini amat membimbangkan dan wajar diberikan perhatian serius serta tegas.

3. Apa yang berlaku disebabkan rakyat mengalami tekanan atau ‘depresi’ kerana buntu untuk mencari jalan keluar daripada masalah yang dihadapi.

4. Wiranita PUTRA menggesa kerajaan supaya mengambil langkah yang serius untuk menangani gejala bunuh diri yang semakin meningkat ini. Jangan sekadar hanya “melepaskan batuk di tangga”.

5. Terbaru Perdana Menteri mengumumkan PKP atau “total lockdown” tetap akan disambung hingga purata kes jangkitan turun bawah 4,000.

6. Kerajaan telah menetapkan mengikut;

a. Fasa 1 ke Fasa 2 bila kes berkurang bawah 4,000, sistem kesihatan awam tidak lagi kritikal dan 10 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin.

b. Fasa 3 kes turun bawah 2,000 kes, katil di wad ICU mencukupi dan 40 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin.

c. Fasa 4 baru semua sektor dibuka bila kes harian kurang 500 kes dan 60 peratus penduduk telah divaksin.

7. Persoalannya apa nak jadi sekarang? Apakah dengan menyambung PKP kerajaan dapat menurunkan jumlah kes harian? Apakah kesannya terhadap rakyat jika ia berterusan disambung? Kes  positif mingguan melonjak hingga berpuluh ribu kes seminggu. Manakala angka kematian yang tinggi terus juga meningkat. 

8. Walaupun rakyat diarah untuk melaksanakan “kurung diri di rumah” tetapi kadar jangkitan masih terus meningkat.

9. Kadar jangkitan yang tinggi melebihi 10 peratus menggambarkan keadaan yang tidak terkawal.

10. Lebih 6 bulan PKP 3.0 dilaksanakan namun kadar jangkitan tidak nampak perubahan, malah bertambah buruk.

11. Sedangkan rakyat disuruh patuh kepada SOP, pasar raya, masjid, surau, sekolah dan universiti ditutup tetapi pusat industri seperti kilang dibuka seperti biasa.

12. Inilah punca utama kenapa kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi berterusan di negara ini. PKP atau “total lockdown” dilaksanakan separuh masak, ada tutup ada yang buka.

13. Program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan amat perlahan dan penuh kerenah birokrasi.

14. Setelah setahun pandemik melanda negara, kerajaan masih tidak dapat belajar untuk mengatasi dan memikirkan cara yang berkesan berhadapan dengan wabak ini melainkan hanya mengumumkan PKP dan menambah denda kepada rakyat.

15. Kerajaan tidak pernah memikirkan tentang rakyat yang telah kehilangan pendapatan lebih daripada setahun. Walaupun ada sedikit bantuan yang diberi namun bukan semua yang akan dapat menikmatinya. Terdapat unsur “pilih kasih” terhadap pemberian bantuan.

16. Terbaru kerajaan mengumumkan pembelian ambulan sebanyak RM300 juta adalah amat tidak tepat masa nya. Ini kerana wang tersebut boleh digunakan untuk memperkasakan aktiviti pengesanan kes Covid-19.

17. Dengan jumlah peruntukan tersebut, 10 juta kit ujian RTK – AG dapat dibeli dan digunakan secara menyeluruh untuk mengesan kes dengan segera.

18. Kerajaan perlu mengubah cara perlaksanaan PKP seluruh negara. Kaedah PKP bersasar di kawasan terlibat sahaja yang sepatutnya dititik beratkan dan ditutup terus.

19. Kawasan atau daerah yang tidak terlibat sepatutnya dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti ekonomi dan tidak ada penutupan sempadan daerah ataupun negeri.

20. Jawatankuasa wabak daerah seharusnya diperkasakan dan diberi peranan untuk menangani wabak ini kerana mereka lebih arif dan tahu mengenai kawasan masing-masing .

21. Kerajaan juga wajar mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan rakyat dan juga salurkan bantuan sara hidup secepat mungkin.
Jangan hanya pandai bercakap namun pelaksanaannya tiada.

22. PKP “separuh masak” ini hanya menggagalkan usaha untuk mengurangkan jangkitan pandemik dan memutuskan rantaian.

23. Kluster kilang semakin bertambah sedangkan rakyat dikurung dan dihimpit dengan masalah ekonomi .

24. Wiranita PUTRA tegas dan akan terus bersuara demi menjamin keharmonian rakyat agar rakyat terus dibela dan dilindungi.

25. Wiranita PUTRA juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya sabar dan terus berdoa agar pandemik yang melanda negara akan berlalu dengan segera.

Terima kasih.

Ros Hanita Bt. Mohd Basir

Ketua Sayap Pergerakan Wiranita PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts